Wednesday, May 06, 2009

Hantar kek kepada Najib sempena harijadi Altantuya,tiga ditahan

KUALA LUMPUR, 6Mei (Hrkh) - Jika Altantuya Sharibu tidak ditembak mati di Shah Alam, hari ini beliau akan merayakan ulangtahun ke 31 kelahiranya.

Sekumpulan anak muda telah merayakan hari ulang tahun Altantuya di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya bagi menyerahkan kek dan memorandumkepada Perdana Menteri.

Namun tiga aktivis anak muda telah ditahan dan dibawa ke balai Polis Putrajaya sebentar tadi, kata jurucakap Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),Badrul Hisham Shaharin.

Sani Md Shah ditahan jam 11.15 pagi apabila memegang kek hari jadi, sementara Saufi Mihat dan Yasir Sheikh Abdul Rahman ditahan tidak lama selepas itu sewaktu memegang kain rentang di depan pintu masuk kompleks tersebut.

Dalam masa yang sama,SAMM dalam kenyataan medianya mengungkit isu pembunuhan Altantuya yang menimbulkan keraguan.

Kematian Altantuya yang terlibat menjadi orang tengah dalam pembelian peralatan pertahanan Malaysia telah mengundang seribu satu persoalan. Imej negara telah menjadi buruk ekoran terlalu banyak 'spekulasi' muncul berkenaan kes tersebut, kata Badrul Hisham.

Kira kira 19 buah media seluruh dunia telah menerbitkan artikel dengan jelas mengaitkan Prerdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak, dengan kes Altantuya,kata jurucakap SAMM itu lagi

Malah ada cubaan menutup kes tersebut dengan melebel Altantuya sebagai model yang menjadi perempuan simpanan, walaupun siapa Altantuya beliau dan keluarganya berhak mendapat keadilan,katanya.

SAMM dalam kenyataannya menggariskan beberapa 'misteri' dalam perbicaraan Altantuya seperti ;

:Apa motif dua orang anggota Unit Tindakan Khas PDRM yang terlatih menjadi pengiring setia membunuh warga Monggolia yang mereka tidak kenali ? Merujuk kes Mona Fendi yang mengarahkan pembantunya Juraimi membunuh seorang ADUN BN jelas bukan sahaja Juraimi di hukum gantung tetapi yang mengarahkan Juraimi juga dihukum gantung. Dua tertuduh pembunuhan Altantuya ini dibawah arahan siapa ?

:Secara jelas wujud pengakuan Altantuya dibunuh dengan pistol (bom C4 untuk menghapus bukti) malangnya mengapa pistol tidak dibawa ke mahkamah ? Pistol , arahan siapa dan milik siapa ?

: Benarkah Altantuya datang ke Malaysia setelah mengetahui RM500 juta (komisyen/rasuah) hasil jual beli peralatan pertahanan sudah di perolehi Razak Baginda (orang rapat Najib), dan kedatangan beliau untuk menuntut 'bahagian' seperti yang dijanjikan ? Mengapa rekod imegresen Altantuya hilang ?

Maka dengan ini bersempena dengan Ulang tahun Kelahiran Altantuya SAMM mendesak Perdana Menteri :

: Menyaman dan minta 19 media dunia mohon maaf kerana menyiarkan artikel Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya jika ia fitnah bukan sekadar menggunakan kuasa mengugut dan mengancam dalam negara.

: Menjelaskan mengenai kewujudan tersebarnya salinan beberapa pesanan ringkas antara nombor yang dikatakan digunakan oleh Najib dengan satu nombor yang dikatakan dimiliki oleh seorang peguam berbincang mengenai kes Altantuya. Salinan berbalas pesanan ringkas ini jika benar dihantar oleh Najib menunjukkan 'sesuatu' cuba diselindungkan dalam kes Altantuya ini. Maka penjelasan yang jelas perlu dibuat.

: Mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya siasatan Di Raja mengenai kes Altantuya ini. Banyak kes sebelum ini gagal dicari kebenaran hanya dengan siasatan polis dan pendakwaan biasa. Contohnya dalam siasatan polis gagal mendapati siapa yang memukul Anwar Ibrahim dalam tahanan sebaliknya bila ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja maka Ketua Polis Negara dikenal pasti melakukannya.

Kes Altantuya ini bukan sahaja melibatkan imej individu sebaliknya imej negara, kerana yang dituduh terlibat ialah orang nombor satu negara,kata SAMM.

Desakan di atas harus ditunaikan dengan segera untuk memulihkan semula imej dan mencari kebenara,katanya.

Dikesempatan ini juga SAMM mengucapkan Selamat Hari ulangtahun kelahiran Altantuya dan takziah kepada anggota keluarganya.

Sambutan hari ini telah SAMM maklumkan kepada anggota keluarganya lebih awal dan bapanya meminta SAMM menyampaikan salam buat semua yang terlibat dan media yang hadir,katanya. _

No comments:

Post a Comment