Tanggal 19 November - Peristiwa Memali Yang Sukar DiLupakan!
Peristiwa 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah,
Utara Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam
sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak
pemerintah daripada regim BN untuk melakukan aksi penangkapan ke atas
seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia
iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama
sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang
sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur.
Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan
meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan
perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan
oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah
terbaik!
Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman
pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun. Dr
Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh
ribuan pendengar di kalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam.
Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah
merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain
dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai
‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi
dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya
membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada
ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.
Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang
mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak
pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan
dapat dipegang selama-lamanya.
Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan
kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi
membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim.
Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan
dengan hebat.
Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir
seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari
ke sehari seakan ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar
atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera.
Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan
pengikutnya di Kg. Memali disiarkan media utama negara bagi mengelabui
mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya
dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya
dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam
tempoh menjelang operasi.
Sangat dahsyat. Tanggal hampir segenap penjuru kampung telah terkepung,
dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang
begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon
keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata
‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan
nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar.
Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak
pemerintah yang menghantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah
menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai
disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis
polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam
kelengkapan lain.
Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat
yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang
mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis
dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan
pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan
polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui
bahawa di hadapan mereka bukanlah Komunis.
Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin
dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka
ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara
anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah di kalangan
mereka yang bukan beragama Islam.
Antara watak utama di belakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini,
Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri
Kedah) dan Dr. Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan
utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh
tersebut.
Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust
Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong
perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan
majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli
jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi
ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah
semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada
pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.
Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan
Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap
melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar
mengelakkan berlakunya pertumpahan darah khasnya orng ramai.
Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan
dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak
melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat
kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan
Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.
Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya
berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri
Kedah. Bahkan di kalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang
sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim.
Beberapa orang di kalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan
memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan.
Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak
mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, lalu
mereka meninggalkan tempat tersebut.
Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang
kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan
dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu.
Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda,
wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu
Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh.
Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian,
digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan
parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil
yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis
bersenjatakan parang dan pisau.
Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan
water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu
berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan
dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi
mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu
Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam
dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat
parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus
menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi
tersebut.
Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari
kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima
hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim
dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’,
pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya,
beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “Abang kena apa?”.
Si isteri menjawab, “Abang ditembak”.
Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali.
Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus
menghadapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan
segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan
rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak
polis. Di dalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani
para syuhada’.
Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “
Ada lagi yang belum mati”. Semua penduduk kampung disumbat ke dalam
trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital.
Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan
diugut agar merahsiakan kejadian.
Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan
semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah
perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan)
dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati
sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid.
Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah
yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan
nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus
ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah
(penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa.
Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus
sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang
masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa
hari ditembak.
Wajah mereka yang tenang menghadap Allah ditambah pula dengan bau wangi
yang dapat dihidu oleh orang-orang yang menguruskan jenazah mereka.
Esoknya, media yang dikawal pemerintah pun menyiarkan berita operasi ini
dengan versi pemerintah. Ust Ibrahim dan rakan-rakan dicap sebagai
Bughah (penderhaka kerajaan Islam). Bagi PAS yang mempunyai lidah
rasminya sendiri iaitu akhbar Harakah memperbetulkan pula berita
tersebut. Selepas itu, ribuan umat Islam dari seluruh pelusuk Malaysia
bergegas ke Kg. Memali menyaksikan sisa-sisa dosa pemerintah ke atas
pejuang Islam.
Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah
sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail
mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum
ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip
video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis,
radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan
menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan.
Hari ini, genap 27 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang
tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang
mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh
tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan seorang demi seorang orang
kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman
kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.
Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan
memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis
yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu
syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada
situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini
yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan
memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan,
sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua’lam.
Al Fatihah buat para syuhada'....
(artikel diperolehi dari email seorang komrad)
No comments:
Post a Comment