Wednesday, January 17, 2007

AMNS hantar nota bantahan kepada Menteri Besar

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) - Cabaran terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohammad Hassan supaya pihak yang menuduh bahawa keluarganya campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri disambut dengan satu perhimpunan aman di hadapan pejabat MB hari ini.

Perhimpunan aman itu disertai oleh pimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (DPPNS) dan Angkatan Muda KeADILan Negeri Sembilan (AMKNS) dan kira-kira 50 aktivis anti korupsi dan kronisme di kalangan pemuda kedua-dua parti pembangkang.

Harakahdaily difahamkan ketika ini perhimpunan telah dimulakan dengan pihak pihak polis ditempatkan di setiap penjuru pejabat MB Negeri Sembilan bagi menghalang perjalanan perhimpunan aman dan penyerahan memorandum kepada MB.

Perhimpunan aman itu dikepalai Pengarah Pusat Aduan Rakyat Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin, Ketua Angkatan Muda Negeri Sembilan Ariffin @ Rebin Berham dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani selain barisan kepimpinan kedua-dua pergerakan.

Tuntut penjelasan

Menurut Mohd Taufek, penyerahan memorandum itu diadakan bagi menuntut penjelasan dan kebertanggungjawaban Mohamad terhadap tuduhan keterlibatan abangnya, Dato' Azman Hassan dalam pentadbiran kerajaan negeri serta dilantik ahli Majlis Perbandaran Nilai (MPN) seperti yang didedah Adun Lenggeng, Dato' Ishak Ismail.

"Kita telah lihat sebelum ini kes campur tangan keluarga Adun Pelabuhan Klang, Dato' Zakaria Darus dalam Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan ianya telah diambil tindakan, tetapi dalam pentadbiran Negeri Sembilan keterlibatan keluarganya yang dilantik sebagai ahli MPN ditutup begitu sahaja.Ini perlu kepada satu tindakan dan siasatan oleh BPR bagaimana keluarga MB boleh dilantik menjadi ahli majlis," katanya.

Selain itu katanya kenyataan secara terbuka Ishak dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan tahun lalu mengenai keterlibatan keluarga MB dalam pengagihan kontrak dan menekan kakitangan awam perlu disiasat oleh BPR dan pihak berkuasa yang lain.

Dalam memorandum yang sama DPPNS dan AMKNS juga mendedahkan isu penggunaan wang dana kemiskinan oleh MB bernilai RM4.5 juta seperti yang dilapor Audit Negara bagi tujuan membaiki rumah MB itu tahun lalu.

"Tidak perlu tunggu hingga ada satu laporan khas diserah kepada BPR atau sebagainya, pihak berkuasa boleh siasat atas laporan akhbar yang dibuat oleh pihak tertentu dan kenyataan Ishak sendiri selaku Ketua Umno Bahagian Seremban," katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Tidak layan memorandum

Sementara itu Badrul Hisham yang memberi `maklumat terkini mengenai penyerahan memorandum berkata, memorandum itu tidak berjaya dihantar kepada MB kerana tidak ada seorang pun wakil yang mahu mengambilnya meskipun maklumat mengenai penyerahan memorandum telah dimaklumkan kepada pejabat MB terdahulu sebelum ini.

"Mereka hanya menghantar seorang pengawal keselamatan yang bernama Zainal untuk menerima memorandum bantahan kami ini.Ini satu penghinaan kepada kami setelah MB sendiri bercakap secara emosi mahu kami menyerahkan bukti kepadanya.Inilah yang dikatakan cakap tak serupa bikin," kata Badrul dengan nada geram.

Dalam hal ini katanya AMKNS melihat MB sebenarnya takut dan tidak dapat menangkis isu yang dihadapkan ke atasnya sebaliknya secara emosi menafikan dakwaan.

Beliau yang melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu mendesak MB memberi jawapan telus berhubung dakwaan pelbagai pihak termasuk yang telah didedah Ishak secara terbuka dalam sidang DUN Negeri Sembilan lepas.

Badrul Hisham yang juga merupakan eksekutif ko ordinator GERAK, memberitahu bahawa kehadiran rombongan AMKNS dan DPPNS turut dipantau oleh anggota yang didakwanya sebagai dari Jabatan Keselamatan Negara berdasarkan kad nama yang diserahkan kepadanya sebentar tadi.

"Kita akan teruskan protes terhadap isu ini dan kita akan menyebarkan kepada seluruh rakyat tentang pentadbiran MB yang kucar-kacir ini.Selain itu kita juga akan bawa isu ini kepada BPR selain hari ini kita akan serah memorandum melalui faksimili kepada pejabat MB," katanya.

"Kita tahu MB kini panas punggung dengan isu terhadapnya,"katanya lagi.

Selain itu kira-kira dua trak FRU lengkap dengan gas pemedih mata siap sedia menunggu kehadiran rombongan AMKNS dan DPPNS sejak awal pagi lagi, katanya.

Conteng dinding tanda marah

Sementara itu Isnin lalu, Menteri Besar yang juga teman rapat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengecam pihak-pihak yang didakwanya sebagai tidak bertanggungjawab melepas geram menconteng dinding beberapa bangunan di sekitar Seremban, menuduh Azman yang juga Setiausaha Umno Negeri Sembilan, mengganggu urusan kerajaan negeri termasuk pemberian kontrak.

Kejadian itu dilaporkan disedari pihak MB sejak Sabtu lalu dan ia mendorong Mohamad mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Kamaruddin Siaraf menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan mengenai abangnya itu.

Serentak dengan itu Menteri Besar itu menyifatkan ia sebagai fitnah dan cubaan golongan tertentu memburuk-burukkan reputasinya.

Beliau mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti bahawa abang beliau mencampuri urusan kerajaan negeri supaya membuat laporan kepada BPR.

"Laporkan kepada BPR kalau betul abang saya ada campur tangan. Jangan conteng pada dinding, itu perbuatan orang pengecut," katanya kepada para wartawan selepas majlis pertemuan dengan ketua serta pegawai jabatan kerajaan negeri dan persekutuan di Seremban.

Mohamad berkata dakwaan mengenai campur tangan abangnya itu pernah ditimbulkan seorang Adun semasa persidangan DUN yang lepas dan apabila diminta memberikan bukti, anggota berkenaan menjawab: "Azman pernah memarahi anggota kerajaan negeri pada satu majis makan malam perhubungan Umno Negeri Sembilan."

Beliau berkata perkara itu 'tidak boleh dianggap campur tangan' kerana ia adalah majlis Umno dan sebagai Setiausaha Perhubungan dan pengerusi majlis sambutan, Azman berhak menegur kakitangan yang tidak menjalankan tugas dengan betul dan memuaskan.

"Oleh itu masyarakat harus faham bahawa Azman tidak boleh dilihat sebagai abang saya tetapi perlu dilihat sebagai Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan segala surat yang beliau tulis adalah atas dasar setiausaha perhubungan dan bukan atas dasar abang saya," katanya.

Ishak pertahan dakwaan

Sementara itu menjawab kritikan itu Ishak mempertahankan kenyataannya bahawa Azman telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri terutama dalam pembahagian kontrak.

Ishak berkata, pegawai kerajaan sendiri yang mengadu perkara itu kepadanya dengan menyatakan Azman sendiri akan menelefon pegawai kerajaan supaya memberikan projek kepada kontraktor-kontraktor pilihannya.

“Dia menggunakan kedudukan sebagai abang Menteri Besar untuk mengarahkan pegawai kerajaan supaya memberikan projek kepada kontraktor pilihannya,” kata Ishak dalam satu laporan akhbar versi online.

Oleh kerana perkara itu sudah menjadi perbualan di Negeri Sembilan, Ishak berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Sebaliknya Azman yang mengetahui perkara itu, telah bertindak memarahi beliau, kata Ishak lagi.

“Datuk Azman bertindak keterlaluan seolah-olah beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sedangkan jawatannya hanya Setiausaha Umno negeri,” katanya.

Ishak berkata, adalah menjadi kewajiban dan tanggungjawab beliau untuk membetulkan kesilapan kerajaan negeri seperti yang dilakukannya semasa pemerintahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad.

Pegawai tidak berani mengadu

Katanya, pegawai-pegawai kerajaan negeri tidak berani mengadu kepada Menteri Besar kerana bimbang dikenakan tindakan tatatertib.

“Sebab itu mereka datang mengadu kepada saya dan saya terpaksa membawanya kepada pengetahuan Menteri Besar untuk tindakan lanjut.

“Jika saya tidak berani, buat apa saya menjadi Ketua Umno Bahagian Seremban dan Adun Lenggeng,” katanya lagi.

Sementara itu, Ishak menafikan beliau terbabit dengan tindakan pihak tertentu yang menconteng dinding beberapa bangunan di sekitar Seremban yang menuduh Azman mengganggu urusan kerajaan negeri. (Wan Nordin)

2 comments:

  1. mcm tu lah ketua UMNO seremban..barulah sesuai..berusahalah menegakkan keadilan!!

    ReplyDelete
  2. Kepada :

    YAB Datuk Seri Mohamad Hasan,
    Menteri Besar Negeri Sembilan,
    Ting 5B, Wisma Negeri,
    Seremban Tarikh : 17 Januari 2006


    YAB Datuk Seri ;

    NOTA BANTAHAN TERBUKA - ISU CAMPUR TANGAN KELUARGA / UMNO DALAM URUSAN KERAJAAN NEGERI

    Angkatan Muda keADILan Negeri Sembilan dengan ini membantah campur tangan keluarga / UMNO Datuk Seri dalam urusan kerajaan negeri.

    1. Membantah campur tangan urusan keluarga dalam pentadbiran kerajaan :

    Merujuk kepada :

    • Perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Lenggeng dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas menyentuh mengenai campur tangan ahli keluarga Menteri Besar dalam pentadbiran kerajaan negeri.

    • Kenyataan Datuk Ishak dalam sebuah akhbar versi internet tempatan (http://www.malaysiakini.com/news/62131) yang menegaskan bahawa abang Menteri Besar (Datuk Azman Hasan) sememangnya mencampuri urusan kerajaan negeri terutamanya dalam bahagian kontrak.

    • Pembahagian jawatan yang dibawah bidang kuasa pengaruh Menteri Besar yang turut melantik keluarga Menteri Besar

    o Datuk Azman Hasan (Ahli Majlis MPN) berdasarkan carian dalam laman web rasmi Majlis Perbandaran Nilai

    Maka Menteri Besar tidak boleh mengelakkan tanggapan rakyat mengenai campur tangan keluarganya wujud dalam urusan kerajaan negeri.

    2. Membantah campur tangan UMNO dalam urusan kerajaan negeri.

    Merujuk kepada kenyataan Menteri Besar dalam Harian Metro 16 Januari 2007, MB telah mengakui MB gagal membezakan parti politik dan pentadbiran kerajaan kenyataan dalam Harian Metro itu mengesahkan wujud campur tangan UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri.

    Antara kenyataannya (petikan laporan Harian Metro, 16 Januari) ialah ;

    • Mohamad berkata, kejadian itu berlaku mungkin disebabkan beberapa pegawai kerajaan yang tidak berpuas hati apabila ditegur oleh Azman ketika majlis makan malam anjuran Badan Perhubungan Umno negeri, baru-baru ini.

    • “Apabila dia jadi pengerusi, sudah tentu dalam mesyuarat kita akan berbincang dan mengkritik. Bagaimanapun, itu bukan bermakna campur tangan dalam jabatan sebaliknya untuk memastikan semua kerja berjalan lancar. Kalau ketua jabatan tidak betul, kita perlu menegur,” katanya

    Kedua dua kenyataan yang dipetik dari laporan Harian Metro ini jelas merupakan bukti gangguan UMNO dalam Kerajaan Negeri.

    • Datuk Azman selaku Setiausaha UMNO tidak layak ‘menegur’ (memberi amaran / memperbetulkan) secara terus pegawai kerajaan kerana Setiausaha UMNO bukan termasuk dalam hieraki Kerajaan Negeri.

    • MB mengakui perlibatan instrument kerajaan (pegawai kerajaan dan kemudahan kerajaan) dalam mengadakan Majlis UMNO. Pegawai yang ‘ditegur’ oleh Datuk Azman ialah Pegawai Kerajaan yang diarahkan terlibat menjayakan program UMNO.

    • “Dia jadi Pengerusi” merujuk kepada Datuk Azman. Bagaimana seorang setiausaha Umno boleh terlibat dalam pentadbiran kerajaan rujuk kepada “mengkritik, membetulkan ketua jabatan dan menegur” ?


    3. Membantah penggunaan RM 4.5 juta pembaziran wang untuk ubahsuai bahagian dapur rumah Menteri Besar.

    Merujuk kepada pendedahan dalam laporan Audit Negara 2005 yang dibentangkan di Parlimen jelas menyatakan

    • Kerajaan Negeri Sembilan telah menyalahgunakan wang dana khas yang seharusnya di salurkan kepada rakyat miskin. Antara pembaziran yang dimaksudkan ialah :

    o Penggunaan RM 4.5 juta untuk mengubah suai kediaman MB
    o Pembelian perabut bernilai RM 5 juta lebih

    ( untuk kepastian angka dan fakta sila rujuk laporan Audit yang dibentangkan di parlimen yang juga telah dijadikan dokumen umum)

    Respon dari pendedahan tersebut MB hanya menyatakan tiada salah guna kuasa dan tiada pembelajaan tidak mengikut prosedur berlaku. MB menegaskan semua pembelajaan telah mengikut prosedur yang betul. Malangnya MB tidak menafikan lagi secara terbuka bahawa projek pengubah suaian kediaman beliau menelan belanja RM 4.5 juta dan pembelian perabut (kerajaan negeri) bernilai lebih dari RM 5 juta.

    Ketika mula menjadi MB, Mohamad Hassan enggan duduk di kediaman rasmi MB yang selama ini di duduki oleh Datuk Seri Utama Tan Sri Hj Mohamad Isa Dato Hj Samad ketika menjadi Menteri Besar dulu. Sebaliknya menggunakan alasan untuk menjimatkan wang rakyat dari digunakan untuk mengubah suai kediaman rasmi MB yang lama maka beliau menukar Rumah Tetamu Negeri (yang baru saja siap ketika itu) sebagai kediaman MB. Malangnya hanya beberapa tahun kediaman baru itu telah diubah suai (di bahagian dapur ) dengan belanja RM 4.5 juta. Ini satu pembaziran lebih – lebih lagi dalam keadaan rakyat hidup dalam kesempitan.

    Nota bantahan yang turut di dokong oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan ini perlu di beri perhatian serius oleh MB. Segala apa yang dinyatakan menuntut penjelasan terbuka dan segera MB juga paling penting perlu dihentikan dan diperbetulkan segera.

    Sekian.

    Nota bantahan mewakili rakyat
    di sediakan oleh :
    ANGKATAN MUDA keADILan NEGERI SEMBILAN


    Nota bantahan mewakili rakyat
    turut di sokong oleh :
    Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan

    ReplyDelete