Sunday, October 25, 2009

Audit Negara dedah kelemahan Kerajaan Negeri




















LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA
UNTUK NEGERI SEMBILAN TAHUN 2008

Berikut beberapa petikan dari laman web http://www.audit.gov.my/

Pada umumnya, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh Jabatan/Agensi Negeri Sembilan pada tahun 2008 masih menunjukkan kelemahan seperti yang saya laporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Terhadap Aktiviti Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2007.

Di antara kelemahan tersebut adalah kelemahan mengurus bekalan air yang bersih dan berkualiti boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan umum.

Kemusnahan kawasan hutan dan faktor-faktor lain telah memberi kesan kepada alam sekitar seperti banjir, tanah runtuh, pencemaran udara serta kepupusan flora dan fauna.

Kelemahan pelaksanaan KAFA sedikit sebanyak telah juga menjejaskan kualiti pendidikan Agama Islam.

Selain itu Pusat e-Komuniti juga tidak mencapai matlamatnya untuk meningkatkan celik IT di kawasan luar bandar.

Secara amnya, kelemahan ini mencerminkan kelemahan dalam sistem penyampaian Kerajaan yang wajar diatasi segera demi memperbaiki imek Kerajaan Negeri dan perkhidmatan awam.

JABATAN BEKALAN AIR N.SEMBILAN/SYARIKAT AIR NEGERI

Beberapa kelemahan ditemui seperti kualiti air mentah yang berada pada tahap separa tercemar, Kompleks Ozon yang tidak dimanfaatkan penggunaannya, pelepasan enap cemar yang tidak dirawat terlebih dahulu, pencucian tangki dan kolam air yang tidak mengikut jadual dan ketiadaan program pencucian paip agihan dan komunikasi.

PEJABAT KEWANGAN NEGERI DAN PERBENDAHARAAN N.SEMBILAN

Penyata Penerimaan Dan Pembayaran yang dijana oleh Pengurusan sistem SPEKS (Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Kerajaan Negeri) tidak menunjukkan angka yang tepat dan perlu diedit secara manual.

JABATAN PERHUTANAN N.SEMBILAN

Beberapa kelemahan telah dikenal pasti semasa kajian Audit ini dijalankan seperti peruntukan kewangan yang terhad, kekurangan kakitangan, kenderaan dan peralatan yang tidak mencukupi bagi tugas-tugas pemantauan serta ketiadaan kawasan rizab hutan paya bakau sebagai zon penampan dan kawasan habitat laut.

JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM N.SEMBILAN

Pada keseluruhannya, pelaksanaan program KAFA adalah kurang memuaskan. Beberapa aspek penting seperti pematuhan garis panduan, prestasi guru, kurikulum kelas KAFA, penilaian kelas KAFA serta kemudahan bangunan dan kemudahan pembelajaran memerlukan penambahbaikan bagi memastikan program KAFA berjalan lancar dan mencapai objektifnya.

MAJLIS PERBANDARAN SEREMBAN DAN MAJLIS DAERAH JEMPOL

Majlis gagal menjaga kepentingannya kerana lewat mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan syarat dan terma Perjanjian oleh pihak syarikat. Kerugian hasil yang dianggarkan adalah sejumlah RM 0.48 juta bagi MPS dan RM 0.20 juta bagi MDJL. Secara keseluruhannya, pengurusan tempat letak kereta di kawasan Majlis adalah kurang memuaskan.

PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN N.SEMBILAN , PROJEK E-KOMUNITI

Secara keseluruhan, projek e-Komuniti di Negeri Sembilan gagal mencapai matlamatnya kerana kelemahan pengurusan oleh Unit Pengurusan Teknologi Maklumat (UPTM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan projek ICT di Negeri Sembilan. Beberapa kelemahan dikenal pasti seperti kajian keperluan tidak dilaksanakan, peruntukan kewangan yang tidak mencukupi, prosedur perolehan yang tidak dipatuhi dan pemantauan terhadap pelaksanaan projek yang kurang berkesan. Kesannya, pusat e-Komuniti Serting dan e-Komuniti Juasseh terpaksa ditutup akibat masalah pengurusan dan kewangan dan ini merugikan masyarakat setempat khususnya dan Kerajaan Negeri amnya.

No comments:

Post a Comment