Saturday, August 13, 2016

Memahami apa yang berlaku dalam isu Anwar dipecat kerana halang bail out anak Mahathir

“‘Pada tahun 1998, Anwar ada menyebut kepada umum bagaimana beliau telah membangkitkan kemarahan Dr Mahathir apabila beliau enggan meluluskan RM2 bilion duit pembayar cukai untuk melakukan ‘bail out’ syarikat milik anak Perdana Menteri itu. Malah, kemudian Dr Mahathir sendiri yang mengesahkan perkara ini apabila beliau berkata anaknya meminta RM2 bilion tetapi Anwar hanya bersetuju untuk meluluskan RM1 bilion. Maka anak beliau rugi ‘RM1 bilion’ dan Dr Mahathir marah. 
Tetapi kemudian Petronas telah mencatatkan keuntungan yang sangat besar terhadap ‘kerugian’ RM1 bilion anaknya, tambah Dr Mahathir.”
Saya tak pasti sama ada benar beliau telah meminta RM2 bilion tetapi hanya diberikan RM1 bilion oleh Anwar yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu, tetapi saya berpendapat yang syarikat tersebut telalu strategik untuk tidak di ‘bail out’ kerana ia merupakan pembekal perkhidmatan logistik yang penting dan mempunyai pegangan pasaran kedua terbesar.
Apabila mengkaji lebih dalam mengenai perkara ini, saya tak fikir ‘bail out’ merupakan isu pokok, tetapi apa yang berlaku sebelum ‘bail out’ itu lebih menarik. Ini ceritanya:
Pada tahun 1992 pada usia 32 tahun, Mirzan Mahathir telah memperolehi 60% saham di dalam Konsortium Perkapalan Berhad (KPB), yang ketika itu adalah syarikat pengangkut kontena bersaiz sederhana.
Tahun-tahun berikutnya, pegangan beliau di dalam syarikat tersebut telah mencapai 72%.
Dalam tempoh 3 tahun pada tahun 1995, Mirzan kemudiannya membeli syarikat perkapalan yang sangat menguntungkan Perbadanan Nasional Shipping Line (PNSL Bhd) dengan mengambil alih saham dari pemegang saham terbesar syarikat pegangan kerajaan PERNAS (sekarang dipanggil PNS) dan pemegang saham kedua besar Malaysia Helicopter Service (yang dimiliki oleh proksi UMNO Tajuddin Ramli – orang yang sama yang membeli MAS).
Harga yang dibayar beliau pada tahun 1995 itu adalah RM247 juta – yang dikatakan di bawah harga pasaran.
Kemudiannya, Mirzan dikatakan telah membeli 20% pegangan di dalam Diperdana Bhd iaitu syarikat pengangkutan kontena (menggunakan lori) ketiga terbesar di Malaysia dari Danny Tan (adik Vincent Tan) melalui PSM Trading Sdn. Bhd yang kurang dikenali.
Beliau kemudiannya menyenaraikan KPB pada awal tahun 1996 dan harga saham melonjak naik apabila khabar angin tersebar mengatakan beliau akan membeli MISC dan mendapat hak penswastaan West Port. Nilai Mirzan ketika itu dianggarkan RM1.78 bilion.
Urusniaga berikutnya yang telah menyebabkan beliau terjerumus dengan masalah.
Beberapa bulan selepas penyenaraian, KPM membeli Pasific Basin Shipping Bulk Ltd yang berpangkalan di Hong Kong pada harga USD240 juta dan juga mengambil-alih hutang Pacific bernilai USD224 juta. Ketika itu USD1 bersamaan dengan RM2.50.
Perjanjian ini dibiayai oleh pemiutang luar negara di dalam matawang asing.
Apabila Krisis Matawang Asian melanda pada tahun 1997, USD1 melonjak dengan sangat tinggi pada kadar USD1=RM4.88. Dan hutang asing yang diambil oleh KPB untuk membeli Pacific membesar dengan mendadak. RM1.1 bilion menjadi RM2 bilion.
Ekonomi Malaysia jatuh dengan teruk, kadar faedah bank melambung tinggi. Ini bermakna syarikat tersebut mengalami kesukaran untuk memenuhi komitmen hutangnya dan perlu di ‘bail out’ atau akan menghadapi risiko bangkrap.
Kemudian pada Mac 1998, Petronas, melalui MISC telah membeli Pacific Basin pada harga USD55 juta (yang dibeli oleh KPB dengan harga USD240 juta setahun setengah sebelum itu).
Penganalisa menyifatkan harga Pacific Basin itu rendah tetapi ianya adil dengan mengambil kira kesukaran yang akan dialami oleh syarikat itu berikutan dari krisis ekonomi yang melanda Asia.
Bahagian seterusnya perjanjian ini yang bagi saya sangat bermasalah.
Petronas, melalui MISC, membeli semula PNSL Bhd. pada harga USD165 juta.
Harga beliannya adalah dalam matawang dolar, dan bukan ringgit walaupun syarikat itu adalah syarikat tempatan dan kedua-dua penjual dan pembeli adalah warga tempatan – yang bermakna ianya jelas jumlah ini digunakan untuk melangsaikan hutang dolar luar negara yang diambil untuk membeli Pacific Basin.
Berdasarkan kadar tukaran dari RM4.00-RM4.83, ini bermakna Petronas telah membeli PNSL pada harga RM710 juta – sebuah syarikat yang dibeli Mirzan tiga tahun sebelumnya pada harga RM257 juta – yang memberikan keuntungan tunai RM500 juta dalam masa 3 tahun (ini berlaku hampir 20 tahun lepas – hari ini, pada harga hari ini, keuntungan tersebut dengan mudah boleh mencecah lebih RM1 bilion).
Penganalisa berkata harga belian PNSL itu adil kerana syarikat itu mempunyai kontrak harga tetap dengan pelbagai agensi kerajaan.
Memandangkan status terdahulu PNSL sebagai syarikat milik kerajaan pada ketika itu, ianya mempunyai kontrak tetap mengangkut arang batu untuk TNB, simen untuk Kedah Cement, keluli untuk Perwaja Steel, LNG untuk Petronas dan beras untuk BERNAS.
Malah dalam situasi ekonomi paling teruk pada tahun 1998 sekalipun, PNSL masih dinilai pada harga 3 kali ganda lebih tinggi berbanding ketika ianya dibeli oleh Mirzan 3 tahun sebelumnya – yang jelas menujukkan yang PNSL dibeli Mirzan pada harga di bawah harga pasaran dari PERNAS milik kerajaan.
Dalam era media sosial sekarang, urusniaga teruk seperti ini pasti tidak akan berlaku. Bayangkan jika Riza Aziz mengambil alih MISC dari kerajaan hari ini pada 1/3 dari harga sebenar dan menjualnya kembali kepada kerajaan dengan harga 3 kali ganda?
Walaupun ianya bukan rasuah, jelas terdapat elemen penyalahgunaan kuasa.
Selain dari KPB, pada tahun-tahun tersebut Mirzan jugak mengawal beberapa lagi syarikat senaraian awam seperti Pelikan Bhd dan Dataprep-Solsis dan mempunyai pegangan saham yang tinggi di dalam syarikat seperti Artwright Holdings, Chocolate Products – tetapi itu cerita lain untuk kemudian hari.

No comments:

Post a Comment