Wednesday, February 25, 2026

Kisah My Digital

Kisah MyDigital ID 

Untuk makluman, projek MyDigital ID pada asalnya merupakan projek R&D oleh MIMOS di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) semasa RMKe-11 (2016-2020).

Projek ini siap pada tahun 2018 dan telah dilaksanakan sepanjang 2019-2020 untuk Bahagian Kabinet, Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta untuk 30 agensi di bawah projek GOSG semasa YB Gobind memegang jawatan sebagai Menteri KKMM dengan memanfaatkan Akta Tandatangan Digital 1997 di bawah MCMC.

Ia kemudiannya dijadikan Projek Perolehan di bawah RMKe-12 RP2 (2022) dengan nama Identiti Digital Nasional (IDN) berjumlah RM460Juta dan ditempatkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setelah berunding dengan PWC.

Projek ini juga disokong oleh satu lagi projek JPN bernama Inpres yang bertujuan menaik taraf pelayan dan sistem pangkalan data JPN bagi menyokong ciri-ciri baharu kad pengenalan serta IDN yang bernilai RM500Juta.

Projek IDN pada asalnya dijadualkan untuk ditender pada 2022 dan peruntukan RM460Juta telah dimasukkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) ke dalam akaun Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi proses tender tertangguh disebabkan pelbagai perbincangan dan perbezaan pendapat dalam memuktamadkan spesifikasi.

Apabila DS Anwar menjadi PM pada 2023, beliau telah memanggil MIMOS pada 25 Mei 2023 dan meminta MIMOS untuk meneruskan usaha melaksanakan MyDigital ID serta menggantikan projek IDN.

Ini telah menimbulkan pelbagai tentangan dan bantahan daripada pelbagai pihak tetapi akhirnya PM mengumumkan MIMOS sebagai Agensi Pelaksana MyDigital ID selepas melawat MIMOS pada 21 November 2023 dengan dana permulaan sebanyak RM80Juta.

Serta-merta pada 4 Disember 2023, MOF mengeluarkan surat kepada KDN untuk membenarkan pengeluaran RM80Juta daripada jumlah RM460Juta supaya segera diberikan kepada MIMOS di bawah Peruntukan Khas Pembangunan Projek MyDigital ID dan MIMOS diminta melaksanakan secepat mungkin berdasarkan arahan PM yang antara lainnya meminta MIMOS untuk menyediakan dan menubuhkan Sistem CA Kerajaan bagi menyokong pelaksanaan MyDigital ID tanpa perlu bergantung kepada pengeluar pihak ketiga bagi meminimumkan kos pembangunan dan operasi masa hadapan kepada kerajaan.

Seterusnya, KDN memindahkan wang tersebut kepada MIMOS pada 12 Disember 2023 dan pada 13 Disember 2023 mengeluarkan satu lagi surat untuk MIMOS menubuhkan SPV MyDigital ID Sdn Bhd di mana segala aktiviti dan perbelanjaan bagi dana RM80Juta hanya boleh dilakukan menerusi entiti berasingan ini beserta akaun khususnya.

Pada 18 Disember 2023, KDN mengeluarkan surat lagi meminta MIMOS mempercepatkan pelaksanaan dan MIMOS boleh membelanjakan wang terlebih dahulu berdasarkan pelan yang dipersetujui dan menyenaraikan butiran segala perbelanjaan kelak kepada JKT & JKP yang akan dilantik kerajaan, serta kepada Bahagian Perolehan KDN dan Jawatankuasa Kabinet mengenai IDN yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri (MDN).

Disebabkan arahan yang bercanggah ini, MIMOS meneruskan pelaksanaan projek menggunakan wang MIMOS sendiri tetapi mendapat kelulusan bagi setiap item perolehan seperti yang diminta kepimpinan dengan restu perolehan KDN melalui Bahagian Perolehan KDN, JK Penyelarasan oleh MAMPU, JKT dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MAMPU, JKP dipengerusikan bersama oleh KSU KDN dan MOSTI, serta JK Kabinet IDN dipengerusikan oleh MDN; dan hanya menuntut semula apa yang telah dibelanjakan kemudiannya daripada MyDigital ID Sdn Bhd selepas ia ditubuhkan dengan restu MOSTI, KDN & MOF di mana segala sumber berkaitan dan dana RM80Juta kemudiannya dipindahkan kepada entiti baharu ini.

Selepas penubuhan MyDigital ID Sdn Bhd oleh MIMOS pada 15 Februari 2024, syarikat tersebut ditempatkan di bawah JPM dan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bersama-sama pasukan pengurusan serta Lembaga Pengarah yang ditubuhkan, dengan sokongan JKT dan JKP yang dilantik oleh KSN.

Selepas itu, MIMOS sebagai agensi di bawah MOSTI hanya kekal sebagai pemegang saham MyDigital ID Sdn Bhd dan menyediakan sokongan operasi seperti yang diminta oleh MKD di mana Ahli Lembaga Perolehannya dilantik secara terus oleh KSN diketuai oleh KSU MOSTI.

Selepas penubuhan MyDigital ID Sdn Bhd, KDN kemudiannya memindahkan baki peruntukan IDN sebanyak RM380Juta (RM460Juta - RM80Juta) kepada JPM untuk digunakan bagi tujuan pelaksanaan seterusnya.

MOF juga mengirimkan surat kepada kedua-dua JPM dan MyDigital ID Sdn Bhd bahawa peruntukan RM460Juta adalah peruntukan khas yang tidak perlu mengikut tatakelola perolehan semasa sebaliknya perlu mengikut pendekatan projek pembangunan syarikat MKD yang standard seperti program pembangunan R&D di bawah sistem RMK.

Tujuh bulan kemudian, NACSA di bawah MKN dengan nasihat MAMPU @ Jabatan Digital Negara (JDN) bertegas untuk melaksanakan Value Management Lab (VML) seperti projek perolehan kerajaan yang standard bagi MyDigital ID. Cadangan tersebut pada mulanya tidak direstui oleh KSN, walaubagaimanapun disebabkan susulan yang berterusan oleh NACSA, KSN bersetuju ianya dijalankan tetapi mestilah dijalankan secepat mungkin dengan menepati kriteria awal yang telah ditetapkan supaya perlaksanaannya tidak tergendala.

Semasa proses VML tersebut, banyak komponen dan pelan pelaksanaan yang dipersetujui sebelumnya termasuk penubuhan Sistem CA Kerajaan telah dikeluarkan daripada keperluan projek kerana mereka mempertimbangkan penyedia CA sedia ada dari pihak swasta, dan pelbagai perkara lain.

Setelah menetapkan spesifikasi baharu berdasarkan VML, mereka membangunkan perjanjian baharu dan menarikhkan kebelakangannya serta mendesak MIMOS untuk menandatanganinya.

Walaupun MIMOS pada mulanya enggan menandatangani atas 14 sebab berbeza termasuk tarikh dikebelakangkan, spesifikasi berbeza, pelan dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza, termasuk juga entiti yang sepatutnya menandatangani iaitu MyDigital ID Sdn Bhd dan bukan MIMOS; MIMOS akhirnya terpaksa menandatangani perjanjian tersebut iaitu selepas setahun pelaksanaan bermula.

Dengan menggunakan perjanjian tersebut, Jabatan Audit Negara (JAN) kemudiannya mengaudit MIMOS dan memfailkan semua dapatan seperti dalam Laporan Audit JAN.

Ikhlas dari
Bekas Warga MyDigital ID Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment