Sunday, February 10, 2013

Mahathir sudah tidak mampu berfikir lagi

Dr Mahathir semakin hari semakin tidak berpedoman dengan meminta supaya dipinda Perlembagaan untuk memberi kuasa kepada kerajaan melucutkan kerakyatan kepada peguam-peguam seperti Ambiga, Pengerusi Bersih dan yang lain-lain. Ini disebabkan Mahathir tidak selari dengan pemikiran manusia yang bertamadun dan selari dengan kehendak masa dan zaman rakyat dan negara. Mereka dianggap sebagai penentang kerajaan oleh Dr Mahathir. Sikap Dr Mahathir semakin hari semakin mencacau dan tidak lagi menampakkan ciri-ciri seorang yang berkepimpinan untuk sebuah negara demokrasi yang beliau pernah pimpin ini.
Dengan sikap Dr Mahathir ini maka semakin hari semakin jelas membuktikan yang bekas PM ini  merupakan orang yang bertanggungjawab menjadikan minda rakyat beku khususnya orang Melayu yang beliau pimpin melalui UMNO selama dua dekad itu. Bagi Mahathir memberikan tekanan untuk meningkatkan ketelusan dan kebersihan di dalam pilihanraya negara. Memberikan pandangan yang berbeza dan mendesak untuk mendapatkan hak rakyat itu adalah salah kepada pemimpin yang sudah lama bersara ini.

Elok kita bertanya kepada Dr Mahathir apa kesalahan yang telah dilakukan oleh Ambiga sehingga Mahathir bermain dengan pandangan yang Ambiga layak dilucutkan kerakyatannya kerana meminta diadakan pilihanraya yang bersih. Bukankah kita sedang melihat ketidakadilan pihak berkuasa dalam menghadapi pilihanraya ini?

Bukankah kita melihat dan menonton saluran TV yang hanya di kuasai oleh UMNO dan BN dan tidak memberikan peluang kepada pihak pembangkang untuk pemimpin-pemimpinnya mendapatkan peluang untuk berhubung dengan rakyat? UMNO boleh menggunakan saluran-saluran TV yang ada untuk membidas pihak pembangkang tetapi dalam sebuah demokrasi pembangkang berhak untuk di berikan peluang yang sama untuk menjawab tuduhan dan tohmahan pihak kerajaan melalui saluran-saluran TV itu.

Bukankah Bersih dan Ambiga menuntut keseimbangan peluang untuk kedua-dua belah pihak untuk mendapatkan liputan masing-masing. Apakah salah bagi sesiapa yang tertekan untuk mendapatkan pembelaan? Kenyataan Mahathir ini memaparkan kepada kita yang Mahathir hanya berani melawan musuh yang diikat dan saya selalu mengatakan bahawa sesungguhnya Mahathir merupakan seorang pengecut dari dulu sehingga sekarang. Mahathir bijak menutup sikap pengecutnya kerana beliau pandai menggunakan orang lain untuk menyokongnya dengan memelihara politik dan kepentingan kroni dan pengampu beliau selama ini.

Mahathir telah membentuk kumpulan kepimpinan di sekeliling beliau yang tugas mereka hanyalah untuk menghiburkan beliau semata-mata. Hanya mereka yang berjiwa kecil dan fakir sahaja yang suka kepada ampuan sahaja dan tidak boleh ditegur dan dikritik. Mengkritik beliau atau kerajaan yang disokong beliau dianggap sebagai pengkhianat dan layak di lucutkan kerakyatan mereka. Bagi Dr Mahathir sesiapa yang membangkang itu adalah pengkhianat negara dan rakyat selayaknya hanya untuk menjadi pengangguk dan pengampu sahaja.

Semasa Dr Mahthir sehingga sekarang ini demokrasi tidak terlaksana dengan adil. Bagi pimpinan UMNO dan BN itu mengadakan pilihanraya itu merupakan satu-satunya ciri demokrasi, tetapi cara pilihanraya itu diadakan sesungguhnya jauh dari demokratik. Pihak pembangkang selama ini diikat dan digari dan UMNO membelasah mereka yang tergari ini. UMNO tidak berani bermain di atas padang yang rata. Bagi UMNO digari dahulu barulah mereka berani berlawan.

Sifat UMNO yang di tonjolkan oleh Mahathir itu telah pun sama-sama kita lihat seperti yang dilakukan ke atas seorang jaga yang telah dibelasah dan dibunuh oleh pasukan polis semasa jaga itu masih digari baru-baru ini. Mayatnya masih tergari semasa sampai di bilik mayat hospital. UMNO begitulah sikapnya. UMNO hanya berani berlawan apabila pembangkang diikat tangan mereka. Hendak berlawan secara demokrasi yang tulin sampai sekarang UMNO belum berjaya membuktikannya kepada rakyat tempatan dan masyarakat antarabangsa.

Sesungguhnya dari segi moralnya Mahathirlah yang sepatutnya dilucutkan kerakyatan beliau kerana kerenah beliau telah memecahbelahkan rakyat berbilang kaum yang dahuluinya hidup dalam situasi muhibbah dan bersatu. Mahathir telah pun mengaku yang beliau terlibat dalam pemberian kerakyatan kepada pendatang Filipina dan ini merupakan satu pengkhianatan terhadap negara dan selayaknya dilucutkan kerakyatan beliau sebaliknya.

Mahathir sudah sebegitu lama menganggap kesabaran rakyat menahan kerenah beliau itu sebagai kelemahan rakyat. Beliau terlalu biasa mengambil kesempatan terhadap rakyat dan sanggup membekukan pemikiran rakyat dan befikir dengan nilai yang terbalik dari nilai manusia yang biasa. Mahathir telah cuba untuk mengalihkan pusingan dunia ini. Mahathir cuba untuk membuatkan matahari terbit dari barat dan terbenam di timur.  Mahathir mahu menjadi malam itu siang dan siang itu dijadikan malam.

Mahathir sesungguhnya tidak bersikap seperti seorang negarawan seperti yang dilabelkan oleh penyokong beliau terhadapnya. Negara selalunya tidak merapek dan merapu bila memberikan pandangan terhadap sesuatu isu. Semakin hari semakin jelas siapa Mahathir sebenarnya.

Beliau hanya sebagai seorang yang tidak berpendirian yang selari dengan tamadun dan kehendak negara yang kini sedang menuju ke arah perubahan dan pembaharuan dalam semua bidang kehidupan bernegara. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/



No comments:

Post a Comment

Post a Comment