Thursday, October 15, 2009

Pindaan perlembagaan, serlahkan kepalsuan Umno!


KUALA LUMPUR, 15 Okt: Tindakan Umno menghapuskan sistem kuota pemilihan serta melonggarkan konsep ketuanan Melayu, menyerlahkan lagi keengganan parti perkauman Melayu itu untuk berubah demi kepentingan rakyat.

Ianya kerana beberapa pindaan pada perlembagaan dalam Pemilihan Agung Umno (PAU) sekarang didakwa, masih bersifat perubahan yang palsu.

Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin berkata, selagi Umno tidak berani menyerahkan kuasa pemilihan sepenuhnya kepada perwakilan, selagi itu Umno terus dibelit dengan amalan rasuah.

Ujarnya lagi, perubahan yang diperkatakan oleh kebanyakan pemimpin Umno tersebut hanya mengulangi retorika lama; yang telah pun menjadikan Pakatan Rakyat lebih disokong rakyat berbanding Barisan Nasional sejak tsunami politik, 8 Mac lalu

"Pindaan yang dibuat bukan bersifat organik (semula jadi), tapi lebih meniru trend perubahan rakyat yang sedia ada dan meniru prinsip-prinsip bersama dalam Pakatan Rakyat sendiri," katanya.

"Yang dibuat oleh Najib itu sebenarnya dalam keadaan terpaksa...mereka tidak cukup berani sehingga mengadakan beberapa sekatan lain (pindaan) yang baru...setelah menyedari Umno tidak lagi bersama kehendak rakyat...Umno sedang ditinggalkan sendiri oleh ahli-ahlinya," tegasnya.

Dakwanya lagi, beberapa pindaan dan retorika Najib itu sebenarnya hasil ciplak dari beberapa gagasan perjuangan PKR.

Beliau yang juga Ketua Cabang Rembau mendakwa bahawa kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Dun Bagan Pinang baru-baru ini sendiri tidak mampu dijadikan sumbu kekuatan Umno; kerana mereka sedar Isa menang dengan menggunakan taktik rasuah dan kronisme.

Beliau yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mencabar Isa menafikan pendedahan rasuah dan kronisme yang dibuat dalam blog peribadinya, chegubard.blogspot.com semalam.

Beliau yang mengikuti PAU sejak kelmarin juga mendakwa, tindakan Umno yang terus-menerus menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peribadi yang dimaki-hamun, membuktikan bahawa Ketua Pembangkang itu masih menjadi simbol perubahan yang mampu membenamkan survival politik Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Sementara itu, che'GuBard yang dihubungi juga mendakwa, beberapa pindaan tersebut lebih bertujuan menyelesaikan masalah-samalah dalaman Umno seperti rasuah, kronisme dan penipuan dalam proses pemilihan pemimpin mereka sendiri.

Tegasnya lagi, pindaan perlembagaan itu langsung tidak mampu mengubah sistem kenegaraan yang lebih korupsi seperti dalam sistem kehakiman, Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya.

Ujarnya lagi, definisi baru Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bahawa kepimpinan Melayu Umno berpaksi pada keadilan dan rahmah, merupakan suatu retorik kosong Ahli Parlimen Rembau itu sahaja.

Beliau juga mendakwa Umno sudah mengalami Anwarism, setelah melihat rakyat terus memberi harapan kepada kepemimpinan perubahan Ketua Pembangkang itu.

"Umno dipengaruhi oleh Anwarism, perkataan seperti wahdatul, inklusif adalah perkataan ruji DS Anwar...," responnya dalam rangkaian sosial maya, Twitter semalam.

Semalam, Najib menjelaskan pindaan perlembagaan termasuk mengenakan syarat minima untuk bertanding bagi menggantikan sistem kuota yang diamalkan dalam PAU sebelum ini.

Beberapa media elektronik arus perdana melaporkan, pindaan itu masih tergantung pada persetujuan dalam Pemilihan Agong Khas kelak.

Jelas Najib lagi, syarat minima untuk bertanding jawatan di peringkat bahagian perlu menjadi ahli parti selama tiga tahun.

Manakala, seseorang yang mahu bertanding jawatan Tertinggi dalam parti, termasuk Presiden sekurang-kurangnya pernah menjadi anggota jawatankuasa bahagian selama sepenggal.

Cadangan tersebut, menurut Najib, mampu menjadikan Umno lebih telus, terbuka dan demokratik.

Semalam, Khairy juga mendifinikan kepimpinan Melayu adalah keadilan dan rahmah, bukannya atas kekuasaan Melayu yang sempit.

Beberapa pindaan terbaru yang dicadangkan itu dikatakan secara tidak langsung menghalang muka-muka baru yang besih dan berintegriti untuk memimpin parti perkauman Melayu itu.

Sekaligus, Umno bakal terus dipalitkan dengan pelbagai dakwaan yang rasuah, perkauman Melayu, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya; yang langsung tidak memperlihatkan wajah hakiki 1Malaysia.

Ini kerana, PAU sahaja yang dilihat baru, sedangkan kepimpinannya masih dari kalangan muka-muka lama.

2 comments:

  1. Lawan tetap lawan CheguBard!

    ReplyDelete
  2. Anonymous10:11 AM

    byk cakap la... semua yang u cakap tu menunjukkan kebaikan pindaan perlembagaan

    ReplyDelete