Tuesday, May 17, 2005

Sharizat perlu dengar rintihan surirumah, bukan setakat promosi Keluarga Bahagia
Oleh Roy Rasul(Harakah)

Suri rumah dan ibu amat tertekan dengan kenaikan harga barangan dan masalah berkenaan tidak akan selesai dengan pihak berkuasa melaungkan slogan ‘Keluarga Bahagia’ semata-mata, kata Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan, Badrul Hisyam Shahril.Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sharizat Abdul Jalil memberi perhatian khusus berhubung isu itu kerana suri rumah dan ibu menerima implikasi paling teruk akibat kenaikan harga barang dan inflasi. “Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu membuat satu kajian sosial khusus ke arah itu,” katanya semasa menyerahkan satu memorandum bertajuk, 'Suri rumah mangsa kezaliman kegagalan kerajaan kawal inflasi' kepada kementerian berkenaan, dekat sini, hari ini. Beliau berkata, masyarakat dan kementerian sepatutnya memandang serius situasi ibu dan suri rumah yang tertekan dengan kenaikan harga barang. "Apabila kerajaan sendiri cuba elakkan daripada menanggung subsidi minyak diesel dan petrol secara automatiknya rakyat dan golongan ibu yang mengurus perbelanjaan keluarga terpaksa menanggung tekanan yang lebih serius. "Kita risau disebabkan ibu yang terpaksa pergi kerja dan membuat tugas tambahan akan menimbulkan lebih banyak masalah sosial dan jenayah remaja yang semakin parah sekarang ini," katanya. "Sempena Hari Ibu ini kita mengajak KPWKM berfikir masalah suri rumah dan ibu secara dekat dan kerajaan jangan lepas tangan untuk mengurangkan subsidi minyak dan selepas itu memarahi peniaga menaikkan harga barangan. "Perlu diingat para peniaga pun tidak mahu menanggung beban dan mengapa pula peniaga kecil perlu tanggung beban kos kenaikan dan pastinya mereka akan ikut 'stail' kerajaan dan untuk mendapat balik kos yang meningkat itu rakyat terbanyak menerima bebanan," katanya.

Wednesday, May 11, 2005

Badrul Hisham Antara Ditahan Polis Tanpa Sebab

BALIK PULAU 10 Mei - Exco Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bad) bersama Umar Tan dan Amizuddin Ahmad (Din Binjai) telah ditahan kereta polis ketika dalam perjalanan ke Bilik Gerakan Keadilan di Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang.Badrul Hisham berada di Pulau Pinang untuk menjalankan misi Parlimen Angkat yang dianjurkan oleh Angkatan Muda dalam menyalurkan maklumat kepada beberapa kawasan parlimen yang telah dikenalpasti.Kereta pacuan 4-roda mereka telah ditahan oleh kereta peronda polis di Teluk Kumbar. Kereta mereka dipotong dan diarahkan berhenti.Selepas menyerahkan pengenalan diri atas arahan pihak polis, mereka diminta menyerahkan diri ke Balai Polis Balik Pulau, yakni Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.Apabila ditanya mengapa mereka ditahan, anggota polis seramai 3 orang itu mengatakan bahawa mereka diarahkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) untuk berbuat demikian.Gambar menunjukkan Badrul Hisham semasa tunjuk perasaan membantah lonjatan harga minyak di Kuala Lumpur pada 8 Mei 2005. Sewaktu tiba di balai polis berkenaan, telah pun terdapat ramai pegawai-pegawai cawangan khas (SB) menunggu mereka.Pegawai-pegawai polis tersebut mahu menggeledah kereta panduan Badrul Hisham tetapi gagal untuk medapatkan waran untuk berbuat demikian, atas permintaan Badrul sendiri.Badrul dan rakan-rakan kerap kali bertanya apakah kesalahan mereka ditahan, tiada anggota yang dapat memberi sebarang jawapan selain daripada arahan IPK.Oleh kerana desakan yang diberikan oleh Ketua Bahagian Balik Pulau, Dr Mansor Osman dan Ketua Angkatan Muda Balik Pulau, Syukri Ishak serta beberapa ahli Keadilan yang menunggu di luar Balai Polis, akhirnya Badrul, Umar Tan dan Din Binjai dilepaskan jam 12:30 tengah malam.Keputusan untuk melepaskan mereka itu juga tidak mempunyai sebarang alasan.Sungguhpun sudah tengah malam, Badrul tetap meneruskan program taklimat kepada Parlimen Angkat; Bahagian Balik Pulau bagi memenuhi misi beliau.Badrul Hisham ketika dihubungi berkata, beliau percaya kejadian yang berlaku ke atasnya dan rakan-rakannya berpunca daripada ketakutan segolongan pihak atas tentang sikap pro-aktifnya yang sering mendedahkan kebobrokan Kerajaan sekarang.Oleh itu, pihak tersebut telah cuba menggunakan anggota polis untuk mengganggu perjalanan mereka dengan harapan misi ini dapat digagalkan.