Thursday, August 18, 2016

KEMUSNAHAN HUTAN KEDAH MENJEJASKAN SUMBER AIR

Kenyataan Akhbar
17hb Ogos 2016
KEMUSNAHAN HUTAN MENJEJASKAN SUMBER AIR
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah menghentikan segera aktiviti pemusnahan hutan dan penebangan balak bagi memelihara sumber asli ini dan menjamin sumber bekalan air yang mencukupi.
Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 2015 menyatakan bahawa kawasan tanah berhutan di negeri Kedah adalah 342,431 hektar iaitu 36.33% daripada keluasan tanah negeri Kedah. Ini menunjukkan liputan hutan di negeri Kedah adalah pada tahap yang membimbangkan dan kalau tidak dibendung penerokaannya, akan membawa kepada keadaan yang lebih genting.
Pengarah Jabatan Perhutanan dalam suatu kenyataan akhbar pada Februari 2016 menyatakan bahawa lebih 2,000 hektar kawasan hutan simpan Kedah telah diteroka secara haram untuk dijadikan kawasan pertanian baharu.
Selain daripada mengurangkan jumlah kawasan hutan yang mengancam kepelbagaian biologi dan hidupan liar, penebangan hutan turut memberi kesan kepada sumber air serta menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh.
SAM kesal walau pun krisis air di negeri ini begitu meruncing pada ketika ini namun hingga sekarang tidak ada langkah-langkah dan perancangan berkesan yang dibuat oleh pihak kerajaan bagi menangani isu tersebut.
Selain mengancam alam sekitar dan berlaku banjir kilat di beberapa daerah di negeri ini, kegiatan pembalakan dan pembersihan tanah itu juga telah menjejaskan kehidupan ribuan pengguna air termasuk para pesawah yang mengusahakan tanaman padi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan kejadian banjir kilat kerap berlaku dan melanda kampung-kampung yang berhampiran kawasan pembalakan menyebabkan penduduk-penduduk yang terlibat mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda dan kawasan pertanian.
Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati aktiviti pemusnahan hutan untuk perladangan dan pembalakan menyebabkan kawasan tadahan air terjejas dan sumber bekalan air masyarakat dicemari lumpur. Penduduk di Kampung Ulu Mahang di daerah Kulim dan Kampung Teluk Teduri di Daerah Baling bimbang bahawa bekalan air masyarakat sumber dari hutan simpanan berdekatan kampung mereka akan terjejas akibat pemusnahan hutan di sini.
Tinjauan SAM juga mendapati bahawa bukit-bukit yang diteroka terbiar begitu lama menyebabkan berlaku hakisan tanah ketika hujan sehingga menjejaskan sistem saliran dan sungai-sungai di negeri ini menjadi cetek akibat mendapan.
Enam daerah paling teruk mengalami kesan buruk akibat pemusnahan hutan dan kegiatan pembalakan di Kedah ialah Kulim, Baling, Sik, Langkawi, Padang Terap dan Kubang Pasu. Paras air di Empangan Pedu susut mendadak sejak musim kemarau yang lalu. Keadaan ini kalau berterusan adalah amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan hasil padi dan sumber pendapatan pesawah MADA.
Di samping menggesa supaya kegiatan pemusnahan hutan dan aktiviti pembalakan dihentikan segera, SAM turut membantah sebarang projek baru yang dirancang termasuk pembinaan Empangan Naok di Pendang serta projek perladangan dan perlombongan di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas di daerah Kulim.
Projek-projek tersebut bukan saja boleh memusnahkan alam sekitar dan kawasan tadahan air tetapi juga menjejaskan kawasan pertanian dan sumber pendapatan penduduk di tiga buah negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Pembinaan empangan baharu bukan jalan penyelesaian masalah air yang berlaku di negeri ini. Alam semulajadi dan sumber-sumbernya perlu dipulih, dipelihara dan dikekalkan untuk generasi akan datang.
S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden

No comments:

Post a Comment