Tuesday, December 21, 2004

Pelbagai pihak tubuh badan bertindak bantah kenaikan harga tol

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Hrkh) - Pelbagai pihak menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi membantah kenaikan kadar tol sebanyak 10 peratus mulai 1 Januari ini.

Pertubuhan politik dan NGO pula menubuhkan satu badan khas yang dinamakan Jawatankuasa Bertindak Membantah Kenaikan Harga Tol (JBMKHT) selepas pengumuman keniakan harga tol sebanyak 10 peratus oleh kerajaan beberapa hari lalu.

Setiausaha JBMKHT, Badrul Hisham Shaharin berkata, semalam (20 Disember 2004) beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik telah bertemu di Bilik Mesyuarat 2, Bangunan Parlimen Malaysia untuk membincangkan perkara tersebut.

Katanya lagi, pertemuan yang dihadiri Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Lim Kit Siang, Presiden Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram), S. Arutlchelvan dan berapa ahli parlimen DAP, PAS selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Jawatankuasa itu telah memilih ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok Suih Sim sebagai Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Bertindak Menentang Kenaikan Harga Tol.

Manakala Salehuddin Ayub dan G.RajaSegaran dari Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (MTUC) sebagai Timbalan Pengerusi selain Timbalan Ketua Penerangan Pemuda KeADILan, Badrul Hisham Shaharim sebagai setiausaha.

Menurut Badrul, walau apapun alasan yang diberikan oleh kerajaan mahupun pihak pemegang konsesi, apa yang jelas rakyat terbanyak akan menjadi mangsa dalam perkara ini.

"Bebanan kenaikan ini akan menjadi lebih parah apabila di ikuti kenaikan harga barang seiring dengan kenaikan harga kos pengangkutan,"ujarnya.

Kata Badrul, jawatankuasa tersebut mengambil pendirian, dalam menangai isu tersebut bukan sebagai isu politik tetapi sebagai masalah rakyat terbanyak.

Katanya lagi, mesyuarat semalam juga telah bersetuju untuk meminta Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menangguhkan kenaikan tersebut selama dua bulan sehingga semua kajian menyeluruh selesai dengan mengambil pertimbangan pendapat dan pandangan perbagai pihak.

Selain itu Jawatankuasa itu juga bakal menjadi badan pendesak untuk kerajaan mengkaji semula sistem atau perjanjian antara kerajaan dan pemegang-pemegang konsesi lebuhraya di Malaysia.

Mereka akan mengadakan pertemuan segera dengan pihak Konsesi Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di pejabat Plus esok untuk menyuarakan bantahan dan pandangan.

Sementara itu pada 26 Disember 2004, 5.30 petang, JBMKHT akan mengadakan bantahan rakyat di empat buah tol serentak iaitu di Plaza Tol Juru, Plaza Tol Sg. Besi dan Plaza Tol Senai.

Selain itu pada 27 Disember, 11. 00 pagi, JBMKHT akan menghantar Memorandum Bantahan kepada Perdana Menteri.

Menurut beliau lagi, setakat ini jawatankuasa tersebut telah mendapat sokongan MTUC, PAS, DAP, Suaram, KeADILan, Universiti Bangsar Utama (UBU), dan Pusat Aktivis Gerakan Reformasi Malaysia (Pager).

Justeru jawatankuasa tersebut menjemput semua pertubuhan dan orang perseorangan untuk menyertainya dan menyatakan sokongan. Semua sokongan dan pertanyaan sila hantarkan kepada email : anti_tol@yahoo.com. - zs