Monday, October 08, 2007

GERAK kesal sikap BPR dan Nazri

Kenyataan Media
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK)
8 Oktober 2007

Merujuk kepada perkembangan terkini dimana dua individu dari Parti Keadilan Rakyat (keADILan) telah diberikan notis 'ugutan' mendesak mereka mendedahkan identiti sumber klip video perbualan seorang peguam mengenai perlantikan hakim.

Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menarik balik notis yang mengarahkan dua individu dari Parti Keadilan Rakyat (pkr) supaya mendedahkan identiti sumber klip video perbualan seorang peguam mengenai pelantikan hakim-hakim. GERAK melihat tindakan BPR itu boleh dianggap sebagai satu percubaan untuk bertindak balas terhadap sumber klip video tersebut.

GERAK menggesa BPR supaya memfokuskan kepada siasatan mengenai kesahihannya dan kesalahan yang didakwa dilakukan dalam klip video tersebut. Klip video itu didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunjukkan peguam Datuk VK Lingam berbual melalui telefon, didakwa mengatur perlantikan hakim. Berdasar kontek perbualan tersebut, Anwar mendakwa orang yang berbual dengan Lingam adalah Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz.

Khamis lalu, Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan penyelaras politik Anwar - Sim Tze Tzin - telah menerima notis dari BPR itu yang memberi mereka tempoh tujuh hari untuk mendedahkan sumber klip video tersebut.
Notis itu menyatakan bahawa kegagalan untuk berbuat demikian adalah melanggar Seksyen 29 (c) Akta Mencegah Rasuah 1997. Di bawah Seksyen 58 akta yang sama, mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara.

Dilaporkan juga di media kemudian BPR juga merakam kenyataan Anwar berhubung pendedahan klip video tersebut pada hari berikutnya, tetapi beliau tidak diberikan notis tersebut.

GERAK memahami mengenai wujudnya undang undang yang menyatakan 'melindungi maklumat jenayah adalah satu jenayah' tetapi melindungi saksi sumber maklumat bukan satu jenayah lebih lebih lagi di Malaysia yang tidak mempunyai akta perlindungan saksi yang jelas.

BPR perlu dilihat sebagai badan bebas dan berkecuali dalam menyiasat kes ini bukanya bertindak keras sehingga menyebabkan orang ramai mempunyai persepsi bahawa BPR sebahagian dari komplot melindungi individu dan nama - nama yang disebut dalam video tersebut.

GERAK secara ikhlas menggesa BPR supaya menarik balik notis yang dikeluar terhadap Sivarasa dan Sim dan menumpukan siasatannya kepada kesahihan dan dakwaan kesalahan yang dilakukan. Menurutnya lagi, sebarang tanggapan layanan tidak adil terhadap sumber maklumat akan menjejaskan kerjasama rakyat dan ia juga akan menjejaskan semua usaha kerajaan untuk memerangi rasuah dan salahlaku secara berkesan, dengan sokongan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan GERAK amat menyesali dengan kenyataan Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang seolah cuba mengelirukan rakyat. Nazri dilaporkan dalam media mengatakan bahawa pemberi maklumat perlu diddahkan tanpa rasa ragu ragu kerana terdapat undang - undang yang melindunginya. Untuk pengetahuan Nazri Malaysia sehingga kini tidak mempunyai sebarang undang - undang yang jelas untuk melindungi saksi, dan salah satu misi GERAK ialah memperjuangkan akta perlindungan saksi di Malaysia.

GERAK dengan serius ingin menasihati Nazri untuk berfikir dahulu sebelum memberikan kenyataan kerana ternyata kenyataan beliau mengenai perlindungan saksi bukan sahaja tidak tepat malah cadangan pembedahan plastik yang dikemukakan mampu menjadikan Malaysia bahan tertawa antarabangsa. sila klik

Pengerusi GERAK, Saudara Mohamad Ezam Mohd Nor sendiri pernah mempunyai pengalaman buruk mendedahkan rasuah yang terbukti wujud berdasarkan kertas siasatan BPR tetapi akhirnya perasuah tersebut tidak disentuh pun malangnya Ezam terpenjara.

GERAK juga menyatakan sikap jelas menolak panel penyiasat yang tidak punya kuasa dan hanya menghabiskan wang buget negara dengan menuntut satu suruhanjaya di Raja diwujudkan segera bagi menyelesaikan krisis kehakiman yang wujud.

Kes ini ialah merupakan ujian buat sekian kalinya kepada kejujuran perang Rasuah Kerajaan BN Bawah Pimpinan Datuk Seri Hj Abdullah Hj Ahmad Badawi setelah banyak kali gagal dan kempi anti Rasuah menjadi bahan tertawa dunia.

'KORUPSI MUSUH NO.1 NEGARA'

Badrul Hisham Shaharin
Eksekutif Ko OrdinatorGERAK

liputan harakahdaily / liputan KLPos.com

No comments:

Post a Comment