Thursday, January 11, 2007

TINDAKAN BOIKOT PILIHANRAYA HARUS DI PANDANG SERIUS

KENYATAAN MEDIA
11 JANUARI 2006

Gerakan Demokrasi Dan Anti Korupsi (GERAK) memandang serius terhadap tindakan boikot Pilihanraya yang di umumkan oleh Barisan Alternatif (BA) semalam.

Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS mewakili gabungan BA telah mengumumkan tindakan memboikot Pilihanraya Kecil Batu Talam 2007 kerana tidak mempercayai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mampu menjamin sebuah pilihanraya yang adil pada 10 Januari di Batu Talam sendiri dengan dihadiri 2000 orang termasuk Tuan Guru Datuk Seri Hj Hadi Awang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

GERAK menghormati tindakan memulaukan pilihanraya ini oleh pakatan BA ini dan melihatnya dari aspek positif. Sebagai sebuah gerakan siasah seharusnya tidak berkisar hanya memasuki pilihanraya untuk mengambil kuasa tetapi seharusnya lebih menumpukan kepada usaha memastikan demokrasi dan hak rakyat terjamin.

Pilihan raya bersih dan bebas merupakan satu asas utama dalam sebuah demokrasi yang sihat dan wibawa. Sistem pilihan raya adalah mekanisme penting untuk memberikan keabsahan dan mandat kepada kerajaan yang memerintah.

GERAK mengajak seluruh rakyat khususnya institusi kerajaan seperti SPR melihat perkembangan ini dengan serius.

Siri pendedahan penipuan dan penyelewengan dalam pilihanraya negara ini telah banyak dibuat oleh perbagai pihak namum ia hanya dipandang sepi oleh kerajaan mahupun SPR sendiri. Pemulauan Pilihanraya Kecil Batu Talam ini perlu dilihat sebagai merupakan kemuncak menifestasi ketidak percayaan rakyat terhadap perjalanan pilihanraya khasnya dan sistem demokrasi di Malaysia amnya.

GERAK menggesa SPR melihat ini sebagai satu peluang untuk bangkit keluar dari kepompong kepungan parti pemerintah. SPR harus di reformasi jika tidak mahu hanya di lihat menjadi kuda tunggangan parti pemerintah.

GERAK juga akan menghantar laporan mengenai perkembangan ini kepada teman – teman pertubuhan pro demokrasi seluruh dunia untuk memperhebatkan tekanan ke arah memberikan nyawa kepada demokrasi dalam negara ini. Kempen dan tekanan dalam negeri juga akan di pertingkatkan

Semua pihak harus bekerjasama untuk memperbaiki keadaan ini segara kerana impaknya negara akan diberikan persepsi yang negetif lantas memberikan kesan kepada kenyakinan pelabur untuk melabur dalam negara yang demokrasinya mati.

”demokrasi asas pembinaan negara dan hak asasi manusia”

berita berkaitan : 1. GERAK ajak semua pandang serius boikot pilihanraya

UGUTAN ABDULLAH BUKTI OSA UNTUK SELINDUNG RASUAH / JENAYAH TERANCANG.

Kenyataan Media GERAK
10 Januari 2006

9 Januari 2006 hampir semua akhbar arus perdana menyiarkan ugutan Abdullah Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang menyatakan kerajaan akan bertindak jika dokumen tol tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA).

Kerajaan boleh bertindak sekiranya salinan perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuhraya yang didakwa dimiliki oleh sebuah parti pembangkang, dikategorikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ugutan ini di tujukan kepada Saudara Tian Chua, Ketua Penerangan Parti keADILan Rakyat yang mendedahkan dokumen perjanjian Tol antara kerajaan dan syarikat pengendali konsesi tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Tian dalam sidang medianya Khamis lepas mendedahkan berdasarkan kepada dokumen yang didakwa perjanjian setebal 200 muka surat ditandatangani pada 23 April 1996, antara Kerajaan dengan Litrak, jelas menunjukkan sikap berat sebelah dan menindas rakyat.

Perjanjian itu jelas hanya menyebelahi syarikat konsesi dengan menjanjikan kenaikan tol dan pampasan jika syarikat tidak dibenar menaikan tol malah jika aliran trafik kurang kerajaan juga harus bertanggung jawab untuk memberikan pampasan.

Melalui perjanjian – perjanjian seperti ini pemegang konsesi tol seolah dianugerahkan mesin membuat wang untuk memunggah harta negara.

Namun apabila memberikan komen mengenai pendedahan tersebut, Perdana Menteri telah tidak memberikan respon terhadap pendedahan sebaliknya menyatakan ugutan akan mengambil tindakan kerana mendedahkan dokumen yang di klasifikasikan sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA).

Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) kecewa dengan respon Perdana Menteri. Beliau pernah berjanji untuk membentuk kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab (Transparen & Integrity). Namun respon beliau jelas mengecewakan apabila pendedahan tersebut disambut dengan ugutan.

Melalui respon ugutan Perdana Menteri itu juga menguatkan hujah GERAK bahawa OSA hanya digunakan untuk menyelindungkan rasuah atau jenayah terancang khususnya untuk memunggah harta kekayaan negara.

GERAK mengulangkan sekali lagi tuntutan agar akta rahsia rasmi (OSA) ini dikaji semula kerana ia jelas telah disalahgunakan untuk menutup kepincangan, rasuah dan jenayah terancang pemimpin kerajaan.

Mohamad Ezam Mohd Nor, Pengerusi GERAK pernah merengkok di dalam penjara sabit kesalahan di bawah OSA semata – mata mendedahkan bukti rahsia rasuah dua menteri kanan, yang mana sehingga kini tiada sebarang tindakan terhadap perasuah yang didedahkan tetapi pembongkar rasuah itu telah menjalani hukuman penjara.

Dalam isu tol ini GERAK mencabar kerajaan agar bersikap lebih berani dan telus dengan menjadikan dokumen perjanjian antara kerajaan dengan pemegang konsesi semua lebuhraya sebagai dokumen awam.

Perjanjian tersebut telah mengakibatkan bukan sedikit wang rakyat sama ada dari poket rakyat secara terus mahupun di bayar oleh kerajaan secara pampasan maka sewajarnya rakyat perlu mengetahui mengenai perjanjian tersebut.

GERAK berharap kerajaan benar-benar gigih memerangi rasuah dan penyelewengan. Kerajaan perlu mengelakkan tender tertutup dan dokumen rahsia yang tidak mempunyai mekanisme semak dan imbang yang jelas

”kebebasan maklumat nafas demokrasi”

berita berkaitan :

  1. perjanjian tol wujud mesin buat duit
  2. gabungan anti kenaikan tol dedah dokumen OSA
  3. Ugutan Abdullah bukti OSA lindung perasuah - Gerak

Tuesday, January 09, 2007

Akhirnya aku kehilangan kesemua nenda

6 Januari 6 petang sms Tian Chua yang singgah ke telefon bimbit menyatakan bahawa aku harus menjadi MC untuk Demo anti kenaikan TOL pada petang hujung minggu itu. Seperti biasa aku membalas dengan dua huruf 'ok'.

7 Januari 9.00 pagi ketika sedang berbincang dengan beberapa teman - teman rapat mengenai persiapan demo petang tersebut. Telefon berbunyi 'skrin' berkelip - kelip 'rumah' ... aku tidak menjawab panggilan kerana sedang rancak bincang mengenai demo petang. Cadangnya nanti - nanti akan telefon balik ke rumah. Dua kali panggilan tak di jawab ... satu sms masuk... aku baca...tertulis 'atuk Gemencheh dah meninggal'. Pertama sekali teringat Tian Chua, kerana kredit telefon yang 'ngam-ngam', maka hubungi Era dan minta dia maklumkan Tian mengenai akan gagal ke demo kerana pulang ke kampung.

Terus telefon rumah... rupanya atuk telah meninggal kira - kira jam 7.30 pagi. Papa balik dulu... che'GuBard bergegas balik pula mujur Rezal meminjamkan kereta Satria nya... ambil Era di Bangi dan kemudian terus ke rumah ambil Along dan Mama dan terus ke Gemencheh.

Atuk Gemencheh ialah bapa kepada Papa. Mak Papa telah meninggal semasa aku darjah satu. Ayah dan Mak mama sememangnya sudah meninggal. Ayah mama tak sempat jumpa pun meninggal sebelum aku lahir kedua ini. Nenek Tekah (mak mama) aku rapat dengan dia walaupun kadang kadang dia tak suka cucunya yang ini. Dia meninggal 3 tahun lepas.

Masa atuk Gemencheh sakit jarang dapat menziarah...cuma sekali dua aritu ketika memenuhi undangan ceramah di Gemencheh dan sebelah Tampin sempat melawat, tetapi Alhamdunillah sempat memandikan atuk, mensolatkan buat kali terakhir, mengkafankan dan sehingga membuka ikatan kain kafan di bahagian mukanya dalam liang lahat.

Akhirnya kini aku sudah tiada atuk dan nenek lagi..... Al Fathihah....


p/s : terima kasih kepada semua yang menghantar ucapan takziah secara sms mahupun melalui panggilan telefon. Terima Kasih kepada kawan yang turut melawat. Terima kasih kepada Azizi dan Linie yang datang juga walaupun lewat di maklumkan.

Jangan bayar tol - langgar aja....!

"Tidak membayar tol tersebut (kerana berpendirian ia satu kezaliman) adalah lebih mulia dan dihormati daripada menjadi rakyat yang pada satu masa menentang kenaikan tol tapi masa sama masih terus mengikut undang-undang dengan membayar tol yang ditentang itu."
TAHNIAH kepada rakyat Malaysia. Tahun 2007 disambut dengan hadiah kenaikan tol oleh Kerajaan BN di beberapa buah lebuh raya di Lembah Kelang. Kenaikan tol kali ini agak "menarik" kerana kadarnya amat tinggi iaitu menjangkau hingga 60 peratus.
Yang pastinya kenaikan tol ini tidak memeritkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan keseluruhan pak menteri dan kaum keluarga mereka meskipun mereka berkokok siang dan malam kononya rakyat perlu bersama-sama merasai bebanan yang ditanggung oleh pihak Kerajaan.

Kenaikan tol ini sudah tentu disambut dengan kegembiraan dan keriangan oleh pemegang konsesi berikut:


a. Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) iaitu operator tol bagi Lebuhraya Damansara Puchong ( LDP ). Litrak dimiliki 38.4% oleh Gamuda. LDP yang dianugerahkan faedah konsesi selama 33 tahun merupakan lebuhraya yang paling kerap dan banyak digunakan oleh kenderaan dan konsesi 33 tahun ini memberikan keuntungan berlipat ganda kepada Litrak.

GK Goh Research meramalkan keuntungan Litrak akan melompat sebanyak 50% setahun ke setahun ( year-on-year ) bagi Tahun Kewangan 2007 dan 2008 ( FY2007 and FY2008 ) disebabkan kenaikan kadar tol baru ini. Laporan tersebut juga menambah bahawa dividen Litrak akan berlipat ganda bagi tahun kewangan 2008 (FY2008 ) daripada tahap yang sedia ada Litrak juga adalah operator tol bagi lebuhraya SPRINT yang juga dijadualkan akan menerima kenaikan toll pada tahun 2008.

b. Grand Saga Sdn Bhd adalah pemegang konsesi untuk Lebuhraya Cheras-Kajang. Terdapat dua tol untuk jalan yang panjangnya hanya 11.5km. Sebelum kenaikan tol kadar bayaran tol adalah 70 sen bagi pemandu yang memandu kenderaan peribadi di tol plaza 9 batu yang pertama dan 60 sen di 11 batu yang kedua. Pada masa ini kenaikannya adalah masing-masing pada kadar RM 1 dan 90 sen.

c. MTD Infraperdana Bhd yang mengendalikan lebuhraya KL-KJarak sejauh 60 km. Kini kadar tol di Plaza Tol Gombak telah dinaikkan daripada RM 4 ke RM 5 manakala kadar tol di Plaza Tol Bentung menyaksikan kadar bayaran tol dinaikkan dari RM 2.50 kepada RM 3.00.

Tidak boleh disangkal lagi bahawa kenaikan tol kali ini benar-benar dirasai keperitannya oleh rakyat. Apatah lagi kenaikan kadar tol ini berkuatkuasa ketika rakyat sedang menderita dengan perbelanjaan persekolahan anak-anak di awal tahun manakala kesan keperitan kenaikan harga pertrol dan diesel masih belum hilang.

Bayangkan rakyat yang harus menggunakan LDP pergi dan balik kini perlu membayar RM 1.20 sehari di mana bagi tempoh sebulan beliau harus membayar RM96 dan RM1,152 setahun. Dalam keadaan rakyat perlu membayar RM 1,2152 setahun, Litrak pula mendapat keuntungan berlipat ganda. Untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2006 Litrak membayar dividen bersih kepada pemegang sahamnya 7.2 sen.

Apa yang lebih malang lagi meskipun kadar tol dinaikkan tiada sebarang jaminan perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna jalanraya di lebuh raya tertentu benar-benar memuaskan hati pengguna.

Lihat sahaja di LDP dimana semua pengguna jalanraya teramat maklum kesesakan yang mereka alami khususnya di sepanjang Sunway-Damansara yang mungkin kesesakan itu bersifat kekal abadi dan rakyat harus membayar RM 1.60 untuk turut sama dalam kesesakan ini.

Jadi persoalan yang boleh dibangkitkan adalah adakah pengguna mendapat nilai tambah daripada pengeluaran wang membayar tol ini.

Dengan lain perkataan adakah kenaikan kadar tol boleh dijustifikasikan dengan mutu perkhidmatan yang ditawarkan di lebuhraya berkenaan.

Satu lagi perkara yang tidak boleh disangkal adalah kesan yang tumpah ( the spillover effect ) dengan kenaikan kadar tol ini. Terdapat kebarangkalian yang tinggi kenaikan kadar tol akan dizahirkan pada harga barangan khususnya di Lembah Kelang sama ada secara langsung atau tersirat disebabkan kesan 'cost pass-through".

Hari ini kadar harga makanan di Lembah Kelang telah meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus dibandingkan tahun-tahun yang lalu. Meskipun 'spillover effect" ini suatu yang pasti terjadi bapak-bapak menteri yang haprak ini masih tidak segan silu bersandiwara meminta para peniaga tidak menaikan harga barangan.

Dalam keadaan begini apakah pilihan atau opsyen kepada rakyat ? Di sini saya membentangkan lima opsyen yang mungkin boleh difikirkan oleh rakyat sebagai pihak yang secara langsung mengalami bahana kenaikan tol ini.

A. Membeli saham syarikat-syarikat pemegang konsesi tol
Rasional cadangan ini adalah sebagai pemegang saham syarikat-syarikat pemegang konsesi ini rakyat boleh mendapat balik bayaran tol yang dibayar dalam bentuk dividen atau hasil kenaikan harga saham.

Ng Kar Yean di dalam catatan sinisnya di kolum "coffe break" di dalam akhbar The Edge bertarikh 18 /12/2006 membuat pengiraan berikut jika rakyat membeli saham syarikat-syarikat tersebut.

Sebagai contoh bagi LDP kadar tol adalah RM 1.60 . Maka kadar tol yang dibayar sehari pergi dan balik bagi pengguna LDP adalah RM 1.20 sehari, RM 96 sebulan dan RM 1,152 setahun.

Berapa banyak pengguna lebuhraya LDP harus mengeluarkan wangnya kepada Lingkaran Litrak bagi membeli saham untuk mendapatkan setiap sen yang beliau keluarkan bagi pembayaran tol di LDP?

Sepertimana yang dikatakan tadi bahawa untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2006 Litrak membayar dividen bersih kepada pemegang sahamnya 7.2 sen.

Katakan dengan kenaikan kadar tol ini Litrak menjadi lebih pemurah dan bercadang membayar dividen bersih 10 sen bagi tahun kewangan 2007. Pada masa ini harga saham Litrak pada kadar RM 3. Jika diterjemahkan kepada dividen bersih penghasilannya adalah 3.33 peratus.

Dengan hasil dividen sebegitu pengguna perlu mengeluarkan wang sebanyak RM34,594 kepada Litrak jika ingin mendapat balik tol yang dibayar sebanyak RM 1,152 setahun kepada Litrak di LDP . Dari manakah pengguna ingin mendapatkan wang sebegitu? Dari bawah bantal?

B. Rakyat terus menerus mengadakan demonstrasi sehingga kadar tol baru ini diturunkan
Rakyat yang ingin memilih opsyen ini bolehlah terus menerus mengikuti setiap demonstrasi yang akan dianjurkan oleh Barisan Alternatif dan Badan-Badan Bukan Kerajaan ( NGO ) yang peka terhadap isu ini sehinggalah Kerajaan merasa terancam dengan demonstrasi ini dan bersedia untuk menurunkan kada tol di lebuhraya-lebuhraya yang terbabit.

Melihat kepada demonstrasi (kecuali di zaman reformas ) yang berlaku di dalam isu kenaikan harga minyak masalah yang besar adalah untuk mengekalkan momentum dan kepanasan isu tersebut yang sekaligus mempengaruhi kehadiran rakyat di dalam demonstrasi tersebut.

Apa yang sering berlaku momentum demonstrasi ini seperti solat tarawikh di bulan Ramadhan di masjid -masjid di mana di awal ramadhan menyaksikan limpahan para jemaah sebaliknya di akhir ramadhan hanya Pak Imam dan Bilal yang menjadi penunggu yang setia.

Apa yang perlu difikirkan khususnya oleh para pimpinan BA dan NGO adalah bagaimanakah rakyat terus-menerus konsisten menghadiri demonsrasi ini. Ianya perlu distrukturkan secara teliti dan teratur bagi mendapatkan kesan yang optimum.

C. Rakyat jangan membayar tol dan melancarkan "civil disobedience"
Kalimah "Civil Disobedience" mungkin masih asing bagi rakyat negara ini. Ia adalah kalimah yang dipopularkan oleh Henry David Thoreau yang amat membenci melihat perhambaan golongan kulit hitam dan telah menggunakan kalimah ini bagi melawan pihak Kerajaan.

Civil disobedience sepertimana yang dinyartakan oleh Thoreau adalah "not lend myself to the wrong which I condemed and the only obligation I have a right to assume is to do at any time what I think right and to be right is more honorable than to be law abiding citizen ."

Bagi penggerak civil disobedience, jika mereka berpendirian kenaikan tol ini tidak wajar dan ianya adalah satu kezaliman kepada rakyat dan pendiriannya itu dirasakan betul ia bersedia untuk tidak membayar tol meskipun ia menggunakan lebuh raya tersebut.

Baginya tidak membayar tol tersebut (kerana berpendirian ianya satu kezaliman) adalah lebih mulia dan dihormati daripada menjadi rakyat yang pada satu masa menentang kenaikan tol tapi dalam masa yang sama masih terus mengikut undang-undang (law abiding) dengan membayar tol yang ditentang tersebut.

Antara tokoh besar yang pernah menggunakan kaedah ini adalah Mahathma Gandhi yang popular dengan prinsip "satyagraha"nya dan bagi Gandhi kalimah "civil resistence" adalah lebih tepat daripada "civil disobedience". Nelson Mandela juga menggunakan kaedah ini sebagai salah satu cara menentang rejim apartheid.

Jika rakyat ingin memilih kaedah ini mereka mesti bersedia mengambil risiko. Risikonya adalah ianya akan membawa mereka ke muka pengadilan atau dipenjarakan sepertimana Gandhi pernah dan sering mengalaminya. Jika ramai yang bersedia dan berani mengambil risiko ini mungkin ia boleh memberikan kesan yang positif dalam menentang isu kenaikan tol ini.

D. Tidak mengundi BN di dalam pilihanraya umum akan datang
Pilihan ini mungkin satu pilihan yang paling mudah dan bersih dari risiko. Sifirnya amat mudah - kami (rakyat) telah memberi mandat yang amat besar kepada BN pada pilihanraya umum tahun 2004 yang lalu dan kamu (BN) sepatutnya menggunakan mandat besar itu untuk menolong meringankan beban kami bukan menguntungkan kroni kamu .

Oleh kerana BN gagal meringankan beban rakyat, kami akan hukum kamu dalam pilihanraya umum yang akan datang. Jika kamu tidak percaya kami akan buktikan dalam pilihanraya kecil DUN Batu Talam di Pahang pada 28 hb Januari nanti.

Jika rakyat masih sangsi adakah kerajaan BA boleh meringankan beban mereka khususnya dalam isu tol ini , lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Kerajaan BA di Trengganu yang telah berjaya menghapuskan tol ( termasuk cukai pintu ) apabila rakyat memilih mereka. Hakikatnya penghapusan tol oleh kerajaan BA bukan satu mitos . Ianya realiti yang benar-benar berlaku.

Mungkin jika rakyat memilh opsyen ini pada masa akan datang kita hanya akan boleh melihat tol di muzium sepertimana yang dikatakan oleh Pemenang Novel Keamanan Prof Yunus, Pencetus Grameen Bank "my aim is to ensure that people only see poverty in museum" ("Cita-cita saya adalah memastikan orang akan melihat kemiskinan hanya di Muzeum")

E. Terus membayar tol dan menyokong BN
Opsyen bagi rakyat yang tidak mengambil peduli apa yang terjadi dikelilingnya. Jika opsyen ini yang dipilih mereka tidak layak untuk mengeluh dengan bebanan dan kesengsaraan yang dialami dengan kenaikan tol ini.

Mereka juga mesti terus bersedia dengan kenaikan harga barangan dan jangan mengeluh sama sekali. Mereka tidak boleh sama sekali marah dengan apa-apa kenaikan tol selepas ini kerana menyokong BN bererti mereka redha dengan apa yang terjadi.

Sebarkan !!!

contoh beberapa risalah yang baru - baru ini disebarkan oleh AMNS. Semua boleh membantu dengan mencetak semua dengan kuantiti yang termampu dan sebarkan di kalangan tempat kerja, tempat tinggal, kenalan dan saudara mara. (klik gambar untuk imej lebih jelas atau hubungi saya melalui email untuk fail yang lebih besar badrul_angkatanmuda@yahoo.com)

Monday, January 08, 2007

Kenaikan TOL : Apa yang anda perlu tahu ?

Mulai 1 Januari 2007, benarlah seperti mana yang didakwa sebelum ini bahawa kerajaan telah meluluskan kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya negara ini.
Mungkin ada justifikasi tersendiri di kalangan pemimpin negara terhadap kadar tol baru ini, namun kenaikan sehingga mencecah 60 peratus boleh dianggap seperti menjerut leher setiap warga negara ini.
Untuk meninjau lebih jauh, maka bolehlah dilontar beberapa persoalan dalam isu kenaikan kadar tol ini.

Pertamanya, kenapakah kerajaan menaikkan kadar tol sebanyak 20 peratus hingga 60 peratus? Samy Vellu memberitahu dalam perjanjian di antara kerajaan dengan pemilik konsesi, syarikat konsesi dibenarkan untuk menaikkan kadar tol mengikut tempoh yang dipersetujui. Tetapi sekiranya kadar kenaikan tidak dipersetujui, maka kerajaan terpaksa membayar pampasan atau ganti rugi kepada syarikat konsesi!.
Menurut Samy Vellu, sehingga kini kerajaan telah membayar ganti rugi sebanyak RM2 bilion. Dengan itu kerajaan mengeluarkan subsidi berjumlah RM2 bilion bagi mengelakkan rakyat membayar kenaikan tol tersebut!
Timbalan menteri, S Veerasingam pula berkata bahawa kerjaan tidak ada pilihan selain daripada menaikkan kadar tol! Jika tidak kerajaan akan berterusan membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat konsesi!
Kerajaan juga menyatakan bahawa tiada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan tentang perjanjian yang telah dibuat di antara kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi tersebut.
Jika begitu siapakah sebenarnya yang mentadbir negara ini?
Daripada penjelasan menteri, timbalan menteri dan kerajaan seolah-olah syarikat-syarikat konsesi yang mewakili golongan kapitalis dan kroni inilah yang lebih berkuasa daripada kerajaan!.
Tidakkah perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya ini berat sebelah?
Ya, perjanjian ini amat berat sebelah. Perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi telah dijalankan secara tidak telus dan terlalu banyak rahsia. Kepentingan syarikat-syarikat konsesi sentiasa diutamakan dan kepentingan rakyat secara berterusan dipinggirkan.
Di peringkat manakah dalam perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi dinyatakan bahawa harga tol boleh dinaikkan?.
Dari awal perjanjian ditandatangani lagi. Bahkan, sebagai contoh kadar kenaikan tol di LDP untuk 30 tahun telah siap ditentukan sejak awal lagi!
Kenapa kerajaan dengan mudah bersetuju dengan kenaikan yang terkandung dalam perjanjian tersebut?
Inilah persoalan yang membingungkan. Sebagai contoh kadar tol yang dipersetujui oleh kerajaan di LDP pada tahun 1998 adalah RM1.50. Tetapi tol yang dikenakan kepada pengguna adalah RM1.00. Ini bermakna kerajaan membayar 50 sen untuk lapan tahun bermula dari tahun 1998 hingga tahun 2006!
Seperti dalam kes LDP, kenapa dari awal lagi kerajaan tidak runding untuk tetapkan harga tol pada RM1.00? Dengan itu kerajaan tidak dibebankan membayar pampasan atau ganti rugi kepada syarikat konsesi berkenaan?
Ya, benar. Perjanjian seumpama itu ditandatangani oleh kerajaan seolah-olah bagi membolehkan kerajaan menyalurkan wang rakyat kepada syarikat-syarikat konsesi!
Mengapa kerajaan benar-benar mahu melindungi syarikat-syarikat konsesi ini. Apakah syarikat-syarikat ini mengalami kerugian teruk?
Laporan Tahunan 2006 Litrak, iaitu pemilik konsesi LDP menunjukkan keuntungan bersih sebanyak RM80 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 43% dari keuntungan bersih RM56 juta pada tahun 2005.
Laporan itu juga menunjukkan Litrak mencatat rekod baru dengan kutipan sebanyak RM243 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2006 berbanding dengan kutipan sebanyak RM227 juta pada tahun sebelumnya.
Bagaimanakah keuntungan ini boleh dicapai?
Pada awalnya LDP dibina bagi menampung 1 juta kenderaan setahun. Namun bilangan kenderaan telah meningkat kepada hampir 3 juta setahun. LDP berada di tengah-tengah jalur perdagangan cergas Bandaraya Kuala Lumpur. Perhatikan saja kesesakan kenderaan di tol tersebut pada waktu-waktu puncak.
Apa lagi yang rakyat tidak tahu tentang kenaikan kadar tol ini?
Banyak lagi yang rakyat tidak tahu!. Contohnya, walaupun bermula dari 2007 kadar tol di LDP adalah RM1.60, tetapi kadar sebenar dalam perjanjian adalah RM2.10. Ini bermakna kerajaan akan terus membayar pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak 50 sen sehingga tahun 2015!. Rakyat tambah dari saku sendiri sebanyak 50 sen dan kerajaan tambah lagi 50 sen dari wang rakyat!. Apapun syarikat konsesi yang kaya raya!
Jika begitu kenapa kerajaan masih meluluskan kenaikan kadar tol?
Inilah salah satu daripada kepincangan dasar penswastaan kerajaan yang terlalu memihak kepada kepentingan syarikat konsesi, kroni dan golongan kapitalis serta sekali gus tidak mengendahkan kepentingan rakyat.
Memang sejak awal dasar penswastaan jalanraya kerajaan tidak mengendahkan kepentingan rakyat. Kerajaan bersikap berlepas tangan dalam kerja-kerja untuk terus memajukan sistem jalanraya dan kemudahan-kemudahan yang berhubung dengannya.
Layanan EPU (Economic Planning Unit di bawah Jabatan Perdana Menteri) terhadap projek-projek jalanraya kendalian JKR amatlah sepi berbanding projek-projek syarikat konsesi. Itulah antara sebab mengapa kerajaan sanggup terlibat dengan perjanjian yang begitu berat sebelah dengan syarikat konsesi.
Jika kerajaan berterusan membayar pampasan kepada syarikat konsesi, sudah tentu pampasan yang terpaksa dibayar oleh kerajaan lebih tinggi daripada pembinaan lebuhraya?
Betul!. Samy Vellu menyatakan bahawa kos pembinaan semua lebuhraya di atas tidak termasuk Guthrie adalah RM4.13 bilion. Setakat ini kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM4.86 bilion. Ini bermakna tanpa menswastakan pembinaan lebuhraya sekali pun, kerajaan mampu membina lebuhraya-lebuhraya tersebut!
Bolehkah kerajaan membina lebuhraya tanpa melalui penswastaan?
Boleh!. Contohnya pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan pembinaan Lebuhraya KL-Seremban peringkat pertama dahulu. Disebabkan tindakan tergesa-gesa untuk menjalankan dasar penswastaan, agensi kerajaan yang telah menjayakan kedua projek ini ditukar menjadi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan peranannya diperkecilkan hanya untuk menyelaras perjalanan projek yang diserahkan kepada syarikat-syarikat konsesi.
Kerajaan semasa menaikkan harga petrol mengatakan bahawa tujuan kenaikan tersebut adalah untuk menjimatkan RM4.4 bilion. Kini kenaikan harga tol pula dikatakan untuk menjimatkan RM2 bilion.
Adakah rakyat akan mendapat manfaat daripada penjimatan ini?
Tidak mungkin rakyat akan mendapat manfaatnya. Ini kerana, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Sulaiman pada 13 Dis 2006 memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan berbelanja sehingga RM11 bilion untuk mengambilalih (sebenarnya bailout) tujuh syarikat yang mengalami masalah pengurusan dan kewangan selepas diswastakan terutamanya Star LRT, Putra LRT dan MAS.
Jika demikian apakah kedudukan ekonomi negara buat masa ini?
Kucar-kacir!. Kenaikan harga minyak pada 28 Feb 2006 merupakan tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Pada awal tahun 2006 cukai pintu dan cukai tanah telah dinaikkan. Pada awal Februari 2006 pula tambang bas sekolah turut dinaikkan. Tidak lama selepas itu, pada bulan Jun 2006, kadar tarif elektrik juga dinaikkan.
Ini disusuli pula dengan kenaikan tarif air sebanyak 15% oleh Syabas di Kuala Lumpur, Putra Jaya, Selangor dan di negeri Perak. Kadar inflasi pada bulan Mac 2006 adalah 4.8%, iaitu paras yang tertinggi dalam tempoh enam tahun.
Tanggungjawab siapakah untuk memastikan keadaan kewangan dan ekonomi negara berada dalam keadaan yang sejahtera?
Menteri Kewangan Malaysia!.
Siapakah Menteri Kewangan Malaysia?
Abdullah Ahmad Badawi!.
Bukankah beliau juga merupakan Perdana Menteri Malaysia?
Ya! Perdana Menteri yang paling hebat mengkucar-kacirkan ekonomi negara!

Sunday, January 07, 2007

Gantung diri, gagal bayar yuran

Seorang murid tahun enam sebuah sekolah di Miri ditemui tergantung di rumahnya semalam selepas gagal mendapatkan wang untuk membayar yuran sekolah. Daniel Boniface, 12, itu ditemui kakaknya dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.30 petang dan dibawa ke hospital bahagian di Miri, tetapi disahkan meninggal dunia.
Bapa saudaranya yang enggan dikenali, memberitahu Bernama, kali terakhir dia melihat Daniel ialah kira-kira jam 3.45 petang ketika dia menonton television di ruang tamu. Sebelum itu, katanya, Daniel, anak bongsu daripada lima beradik, telah meminta wang daripada ibunya untuk membayar yuran sekolah tetapi ibunya yang bekerja sebagai pencuci pejabat dan telah berpisah dengan suaminya, tidak dapat menunaikan permintaan itu kerana kesuntukan wang. Beliau mendakwa pelajar itu turut menghubungi bapanya di Mukah untuk mendapatkan wang tetapi sebaliknya dimarahi.

Pelajar itu juga cuba mendapatkan bantuan daripada neneknya tetapi turut dimarahi dan disuruh berhenti sekolah dan mencari kerja jika tidak mampu membiayai persekolahannya. Seorang jurucakap Balai Polis Pusat di Miri mengesahkan menerim laporan mengenai kejadian itu daripada seorang anggota keluarga mangsa malam ini.

Thursday, January 04, 2007

Akhirnya Saddam Mati jua - Yunus


Maka matilah Saddam Hussein di tali gantung pada 30hb Jan.2006 bersamaan Hari Raya Qorban (dirayakan di Iraq sehari lebih awal dari Malaysia).

Saddam ini bukannya pula baik orangnya, dia ini adalah seorang despot yang menaiki kuasa melalui kekerasan senjata dan pembunuhan. Tetapi jika diperhatikan sejarah di tanah bernama Iraq ini, kita akan dapati satu aspek pergolakan kuasa yang ganas, berdarah dan ngeri.

ikuti tulisan selanjutnya di http://blackinkorea.blogspot.com

Gambar semasa lawatan ke Tugu Anti Perang Jepun





Anwar rasmi MAT NUBE

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijemput untuk merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) hari Jumaat ini. Butir-butirnya adalah seperti berikut:

Tarikh: 5 Januari 2007 (Jumaat)
Masa: 7.30 PM
Tempat: Pusat Latihan NUBE, KM 13.5 Jalan Pantai Teluk Kemang, 71050 P. Dickson

Antara lain Tuan Syed Shahir, Presiden MTUC akan turut hadir.
Datuk Seri Anwar dijangka menyentuh mengenai cabaran rakyat Malaysia menghadapi gelombang globalisasi dan liberalisasi termasuklah pusingan kedua penggabungan dan pembelian bank-bank tempatan serta kehilangan daya saing negara.

Datuk Seri Anwar akan menekankan keperluan pembaharuan ekonomi dengan menggantikan Dasar Ekonomi Baru dengan Agenda Ekonomi Nasional yang menggabungkan penekanan meningkatkan daya saing negara dengan memelihara keadilan sosial tanpa mengira kaum.

Untuk hadir pada program tersebut, anda boleh menghubungi pegawai NUBE di 012-3031462

Tuesday, January 02, 2007

Bukan tujuan meraih simpati, mengumpul sokongan

Lama sangat rasanya tidak meng ‘up-date’ blog, bukan sahaja up-date malah membuka blog mahupun melayari internet agak sudah lama. Hampir dua minggu.

Masuk pejabat GERAK hanya sekejap sekejap - sekejap haja. Paling terakhir Black yang up-date dengan menaikkan Video we shall overcome. Black excited sangat bila bercerita bab demo 7 Januari ini “demo anti kenaikan tol”, kerana itu dia naikkan video klip tersebut yang katanya lagu itu dinyanyikan untuk menaikkan semangat para demonstrate anti perang satu ketika dulu.

Terlalu sibuk dengan menyusun gerak kerja di Negeri Sembilan. Semua perlu diselesaikan sebelum ke Korea mungkin penghujung Febuari 2007. Amat risaukan gerakan anak muda ”AMNS” selepas pemergian saya akan kalau – kalau tersangkut. Itu mungkin kesilapan selama ini kelihatan terlalu bergantung idea dan arahan.

Malah masih terakam padat di ingatan, bila diluahkan mengenai keputusan untuk tetap akan ke Korea. Ikhlas di wajah mereka gembira melihat kejayaan sahabat. Tetapi genggaman tangan masing – masih bersalam jelas menunjukkan sedikit kecewa kerana keputusan tersebut.

Yakin teman – teman AMNS paham akan keputusan itu. Berdasarkan keadaan situasi sekitaran (fitnah, adu domba, politiking) maka adalah sihat untuk saya berkelana sebentar ke bumi asing. Tetapi percayalah keputusan itu saya ambil dalam terpaksa dan berat hati.

Namum kepercayaan saya amat tinggi kepada teman – teman AMNS untuk meneruskan agenda perubahan dan mengasak kesedaran rakyat.

Kesibukan juga ditambah kerana persiapan bertunang (pada 1 Januari) dan majlis perkahwinan (15/16 Febuari). Insyaallah akan di umumkan. Kehadiran semua sahabat, keluarga dan aktivis anak muda jauh dan dekat dalam majlis tersebut amat diharapkan.

Beratus sms dan email yang menujah masuk ke talian hp 0176688404 dan email peribadi respon dari situasi politik mahupun penulisan dalam blog ini.

Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih atas panggilan telefon, email dan sms yang saya terima dari perbagai insan yang menawarkan bantuan kewangan khususnya selepas membaca artikel Catatan ke Terengganu : Jangan Jadi cicakman. Artikel tersebut merupakan lontaran terus dari hati yang ditulis pada 20 Disember, jam 4.00 pagi dalam keadaan keletihan selepas pulang kecewa dari menghantar bantuan banjir di Felda Sungai Kelamah.

Amat mengejutkan bukan di kalangan teman – teman yang dikenali atau sekurang kurangnya yang mengakui penyokong mahupun pendokong gerakan Reformasi tetapi tawaran bantuan juga di perolehi dari seseorang yang saya kira antara tokoh establisment.

Di tegaskan tulisan tersebut bukan untuk meraih simpati hanya catatan peribadi untuk didedikasi dengan anak muda yang sama berkongsi aspirasi agar lebih bersemangat dalam perjuangan. Hampir semua tawaran tersebut telah saya tolak dengan baik dan ingin saya bangkitkan jika benar mereka ingin membantu salurkan kepada mereka yang lebih memerlukan atau salurkan kepada channel yang betul untuk melicinkan perjuangan. Kerana bagi bagi saya melihat teman – teman pejuang berjaya menjalan aktiviti dengan lancar adalah kebahagian yang tidak ternilai. Ketahuilah ramai teman pejuang di bawah sana bergelut dengan hidup tetapi masih mengutamakan usaha meneruskan perjuangan dengan ikhlas tanpa memikirkan untuk claim apa yang mereka belanjakan.

Seorang kekanda dari Putrajaya yang tidak ingin namanya disebut enam kali menefon menawarkan untuk membayar kos membaiki kereta saya, namum saya tolak dengan baik. Akhirnya dia memasukkan RM 300 ke akaun AMNS dan wang tersebut telah digunakan untuk program kembali ke sekolah.

Saya juga amat menghargai penyataan sokongan dari teman – teman yang di kenali mahupun tidak dikenali. Sesungguhkan penyataan sokongan dari mereka (anak muda) amat dihargai tetapi akan lebih bermakna jika kita sama lelehkan keringat kita dalam perjuangan yang menuntut keberanian dan kecekalan anak muda ini. Saya juga berharap agar sokongan – sokongan teman – teman tidak disertai dengan memperlekehkan dan memperkecil kecilkan orang lain. Jika benar ada yang tidak dipuas hatikan berkatalah benar secara tegas. Ketidak kebetulan dalam gerakan harus diperbetulkan sebelum ia menjadi kerosakan yang parah.

”berkata benar di depan penguasa yang zalim merupakan antara jihad yang besar’

Bagi yang memberikan komen peringatan dan amaran itu juga saya ingatkan jaminan saya yang telah saya berikan dalam surat saya kepada semua exco angkatan muda pusat iaitu jagan khuatir saya tidak akan bertanding untuk jawatan Ketua Angkatan Muda Pusat yang kini kosong selepas pengunduran saudara Ezam.

Cuma sedikit kegusaran apabila ada komen berbentuk ugutan dan seolah akan gembira ingin melihat kehancuran khususnya AMNS.... komen – komen nakal ini bukan sahaja memenuhi mail box, chat box chegubard tetapi turut mengheret blog DSAI juga. Saya merayu ketepikan segala bentuk politiking berlebihan, kepura puraan dalam berjuang dan seumpamanya. Ingat kita berjuang kerana kesedaran bukan kerana mengejar jawatan.

Sedih juga rasanya kerana blog ini dibuka dan di usaha diletakkan dengan chat box semata – mata berharap menjadi medan berkongsi idea dan maklumat mengenai persekitaran ke arah mempertingkatkan daya juang dalam menobatkan keADILan. Nampaknya ada yang seronok menggunakannya berdasarkan pemikiran sempit.

Terlalu rindu rasanya ingin melihat kembali anak muda anak muda 'itu' duduk di mana - mana bercerita mengenai bagaimana untuk mengasak perjuangan, meningkat kesedaran.... hentikan sikap asyik bercerita - pasal jawatan pangkat dan sebagainya. Hentikan perjumpaan demi perjumpaan untuk mengumpul sokongan dan menawar jawatan.

Benar kejayaan seolah sudah kelihatan, namun sebenarnya kita umpama berada di sebuah pulau yang terlalu jauh kelihatan daratan kejayaan itu.... banyak lagi ombak dan badai harus direnangi untuk ke daratan kejayaan. che'GuBard menghargai sokongan, simpati dan dokongan semua tetapi bukan itu yang di pinta. Sokongan dan dokongan perlulah pada perjuangan memperkasakan kedaulatan rakyat.

Kita datang dari satu mata air yang sama, jika mata air zam zam tersembur disepak oleh Nabi Ismail AS. Gerakan Reformasi Malaysia ini umpama mata air. Semangat melawan kezaliman dan penindasan telah terperam lama tetapi terhampur keluar apabila mata air itu tersembur dihentak kaki DSAI serentak dengan kepalan tangan tumbukan ke udara dengan laungan Reformasi. Maka kita anak muda yang lahir dari punca mata air yang sama. Ketepikan perbedaan lihat ke depan.... asak keadilan ayuh ratah kezaliman. Luka rakyat akan lebih parah jika yang mereka harapkan bertelagah.... luka perit umpama luka lama di tabur garam.

Jawatan kanan dalam parti tidak membawa makna apa – apa jika kita mewarisi sebuah parti yang bukan lagi berada di arus perdana dan gagal untuk bersama dengan denyut nadi luka rakyat marhaenis.

Menulis di dalam kereta kelisa yang di letakkan di depan coffee bean s2 shopping mall pada jam 2 petang...amat panas, namun tidak sedar masa berlalu, bateri komputer riba telah berkelip (hampir habis) dan baju telah lencun basah dek peluh. Walaupun kurang selesa namun tempat ini di pilih kerana boleh layari internet secara percuma kerana mencuri guna line wi fi dari lot perniagaan berdekatan.

Esok masuk pejabat akan update yang lain khususnya mengenai perjumpaan dengan ’sumber’ di Muar yang memberikan mallumat salahguna kuasa dalam pemberian bantuan banjir. Serta menjawab 11 email yang diperolehi ekoran dari lawatan AMNS ke Tugu Peringatan perang Menentang Jepun di Nilai.

Amat berharap semua tumpukan kepada gerak kerja..... pergiatkan usaha jangan bazirkan tenaga dengan menumpukan kepada perkara yang boleh melarikan fokus... Ingat perjuangan bukan pada kata - kata sebaliknya Perjuangan Adalah Pelaksanaan Kata - Kata.

Tuesday, December 26, 2006

Joan Baez - We Shall Overcome - Woodstock 1969

Video ini Che'gu bard tujukan kepada semua pendemo-pendemo yang akan turun pada 7hb Januari 2007 ini. Semoga kita tak akan mengalah dalam perjuangan ini.

SOKONG KENYATAAN ADUN LENGGENG : HENTI CAMPUR TANGAN KELUARGA MB DALAM URUSAN KERAJAAN N.S

Kenyataan Media
24 Disember 2006

4 Disember lepas Sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan kecoh apabila ADUN Lenggeng, Datuk Ishak Ismail membangkitkan isu campurtangan Keluarga Menteri Besar dalam pentadbiran kerajaan.

Ishak yang juga Ketua Umno Bahagian Seremban juga menyebut mengenai banjir sekitar negeri ini sejak akhir – akhir ini turut berpunca dari kegiatan korek pasir dan pembalakan yang di jalankan oleh mereka yang mempunyai pertalian keluarga dengan Menteri Besar.

Sebelum ini Angkatan Muda keADILan Negeri Sembilan (AMNS) telah menerima banyak rungutan baik dari orang biasa mahupun orang dalam Umno dan kerajaan negeri sendiri mengenai perkara ini.

Mengikut rekod Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai tercatat nama ahli keluarga Mohamad Hassan sebagai Ahli Majlis dan rungutan di kalangan ahli juga pimpinan Umno negeri pula merasakan kurang selesa dengan penglibatan Datuk Azman Hassan (Abang Mohamad) sebagai Setiausaha Umno.

Menjadi buah mulut di negeri ini mengenai campur tangan keluarga Mohamad di dalam banyak urusan kerajaan dan mula menguasai banyak projek serta perniagaan menggunakan pengaruhnya.

AMNS memandang pendedahan Ishak dalam dewan itu sebagai kemuncak menifestasi kegelisahan rakyat negeri ini. AMNS menyokong kenyataan Datuk Ishak di dalam Dewan Undangan Negeri itu.

AMNS menuntut dihentikan segera campurtangan keluarga MB ini dalam urusan kerajaan.

Untuk itu AMNS akan melancarkan kempen menyedarkan rakyat untuk mendesak dan menolak campur tangan keluarga dalam urusan kerajaan negeri ini. Walaupun Mohamad berjaya menjadikan isu ini telah disenyapkan oleh media dari pengetahuan umum tetapi kempen poster dan risalah akan dilancarkan sehingga MB memberikan respon dalam isu ini. 50,000 Risalah akan disebarkan dan 10,000 poster akan ditampal di tempat – tempat strategik.

Kempen kali ini juga menuntut penjelasan MB mengenai penggunaan dana khas untuk rakyat miskin untuk mengubah suai dapur rumah rasmi dengan nilai RM 4.5 juta dan membeli perabut dengan nilai RM 5.44 juta.


bahan kempen sila cetak dan sebarkan / tampal di kawasan anda !
(
klik pada imej untuk gamabr lebih jelas, fail dalam saiz besar mungkin kena tunggu)

Rasuah lepas Curi milo kena penjara

Meringkuk di penjara 4 bulan kerana sepeket Milo
25-12-2006 11:39:27 AM

KOTA BAHARU: Kerana mencuri sepaket Milo berharga RM12.90, seorang penganggur hari ini dihukum penjara empat bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini.

Nammad Amruzar Mohd Nawi, 23, juga terpaksa merengkuk di penjara selama dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dia mengaku salah mencuri sepaket Milo seberat satu kilogram dari sebuah pasar raya di sini pada 13 Sept lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda.

Majistret Nik Habri Muhammad memerintahkan hukuman bermula pada tarikh Nammad Amruzar ditangkap iaitu pada 13 Sept lepas. BERNAMA

Negara ini dah gila....curi milo (RM12.90) pun kena tangkap...tapi yang rasuah berbilion terlepas macam itu saja... yang akibatkan negara rugi berbilion boleh jadi menteri..... huh gilo...gilo.. Sekali lagi mahkamah dan institusi penguatkuasaan Malaysia menunjukkan kebolehan luar biasa.

Sunday, December 24, 2006

Catatan ke Terengganu : Jangan jadi Cicakman

Oleh kerana kewangan yang amat teruk mulanya nak batal sahaja program ke Terengganu, tetapi mengenangkan Pok Jak, Ketua Bahagian Kuala Terengganu yang bersungguh – sungguh dan Ng Chai Heng, Setiausaha Negeri Terengganu aku tekad juga untuk pergi. Cadangnya untuk naik bas ekspress aja memandangkan kereta yang ‘tidak berapa sihat’ dan untuk lebih menjimatkan.

18 Disember 2007, 7.00 pagi keluar rumah dengan berbekal RM 10.00 yang dipinjam dari mak dan wang yang sememang ada dalam poket RM 7.00. Itupun hanya cukup isi minyak kereta yang dah teruk sangat ’kering’ sebanyak RM 15.00

Dari rumah aku terus ke Sekolah Tinggi Chung Hwa, Seremban untuk mengambil semula deposit sewa dewan yang di gunakan untuk Dialog Ekonomi pada 26 November lepas. 8.00 pagi sampai di sekolah itu aku dimaklumkan Encik Tham, Pegawai yang bertugas akan masuk lewat sekitar jam 11.30 pagi. Tiada pilihan lain selain dari menunggu beliau kerana tiada jalan lain untuk mendapatkan tambang ke Terengganu.

Jam 11.45 pagi aku meninggalkan sekolah tersebut dengan pulangan deposit yang di tunggu. Walaupun tidak seperti jumlah yang disangka, hanya RM 150 di pulangkan. RM 450 telah dipotong kerana penggunaan dewan lebih masa dan tambahan kerusi. Resit tertulis RM 450 (Deposit) di tolak RM 150 (sewa kerusi) RM 100 (sewa kantin) RM 50 (sewa lebih masa). Selain tercatat RM 950 untuk sewa dewan dan P.A system yang telah dibayar sebelum program bermula. Deposit itu aku ambil kerana setengah dari jumlah kos sewaan tersebut aku pinjamkan wang sendiri tetapi akhirnya setelah dikira wang jualan tiket dan kutipan hari tersebut aku tak jadi ambil balik wang yang dipinjamkan kerana wang tersebut cukup – cukup untuk projek print vcd percuma. Maka aku niat infaqkan sahaja kecuali deposit ini aku terpaksa ambil.

12.00 tengahari sampai Terminal One Seremban. Malangnya trip bas pagi dah terlepas (11.00 pagi) dan paling awal pun 8.00 malam nanti. Tiada cara lain, aku ambil keputusan bawak kereta keliasa aku yang tiada aircon (kerana compressor rosak) dan rim bengkok teruk. Paling tidak sehingga Kuantan untuk dapatkan bas ke Terengganu.

Kena isi minyak ! Sedikit lega kerana teringat mata terkumpul dalam Kad Smile. Sampai Kuala Pilah aku berhenti di Esso. Aku tebus 1000 mata dapat minyak free RM 15 dan aku tambah RM 40 lagi. Lega selepas isi minyak dengan kelajuan biasa dan tidak menggunakan aircond, minyak yang ada ini cukup bukan setakat Kuantan tetapi terus ke Kuala Terengganu pun cukup.

Dalam perjalanan melepasi Kuala Pilah aku telefon Rizan Ali, Ketua AMK Pahang untuk bertanya mengenai jadual bas dari Kuantan ke Kuala Terengganu. Rizan memberi tahu bas hanya ada pukul 5 petang dan akan sampai Kuala Terengganu sekitar 10.30 malam.

Aku tersenyum kerana aku terpaksa pandu kereta yang macam kereta kuda (kerana rim bengkok teruk) terus ke Kemaman. Cuaca yang mendung telah menyelamatkan aku aku dari kepanasan kerana tiada aircond. Cuma aku perlu berhenti di Stesen Minyak di Muadzam Shah untuk beli minyak enjin. Tambah sikit minyak enjin kerana risau juga lama tak tukar, mungkin kering atau dan terlalu kotor.

Aku hubungi Setiausaha Bahagian Kemaman yang lebih di kenali sebagai Din Bangla (maaf jika Din terbaca dan marah aku dedahkan nick dia) untuk bertanyakan jadual perjalanan Bas dari Kemaman. Bas terakhir ialah jam 5 petang dan biasanya sampai ke Kuala Terengganu sebelum 9.00 malam. Aku sedikit lega, tetapi melihat waktu yang suntuk dan perlu sampai Kemaman sebelum 4.30 petang, aku batalkan untuk berhenti makan. Memang lapar kerana dari pagi belum makan.

Jam 3.00 petang melepasi pintu gerbang masuk ke Kemaman. Terlalu letih memandu ’kereta kuda’ seorang tanpa henti dari Seremban. Lapar pula. Aku berhenti kedai runcit sebelum Masjid Kemaman untuk beli roti krim dan air kotak. Cadang hendak berhenti makan roti, rehat dan solat di Masjid Kemaman.

4.00 petang aku berjumpa Din di depan Restoran Briani depan Maybank Kemaman. Dia minta pandu ikut belakang keretanya. Rupanya dia suruh ikut ke pejabatnya dan minta letak ’kereta kuda’ depan pejabatnya. Dia hantar ke stesen bas dan dalam kereta dia hulurkan tiket bas sambil berkata anggap (tiket ini) keADILan Kemaman belanja. Aku yang sememangnya tengah kering tersenyum sambil ucap terima kasih.

4.30 petang tepat aku telah berada dalam bas. Tetapi malangnya sehingga 5.30 petang bas tersebut tak jalan lagi kerana rosak. Risau tidak sempat sampai sebelum 9.00 malam, telefon Din, minta dia ambil dan hantar ke pejabatnya semula. Terpaksa juga naik ’kereta kuda’ tu ke Kuala Terengganu juga.

Pun tak tahu kenapa tiba – tiba ringan mulut untuk mempelawa seorang lelaki cina yang duduk di tempat duduk bahagian belakang bas untuk sama ke Kuala Terengganu.

Tapi pilihan tepat. Lelaki itu yang bekerja dengan syarikat carigali minyak baru sahaja sampai ke darat setelah 3 bulan di tengah laut. Dia sekarang sedang buat survey mengenai beberapa kawasan yang berpotensi sebagai telaga minyak baru. Sepanjang perjalanan ke Kuala Terengganu terlalu banyak ilmu baru aku perolehi darinya. Dia tak henti bercerita mengenai tugasnya cuma sesekali aku ada ruang untuk bercakap.

Jam 9.00 malam aku turunkan dia di Jalan Kampung Cina Kuala Terengganu selepas bertukar nombor contact. Dia janji akan layari blog ini. Kalau dia layari dan baca jangan lupa beri komen.

Aku terus ke Hotel Kenangan, ambil kunci terus ke bilik dan mandi. Jam 9.30 malam aku masuk ke dewan di tingkat 4 hotel tersebut. Nampak sahaja Pok Jak di terus salam dan peluk aku. Aku gelak je sebab teringat sebelum program dan dalam perjalanan entah berapa ratus kali dia hubungi aku dan hanya beberapa kali sahaja panggilan dia yang aku angkat. Kesian dan aku kagum melihat kesungguhan Pok Jak yang tua ini.

Dewan hampir penuh lebih 50 orang aktivis keADILan telah berada dalam dewan. Razali Alias mulakan sesi motivasi. Sebelum aku ambil tempat sebelum Cikgu Zul. Malam itu baru aku tahu Cikgu Zul bakal dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Terengganu. Tahniah.

Malam itu crowd bercampur, sama banyak yang veteran dan yang muda, jadi aku tak tekan habis. Aku habiskan satu jam untuk terangkan pada mereka mengenai 4 perkara ;

  • Adakah kita pernah kaji sebab kekalahan pilihanraya lepas ? cuba buat senarai puluhan alasan tersebut dan sebelum pilihanraya selesaikan semua persoalan itu..jika tidak kita tidak layak masuk pilihanraya lagi...
  • Keadaan parti ini sekarang. Parti ini merupakan kenderaan yang bagus tetapi kita sebenarnya terlalu mengharapkan DSAI. Kita seolah terlupa untuk mengenengahkan tokoh dan menyusun gerak kerja di peringkat kita sendiri ? kita seharusnya buat apa yang termampu henti salahkan orang lain. Jika kita pemimpin suruh orang buat kita kena tunjuk kita boleh buat dulu.
  • Keperbagaian pendekatan. Pendekatan dan program perlu lebih kreatif dan perbagai. Angkatan Muda khususnya perlu berfikir di luar kotak (luar biasa)
  • Rumusan pula berkongsi formula kemenangan dan faktor x

Sesi malam itu berakhir sekitar 12.15 tengahmalam selepas sesi soal jawab. Ada yang kelihatan boleh menerima dan nampak semangat serta jelas bagaimana mahu bergerak selepas sesi ini jika dinilai dari riak muka dan bahasa tubuh mereka tetapi ada juga yang terus kekal mandom. Apa yang mereka perlukan bukan arahan – demi arahan tetapi perjumpaan dan pertemuan fizikal yang membincangkan idea untuk bergerak akan menguatkan iltizam mereka. Pemimpin perlu turun ke bawah membawa idea gerakan yang kreatif.

Selepas program Suhaimi, Timbalan Ketua Perhubungan telah membawa bersama Cikgu Zul dan yang lain ke gerai makan sebelah hotel. Tak sabar rasanya untuk rasa nasi yang pertama setelah seharian berlapar. Selepas makan Pok Jak dan Ibrahim (aktivis keADILan Kuala Terengganu) telah bawa pusing – pusing Bandar Terengganu. Dalam kereta Pok Jak hulur sampul surat katanya dia tahu aku takda duit. Dalam keadaan serba salah tak mampu menolak hanya senyum, ucap terima kasih dan ambil. Ada 4 keping RM 50.

Dia juga tunjukkan pejabat di kawasan tengah bandar yang baru dia sewa untuk dijadikan pejabat Parti. Banyak cerita dan persoalan yang dibincangkan. Tanpa menunjukkan minat untuk mebincangkan masalah aku tarik perbualan dengan berkongsi idea bagaimana nak bergerak secara lebih kreatif. Ibrahim pula rupanya ada kemahiran IT yang tinggi jadi kami berbincang apa yang Ibrahim boleh buat membantu parti di Terengganu.

Jam 2.00 pagi sebaik sahaja turun dari kereta Pok Jak, telefon bimbit berbunyi. Sahabat lama semasa di MPRM yang kini balik bercuti di kampungnya, Kuala Terengganu dari mengajar di Sabah ajak berjumpa. Katanya esok tak sempat kerana dia nak balik rumah mak mertuanya di Perak. Kami habiskan masa lebih sejam berborak depan 7 eleven tengah Bandar Kuala Terengganu. Banyak cerita di perbual tapi aku lebih menunjukkan minat menarik perbualan untuk mengetahui keadaan politik di Sabah, kebetulan kerana dia merupakan antara orang yang aktif dalam Umno di Sabah.

Hampir 4 pagi baru melelapkan mata di bilik 2112 Hotel kenangan.

Jam 9.00 pagi aku meninggalkan hotel. Destinasi sebuah restoran di Kuala Berang. Pagi ini aku berjanji meluangkan masa untuk bersarapan dengan beberapa Puteri Umno yang seorangnya merupakan teman lama aku.

Perjumpaan dihadiri oleh 5 orang. Kawan aku yang menjawat dalam Puteri Umno negeri, dan 4 lagi ajk dari bahagiannya. Perbualan bermula dengan yang ringan – ringan hinggalah ke persoalan politik yang berat.

Dalam pertemuan itu mereka bangkitkan rasa tidak puas hati mengenai penyelewengan yang berlaku. Kata mereka Terengganu paling ramai kontraktor kelas F dan paling banyak projek tapi malangnya yang dapat asyik kelompok yang sama. Bila kita bising dia cuma tubuh syarikat lain dan pasang proksi tapi masih orang sama.

Mereka minta juga dibangkitakan isu MSA Bina Sdn Bhd yang sering dapat projek kerajaan dan agihkan projek secara sub. Sekarang ini orang Umno sendiri gelar Idris Josoh sebagai Menteri Besar Besut kerana semua projek mesti dapat kepada kontraktor Besut.

Mereka kata ramai dah mula serik dengan Umno janji bertabur tapi habuk pun tiada , mereka yang jumpa rakyat ini mula di cemuh. Projek tak berdasarkan kepentingan buat masjid besar bukan ada khariah ramai pun, buat bangunan tambahan sekolah kelas yang lama pun tak penuh dan contoh paling jelas ialah Pasang lampu macam – macam di Kuala Terengganu di jambatan Sultan Mahmud siap pasang lampu ikan tetapi malangnya kawasan Bukit Bauk, Dungun dan kawasan seperti Kampung – kampung di Kuala Berang kegelapan.

Mereka diterangkan mengenai perkara ini berlaku kerana nak kerja senang gaih projek tanpa buat survey kepentingan projek. Mereka bangkitkan untuk menyokong PAS secara terus mereka ada beberapa benda yang tidak puas hati juga dengan PAS khususnya semasa PAS jadi kerajaan. (Bab ini aku tak nak debatkan panjang dengan mereka sebab aku tak nak larikan fokus perbualan)

”keADILan ok kami sokong khususnya jika Datuk Seri Anwar benar – benar boleh perbaiki ekonomi” kata mereka tetapi mereka juga menyatakan kekesalan kerana keADILan di Terengganu senyap dan tiada apa.

”keADILan hanya nampak bila Anwar datang. Penyokong ramai. Tengok bila Anwar datang kami orang Umno pun nak jumpa...tu yang perpuluh ribu jadinya” tambahnya sambil ketawa.

Mereka di beri jaminan kita dalam usaha serius susun jentera keADILan di peringkat bawah khususnya di Terengganu. Mereka juga di pelawa masuk dan sama bina keADILan Terengganu jika ingin lihat Anwar jadi Perdana Menteri. Pelawaan itu disambut dengan sengih ala kerang sahaja dan InsyaAllah.

Nampaknya peluang ada jika orang Umno pun dah mula bosan cuma perlu perhatian khusus penyusunan jentera dan seumpamanya.

Jam 1.30 petang, tiba di Cabang 3, Kuala Terengganu. Destinasi ialah Restoran Pok Jak, makan tengahari free. Pok Jak sambut dengan mesra. Terus order nasi ayam dan limau suam. Sedang rancak berborak dengan Pok Jak datang seorang lelaki, seperti pelanggan tetap Pok Jak. Pok Jak ajak duduk dan perkenalkan dia sebagai orang kuat Umno dan bekas Setiausaha Pemuda Umno Terengganu.

Pok Jak minta aku terangkan pada dia mengenai kes wanita monggolia dan kemungkinan penglibatan Najib. Setelah aku terangkan mengenai penglibatan pengawal peribadi Najib dan Rosmah serta penggunaan bom C4 itu mukanya berubah serius. Aku cuba ingatkan dia mengenai kes Mustakizah yang akhirnya ditutup dengan kematian misteri saksi, kes itu juga dikatakan juga ada kaitan dengan Menteri Kanan Umno. Kemudian perbualan aku lajakkan dengan menerangkan mengenai beberapa angle mengenai ekonomi rasuah dan sebagainya. Nampaknya melalui tajuk ini dia pun setuju kerana dia turut menimbulkan rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan Terengganu. Nampaknya dia paham apa yang berlaku.... dah dijolok dan terpulang pada Pok Jak untuk follow up lain kali.

3.00 petang aku rasa badan tak selesa lalu selepas keluar dari Restoran Pok Jak di Cabang 3, aku terus memandu menuju ke Masjid Kuala Terengganu. Di sana aku mandi dan tukar baju. Selepas solat. Oleh kerana masih banyak masa aku terus ke Pantai Batu Buruk. Sampai di tepi pantai, parking kereta betul – betul mengadap pantai. Tenang sangat rasanya dengan angin yang kuat dan bunyi ombak besar yang menghempas pantai. Sesekali terdengar pekikan kanak – kanak bermain layang – layang tak jauh dari situ. Duduk di luar kereta atas pasir pantai sambil membaca buku menghabiskan membaca buku Kepimpinan Dakwah dan Politik Islam terbitan penerbitan Muttaqin.

Ketenangan membaca terhenti apabila Zul Marang menelefon aku. Dia nak jumpa katanya untuk menerangkan mengenai perjumpaan malam ini. 5.30 petang berjumpa dengannya di Gerai belakang hospital yang betul – betul menghadap Laut China Selatan.

Dia menerangkan pada bahawa perjumpaan malam ini bukan sahaja akan dihadiri ahli parti keADILan tetapi turut akan disertai oleh ahli PAS dan ahli Umno. Zul menerangkan mengenai isu paling besar yang mereka hadapi kini ialah pindaan kanun tanah.

Perjumpaan dengan Zul petang itu ringkas dan pendek sahaja. Hanya 30 minit. Kemudian dia bergegas pulang ke Marang dan saya berjanji bertemu beliau di Pekan Marang selepas Isya’.

Masa yang banyak aku ambil dengan memandu perlahan ke Marang sambil singgah di tepi pantai tengok aktiviti orang kampung dan sempat beli keropok lekor untuk ole – ole. Adalah lima kai berhenti. Selepas Maghrib aku sempat pergi ke Cyber Cafe di depan Sekolah Kebangsaan Marang untuk melihat berita terkini dan update blog. Dapat email gambar Rosmah berlaga pipi dengan artis Bollywood... aku terus naikkan gamabr itu sahaja nak update yang lain tak dapat kerana line lambat sangat.

Selesai Isya’ aku tunggu Zul di luar pagar masjid belakang pejabat Umno Marang. Jam tepat 9.15 malam sudah 3 sms aku hantar pada Zul tidak berjawab. Hujan lebat kereta tanpa aircond berkuap. Kereta wira Zul muncul. Dia lambat kerana keretanya bergesel dengan kereta lain tetapi tiada apa yang rosak cuma cermin sisinya pecah.

Perjalanan ke Pengkalan Berangan mengambil masa 35 minit dari Pekan Marang. Jauh masuk ke dalam lokasi perjumpaan ini. Kereta pula tidak boleh laju, cermin yang berwap kerana tiada aircond menghadkan penglihatan.

Sampai di lokasi hujan lebat sangat. Jam 10.00 malam, terpaksa menunggu sebentar kerana untuk panggil semula ada yang balik kerana mereka menjangkakan perjumpaan di batalkan kerana hujan sangat lebat dan telah lewat.

Perjumpaan malam itu dimulakan dengan menerangkan beberapa perkara mengenai perkembangan semasa. Kemudian perbincangan mengenai isu yang mereka hadapi bermula. Perjumpaan dan perbincangan panjang lebar ini hanya tamat jam 12.30 tengah malam. (isu tanah akan diturunkan dalam penulisan akan datang kerana ia isu sensitif yang memerlukan penumpuan khas dan masih menunggu beberapa salinan dokumen yang dijanjikan Zul untuk hantar melalui pos)

Bersalaman untuk pulang terasa sedih kerana nak meninggalkan mereka yang sedang bergelut dengan masalah dan seolah mereka ini dilupakan kerana duduk jauh di pendalaman. Mereka juga pejuang khususnya ahli – ahli keADILan ada yang menjadi ahli semenjak 1999. Majoriti kais pagi makan pagi dalam itu ada yang pernah kumpul duit naik bas hanya untuk sertai demonstrasi di Kuala Lumpur, tapi kini mereka ada masalah mereka bergelut sendirian. Insya Allah saya memberi jaminan mereka tidak akan dilupakan saya berjanji akan menjengah sekali lagi dan isu mereka akan saya bangkitkan nanti.

Salaman erat mereka dengan membayangkan mereka ini pejuang ikhlas. Kata – kata mereka ’kami cukup terharu kerana belum pernah pemimpin dari kuala lumpur datang jengok sampai ke kampung kami’ cukup menusuk dan tersemat di hati.

Kalaulah mereka tahu apa yang berlaku......pemimpin ego, terlalu politiking dan seumpamanya tentu kecewa remuk hati mereka bukan kepalang. Dalam perjalanan keluar dari kampung tersebut saya tersentak dengan sms dari Ketua AMK Terengganu, Wan Anies yang berada di Kuala lumpur. Anies memaklumkan yang dia di hubungi oleh pemangku Ketua AMK Shamsul yang mempersoalkan kenapa aku dibenarkan masuk dan bertemu dengan AMK Terengganu..... aku sedih sangat kenapa ini perlu berlaku ??? Namun Anies minta take note yang dia beritahu Shamsul yang aku hanya turun untuk ceramah anjuran keADILan Kuala Terengganu..... (kepada mereka jangan risau jaminan diberi tidak akan bertanding jawatan nombor satu AMK itu..) Anies tidak salah dia menjawab begitu mungkin baginya itu jalan terbaik dan selamat.

Sampai di pekan Marang hujan masih lebat, Zul membawa aku berhenti di satu kedai tepi jalan, rupanya Cikgu Fariz (exco keADILan) telah sedia menunggu. Dia baru pulang bersama keluarga dari Kuala Lumpur. Kebetulan dia juga tinggal di kawasan Rhu Rendang. Kira – kira 20 minit minum Kopi O keras, aku minta diri.

Memandu keseorangan pulang, hujan lebat, cermin berwap kerana tidak ada aircond dan kereta berhenjut ala kereta kuda amat meletihkan. Jam 4.30 pagi, tidur sebentar di depan 7-eleven Bandar Kemaman.

6.30 pagi selesai solat di Masjid Kemaman hujan agak teduh, cuma renyai – renyai, meneruskan perjalanan.

Beberapa kali berhenti kerana terlalu mengantuk mengakibatkan masa perjalanan panjang.

11.45 pagi ketika melintasi Felda Bukit Selancar aku memberhentikan kenderaan kerana melihat orang ramai di tepi jalan. Rupanya kampung mereka di landa banjir secara tiba – tiba, mereka tidak sempat menyelamatkan barang-barang cuma ada yang sempat membawa kereta mereka ke jalan raya utama yang lebih tinggi bagi mengelakkan turut tenggelam.

Berdasarkan kenyataan anggota polis yang sempat aku berbual di tepi jalan itu. Katanya Johor, Melaka dan Gemas teruk dilanda banjir. Air naik tiba – tiba. Aku terus sms Ezam yang berada di Jakarta bersama Erahanim, Nurin dan Shahida yang menghadiri satu program di Habibie Centre mewakili GERAK.

Memandu semula sambil cuba menghubungi teman AMK NS. Mengidupkan radio kereta dengan mendengar siaran NS FM. Sah Pekan Gemas telah tenggelam. Ariffin dan Amir gagal dihubungi. Azizi menjawab panggilan telefon. Arahan kepada Azizi, panggil segera mesyuarat khas di rumahnya, akan sampai kira – kira jam 3.30 petang.

Jam 3.45 petang sampai di Senawang. Terus menuju rumah Azizi. Mesyuarat ringkas memutuskan menghantar pasukan ke Gemas dan satu pasukan berjaga – jaga di linggi kerana aras air sungai dilaporkan sedang naik mendadak.

Baki duit dalam poket aku ada RM 207.00 .... aku hulurkan RM150 kepada Azizi untuk tambah duit yang ada. Aku kata padanya ini duit baki deposit dewan tempoh hari. Dia ambil dan tengok muka aku tanda paham.... kita sama – sama takda duit tapi bila rakyat susah kita kena turun bantu bawa panji keADILan... itu perjuangan.

Bangga dengan teman – teman AMNS mereka faham apa yang terjadi tetapi semua mereka telan. Demi meneruskan perjuangan, terus setiakawan mengasak keadilan, meratah kezaliman, memartabatkan perjuangan.

Malam itu dalam kereta semasa perjalan ke Gemas, kami bincang tentang keberanian menyuaran kebenaran. Dalam perjuangan jangan selalu sangat main politik selamat sebab kita akan dilupakan. Tengok pejuang yang dikenang hingga hari ini semua mereka yang berani....memang benar sejarah ditulis oleh mereka yang menang tetapi lebih penting sejarah tidak pernah mengenang mereka yang penakut dan asyik main politik selamat.

Maka keluar satu perumpamaan.... kita nak berjuang kena ada idola... tapi jangan jadi cicakman ... asyik main politik selamat mati tak sedar silap – silap terkapit kat pintu pun orang tak sedar mati keras kat situ dah lah bangkai tak berbau. Ketawa kami terhenti apabila Amir menekan brek sambil menjerit di tengah – tengah kebun Getah Sungai Kelamah kerana terkejut ranting pokok jatuh di depan kereta......