Monday, June 16, 2008

Kijang Care lancar misi bantu 'OKU tertipu' di Pakistan

Wan Nordin Wan Yaacob - Harakahdaily.com
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) - Selepas berjaya dalam misi menyelamat dan membawa pulang beberapa orang anak gadis Malaysia yang dilarikan ke Lombok Timur, Indonesia, kini Kijang Care menyusun misi membantu seorang warga Malaysia yang kurang upaya (OKU) yang ditahan di Pusat Tahanan Wanita, Karachi, Pakistan.
Jurucakap misi bantuan ke Pakistan, Badrul Hisham Shaharin semasa mengadakan sidang media di Pejabat PAS, Jalan Raja Laut sebentar tadi berkata, Siti Aishah Abdul Hamid didakwa telah ditipu oleh satu sindiket yang akhirnya menyebabkan wanita OKU itu ditahan di Paksitan 24 Mei lalu.
Turut hadir ialah, suami Siti Aishah, Jaffar wakil Kijang Care, Alex Ong dan Anissofian Amran; wakil NIEI, Amin Iskandar selain barisan peguam Kijang Care yang diketuai, Mohd Khairuddin Othman (MK Othman&co).

Kijang Care adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa.

Untuk rekod, Kijang Care telah berjaya membawa pulang seorang pelajar Malaysia, Che Sitri Nor Azreen Che Ishak (penduduk Rantau, Negeri Sembilan) selepas dilarikan warga Indonesia ke Lombok Timur baru-baru ini.
Mengulas lanjut kes Siti Aishah, Badrul Hisham berkata, wanita OKU itu ditahan atas dakwaan membawa dadah seberat 950 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah Karachi, ketika mahu berlepas dari Pakistan ke Malaysia.

Siti Aishah sebenarnya diperdaya oleh satu sindiket antarabangsa yang kini beroperasi di Malaysia dengan pelbagai taktik untuk menjadikan wanita di negara ini agen mengedar dadah ke beberapa negara, katanya.

Siti Aishah dikatakan telah ditawarkan hadiah berupa percutian ke Pakistan oleh sindiket tersebut yang seterusnya memperdaya wanita keturunan Melayu Pulau Pinang itu untuk membawa dadah.

Kini, Siti Aishah yang mengalami masalah kesihatan antaranya darah tinggi dan masalah tulang reput ditahan bersama lima lagi wanita lain atas dakwaan mengedar dadah, kata Badrul Hisham.

Justeru, kata Badrul Hisham Kijang Care hari ini menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan wanita OKU tersebut yang menjadi mangsa penipuan sindiket antarabangsa.

Dalam sidang media tersebut, Badrul Hisham yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengumumkan pelancaran tabung misi bantuan ke Karachi.

Badrul Hisham menyeru dan merayu rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk menghulurkan bantuan bagi mengantar pasukan peguam dan Kijang Care untuk menyelamatkan Siti Aishah di sana.

Beliau juga memaklumkan, pihak Kijang Care terus-menerus berurusan dengan Konsulat Malaysia di Karachi, bagi mendapatkan perkembangan berhubung keadaan Siti Aishah di sana.


"Kita mahu ke Pakistan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat sebenar dan memberi khidmat nasihat guaman kepada Siti Aishah," ujarnya.


Ujar Badrul, bagi individu yang mahu menghulurkan derma bolehlah menghulur bantuan kepada akaun Kijang Care (Maybank) (nombor akaun : 512240600597) atau menghubungi Anissofian Amran (019-2357231).


Sementara itu, Peguam yang mewakili Kijang Care, Khairuddin Othman menyatakan, kes Siti Aishah ini sama seperti kes-kes wanita Malaysia yang ditahan di China dan beberapa negara lain berikutan terpedaya dengan sindiket antarabangsa.


Ujar beliau, perkara ini terjadi antaranya akibat kelemahan pasukan risikan dan pihak berkuasa dalam mencegah sindiket ini dari terus beroperasi di negara ini.


Namun, beliau turut menasihatkan warga Malaysia supaya berhati-hati dengan pelbagai taktik sindiket asing yang kini mensasarkan wanita Malaysia sebagai 'agen dadah' mereka ke negara-negara lain.


Sementara itu suami Siti Aishah, Jaffar pula merayu rakyat Malaysia yang prihatin kepada masalah isterinya itu sedaya mungkin membantu dari sudut kewangan bagi melicinkan misi ke Karachi dalam masa terdekat.


Beliau melahirkan kebimbang jika Siti Aishah lewat di temui di Karachi dan lewat mendapatkan khidmat guaman, isterinya itu akan menjadi antara wanita yang senasib dengan wanita Malaysia yang tertipu di China dan beberapa negara lain yang akhirnya menerima hukuman berat di negara terbabit.


Katanya lagi, sejak laporan mengenai Siti Aishah ditahan di Karachi tersiar, beliau menghadapi masalah dengan keluarga mertuanya yang menganggap beliau tifdak pandai menjaga isterinya itu.


Beliau juga berharap semua pihak memahami situasi yang dilalui kini tanpa sebarang prejudis. _

No comments:

Post a Comment