Mahkamah Tinggi Ipoh telah melepas dan membebaskan Man Dato' anak bekas Dato' Bandar Ipoh, Dato' Ismail Shahbodin bersama empat rakannya daripada tuduhan membunuh seorang pelajar kejuruteraan, Mohd Hosni Fadzli Mohd Amin, 21, pada tahun 2003 tanpa dipanggil membela diri.
Sehari kemudiannya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kelemahan yang berlaku dalam siasatan kes bunuh itu disengajakan.
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) memandang serius kenyataan Ketua Polis Negara serta kelemahan pengendalian pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara itu dan meminta penjelasan terhadap kecuaian tersebut, kata Pengarah Eksekutifnya, Badrul Hisham Shaharin.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily hari ini dalam mengulas isu pembebasan Man Dato' dan empat rakannya dari tuduhan membunuh setelah mahkamah mendapati pengendalian kes pembunuhan tersebut terlalu cuai menyebabkan bukti sukar diperolehi.
"Atas faktor yang disebut Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Dato' VT Singham, dan melihat seorang tertuduh Man Dato' (anak bekas Datuk Bandar Ipoh), Peguam Negara dan PDRM tidak boleh mengelak dari persepsi orang ramai mengenai kemungkinan kecuaian yang terjadi dalam proses pendakwaan itu disengajakan," dakwanya.
Hilang percaya
Gerak kesal dengan perkembangan tersebut, dan Peguam Negara serta pihak Polis seharusnya memberikan penjelasan teliti bagaimana ’kecuaian’ itu boleh berlaku.
"Dan jika ’kecuaian’ ini disengajakan kerana pengaruh dan salah guna kuasa (korupsi), ia amat serius kerana ia turut melibatkan nyawa remaja yang berumur 21 tahun yang terbunuh dalam kejadian pada tahun 2003 itu,"katanya tegas.
Penjelasan teliti perlu dibuat kerana kes tersebut bakal menambahkan lagi kecurigaan dan ketidakpercayaan orang ramai kepada institusi penting dalam sistem perundangan negara, kata Badrul Hisham.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa secara serisu menyiasat dan memberi penjelasan terhadap 'kecuaian' yang dinyatakan, malah pihak Peguam Negara dan polis perlu segera mengatasi kecurigaan yang telah timbul berikutan keputusan kes ini<>
Man Dato'bebas
Rabu lalu (24 Januari 2007) Hakim Makhamah Tinggi Ipoh, Dato' V. T. Singham, dalam penghakimannya menyatakan terdapat banyak persoalan yang timbul jika meneliti laporan proses penyiasatan polis.
Beliau berkata, proses siasatan polis dalam kes berkenaan telah menimbulkan banyak tanda tanya manakala pihak pendakwaan pula lemah.
Katanya, keseluruhan siasatan polis berhubung kes itu boleh dipersoalkan kerana ia dilaksanakan dalam keadaan yang tidak memuaskan.
Dalam alasan penghakimannya bagi membebaskan ‘Man Dato' dan empat rakannya, Singham antara lain mempersoalkan:
PDRM dan Peguam Negara cuai?
* Mengapakah pihak polis mengambil masa hingga enam hari untuk ke lokasi kejadian bagi melakukan ujian forensik?
* Proses bedah siasat ke atas mangsa bunuh hanya dilakukan oleh seorang pembantu hospital dan bukan pakar patologi.
* Pendakwa enggan menyatakan nama seorang lagi suspek yang masih bebas dalam kertas pertuduhan sedangkan lelaki itu disyaki suspek utama kes pembunuhan itu.
* Timbul keraguan ujian profil DNA yang dibuat oleh pakar forensik yang baru lima bulan pulang dari Australia dan ia merupakan kes pertama yang dianalisis oleh beliau.
* Analisis DNA yang dibuat melalui komputer meragukan sama ada ia dibuat oleh pakar itu sendiri atau pembantunya.
* Keputusan DNA tidak membantu pendakwaan kes itu berikutan keterangan perubatan dibuat secara terbuka.
* Banyak barang kes di tempat kejadian pembunuhan tidak diambil dan disiasat oleh polis sedangkan ia boleh menjadi bahan bukti. Dalam kesimpulan penghakimannya, Singham turut menyifatkan kes ini merupakan kes paling cuai yang dikendalikan oleh Peguam Negara.
Peguam Negara Fail RayuanM
Sementara itu semalam, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membebas dan melepaskan anak ‘Man Dato’ serta empat rakannya daripada tuduhan membunuh seorang pelajar, Mohd. Hosni Fadzli pada 2003.
Notis tersebut dihantar ke pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh, petang semalam untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Timbalan Pendaftar, Salha Hamzah yang mengesahkan menerima notis rayuan itu berkata, notis berkenaan telah difakskan ke Mahkamah Tinggi Ipoh oleh Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.
Katanya, rayuan kes itu akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
‘‘Jadi rayuan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas selesai pengumpulan rekod-rekod rayuan,” ujarnya dalam satu laporan akhbar hari ini.
KPN beri amaran
Ekoran dari itu juga, Ketua Polis Negara mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kelemahan yang berlaku dalam siasatan kes bunuh itu disengajakan.
Beliau telah memberi amaran akan bertindak tegas ke atas para pegawai yang terlibat dalam penyiasatan kes itu dan tindakan akan diambil jika mereka cuai dalam menjalankan siasatan kes bunuh tersebut.
Bapa mangsa, Mohd Amin Mohd Ibrahim, 54, yang kehilangan anak kesayangannya, Mohd. Hosni Fadzli, setekah dilaporkan dibunuh pada tahun 2003 lalu percaya cahaya keadilan mutlak akan menjelma.
Beliau percaya ia akan menjadi kenyataan selepas KPN memberitahu, polis akan melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti kelemahan yang berlaku dalam siasatan.
Menurutnya, kenyataan tegas KPN itu seolah-olah memberi cahaya dalam usaha menyerlahkan keadilan sebenar kes tersebut yang mendapat liputan meluas.
“Saya rasa terbela dengan kenyataan itu dan merasai cahaya keadilan akan menyerlah juga dalam usaha membela arwah anak saya,” katanya dalam satu laporan akhbar hari ini.
Beliau yang bekerja sebagai pemandu lori bersyukur dengan reaksi positif yang diberikan oleh Musa.
Azman bersama Mohd Shafiq Azreen Mohd Salleh (Boy TC); Mohd Hafiz Ibrahim, (Tony); Mohd Faizal Radzali (Jambu) dan Mohamad Rizal Abu Hassan (Adik), bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, dituduh membunuh Mohd Hosni Fadzli Mohd Amin dengan membelasah termasuk menendang dan memijak mangsa sehingga mati di Ikhwan Auto, Hala Rapat Baru 20, Kawasan Perindustrian Ringan Kinta, di sini antara 3 pagi dan 10 pagi 22 Disember 2003./wann.
HOW ABOUT THE OUTCOME OF THIS CASE
ReplyDelete