Thursday, November 08, 2012

Lebih 3 ribu hadirin meriahkan Jelajah Le Tour De Scorpene SAMM-SUARAM di Johor



Kenyataan Media
5 November 2012
Lebih 3 ribu hadirin meriahkan Jelajah Le Tour De Scorpene SAMM-SUARAM di Johor
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) dengan kerjasama Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) telah menganjurkan satu program Jelajah Le Tour De Scorpene pada 4 November 2012 yang meliputi dua program utama iaitu Sesi Taklimat Tertutup kepada pemimpin Penerangan Parti Politik dan NGO sekitar Johor dan Ceramah Perdana. Jelajah di Johor merupakan siri ke-2 dalam 4 siri fasa pertama Le Tour De Scorpene.
Setiap jelajah menempatkan 2 sesi iaitu sesi taklimat dan sesi ceramah perdana. Sesi Taklimat Tertutup yang diadakan di Pejabat PKR Negeri Johor, Bandar Baru Uda, Johor Bahru yang bermula jam 2 petang telah berjaya menarik kehadiran seramai 77 orang pegawai-pegawai penerangan meliputi semua kawasan Parlimen dalam Negeri Johor. Pegawai penerangan yang terdiri daripada parti politik utama dan NGO yang menyokong usaha untuk memberi penjelasan kepada umum, akan turut bergerak ke seluruh johor membawa dan menyampaikan maklumat isu Scorpene.
Sesi taklimat ini dikendalikan oleh saudari Cynthia Gabriel, Pengarah Eksekutif SUARAM. Taklimat komprehensif yang menerangkan isu penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene dari awal hinggalah kepada prosiding Mahkamah Perancis dan juga isu cubaan pengharaman SUARAM oleh Pemerintah.
Taklimat ini juga turut dihadiri oleh Datuk Chua Jui Meng selaku Pengerusi PKR Negeri Johor merangkap Naib Presiden PKR,  Sdr. Subramaniam, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Johor, wakil-wakil NGO seperti FOS, JPAG, dan SABM.
Kesemua delegasi yang hadir juga telah dibekalkan dengan Kit Dokumentasi Skandal Penyelewengan Scorpene untuk dibawa ke lapangan dalam sesi penerangan kepada rakyat di seluruh kawasan Parlimen.
Sesi soal jawab bersama Pasukan Peguam SUARAM dikendalikan oleh Sdri. Cynthia bersama Sdri. Fadiah Nadwa Fikri turut menggamit penyertaan dari peserta taklimat. Pelbagai soalan dilontar dan diberikan penjelasan lengkap menunjukkan tahap komitmen tinggi setiap peserta taklimat untuk membantu menjadi agen penyebar risalah penyelewengan pembelian Kapal Selam Scorpene kepada seluruh pelusuk negeri Johor.
Ceramah Perdana Khas Isu Scorpene
Pada sebelah malamnya, Ceramah Perdana Jelajah Le Tour De Scorpene-Johor2012 pula mengambil tempat di Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang pula telah menarik lebih 3000 orang hadirin. Pentas Jelajah Le Tour De Scorpene-Johor2012 dimulakan dengan ucapan aluan daripada sdr Abd Shukor Ayub mewakili PKR Cabang Pasir Gudang.
Kemudian pentas terus dihangatkan dengan kemunculan tokoh politik muda yang sedang meningkat naik di persada politik Johor, sdr Nor Hizwan Ahmad yang merupakan Penyelaras Parlimen PKR Cabang Muar. Beliau mengulas mengenai peranan anak muda dalam memacu perubahan. Sdr. Suhaizan Kayat, Ketua Dewan Pemuda PAS Johor turut mengambil kesempatan dengan mengulas mengenai isu Pengerang, Johor dan kebiadapan rejim UMNO/BN terhadap Raja-Raja Melayu dan juga orang Melayu.

Selepas itu, saudari Fadiah Nadwa Fikri, wakil Pasukan Peguam SUARAM pula mengambil tempat sambil diiringi laungan sokongan dari hadirin. Beliau menyampaikan pidato berhubung Skandal Penyelewengan Pembelian Kapal Selam Scorpene sambil menegaskan bahawa SUARAM tetap akan berdiri teguh dengan komitmen ampuh untuk terus membongkar penyelewengan demi penyelewengan yang dilakukan oleh Rejim UMNO/BN walaupun pelbagai usaha sedang dan akan dilakukan rejim untuk menghalang mereka.

Datuk Chua Jui Meng, Pengerusi PKR Negeri Johor merangkap Naib Presiden PKR memanaskan pentas Ceramah Perdana Jelajah Le Tour De Scorpene-Johor 2012 dengan memberikan ulasan mengenai penyelewengan-penyelewengan UMNO/BN termasuk isu skandal Michael Chia-Musa Aman-Nazri Aziz.
Ceramah Jelajah Le Tour De Scorpene ini turut dimeriahkan dengan Simbolik Penyerahan Kit Skandal Scorpene kepada Datuk Chua Jui Meng dan Sdr. Suhaizan Kayat bagi mewakili Pakatan Rakyat Johor oleh Sdr. CheguBard untuk disebarluaskan isu ini kepada seluruh khalayak Johor.Percikan 10 das bunga api turut memeriahkan suasana malam tadi.
Ceramah Jelajah Le Tour De Scorpene melabuh tirai dengan pidato penuh semangat Sdr. Chegu Bard, Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang memperjelaskan mengenai beliau telah ditahan sebanyak 6 kali gara-gara menulis buku Misteri Di Sebalik Pembunuhan Altantuya. Walaupun ditahan 6 kali, tiada dakwaan dikenakan kepada beliau. Pelbagai ulasan terperinci diberikan oleh Che’gu Bard sepanjang 45 minit sebelum mengakhiri ucapan beliau dengan laungan “Hidup Rakyat, Tumbang BN” yang disambut oleh lebih 3000 hadirin.
Tiada sebarang provokasi berlaku sepanjang program ini berlangsung walaupun kelihatan beberapa kelompok upahan rejim dilihat telah berkumpul di sekitar lokasi Ceramah Perdana tersebut. Tahniah dan pujian harus diberikan kepada pasukan keselamatan SAMM Johor-AMK Pasir Gudang-Unit Amal Pasir Gudang yang berjaya mengawal keselamatan sepanjang majlis berlangsung.
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Chua Jui Meng, Sdri. Cynthia Gabriel, Sdri. Fadiah Nadwa, Sdr. Suhaizan Kayat, Sdr. Nor Hizwan Ahmad, pasukan Peguam SUARAM, Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor dan Cabang Pasir Gudang, AMK Cabang Pasir Gudang, Unit Amal PAS Pasir Gudang, seluruh peserta-peserta Taklimat, petugas-petugas dan jentera promosi yang telah berusaha gigih memastikan kejayaan program ini serta seluruh hadirin yang hadir ke Ceramah Perdana ini.
Dua lagi siri LeTourDeScorpene seterusnya akan berlangsung di Pahang pada 10 November di Padang Awam Taman Indera Sempurna yang terletak di Parlimen Pekan dan siri terakhir Jelajah Scorpene fasa pertama akan berakhir di Peringgit Melaka pada 13 November 2012.  SAMM Pahang dan Melaka juga telah memulakan hebahan sejak minggu lalu untuk memastikan jelajah ini mendapat hadirin yang besar dan liputan yang meluas demi kesedaran awam.
Akhir sekali, SAMM Johor terus beriltizam untuk membangkitkan kesedaran rakyat Johor khasnya anak-anak muda untuk menentang kebobrokan dan kepincangan sistem pemerintahan Negara ke arah melahirkan sebuah negara yang berlandaskan kerukunan Perlembagaan dan demokrasi.
“Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata”
Ahmad Anwar Asyraf Bin Ismail
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
(SAMM Johor)

No comments:

Post a Comment