Saturday, September 19, 2015

SAMM serah memo buat Jokowi

SAMM Serah Memorandum Buat Jokowi

KUALA LUMPUR – Penasihat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard) menyerahkan memorandum SAMM kepada Presiden Indonesia berkenaan jerebu di Kedutaan Besar Republik Indonesia Kuala Lumpur, petang tadi.

Beliau yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu melahirkan rasa kecewa di atas kejadian fenomena jerebu yang disifatkan menjadi acara tahunan di negara ini.

“Kami ingin menyatakan bahawa masalah jerebu telah membawa impak negatif kepada ekonomi negeri ini dan menjejaskan produktiviti sektor perindustrian, pelancongan, pertanian, perikanan dan aktiviti komersial yang lain,”katanya.

SAMM yang menyampaikan rasa keprihatinan rakyat tidak mahu lagi perkara ini memberikan impak kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat di seluruh Malaysia, sehingga sekolah terpaksa ditutup dan ramai rakyat Malaysia terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan.

Sementara itu, menerusi memorandum tersebut, SAMM turut menuntut pihak pemerintahan Negara Indonesia agar dapat mengatasi masalah jerebu yang melanda Malaysia hampir setiap tahun dan pada kali ini kesannya sangat membimbangkan.

Menurut kenyataan memorandum itu juga, mereka turut menolak jawapan ‘klise’ iaitu tindakan yang akan diambil kerajaan Indonesia setiap kali jerebu.

“Jika tindakan diambil dan Indonesia serius pasti masalah ini tidak akan berulang setiap tahun.
“Sepatutnya modus operasi kapitalis yang rakus membakar hutan atau pembakaran hutan kerana pembukaan kebun secara tradisional sudah lama boleh diatasi jika ia berikan perhatian secara serius,” katanya yang tidak menolak kewujudan syarikat berkepentingan Malaysia atau rakyat Malaysia.
Memorandum itu turut menuntut mendedahkan syarikat berkepentingan dan menggesa kerajaan mengambil tindakan undang- undang dan hukuman sosial ke atas syarikat dan individu terbabit.
Sementara itu, mereka turut menggesa pihak kerajaan serius menangani perkara tersebut.

“Rakyat sudah muak setiap kali berlaku jerebu dan skrip biasa diulang iaitu adanya perbincangan, adanya tindakan bersama, adanya MOU tetapi sehingga kini hasilnya tiada malah keadaan semakin memburuk,” katanya.

Sehubungan itu, pihak SAMM turut menjemput gerakan sivil Indonesia untuk mengadakan kerjasama peringkat masyarakat sivil kerana kes jerebu saban tahun ini juga perlu dilihat sebagai kegagalan pemerintah negara masing – masing di rantau ini untuk bertegas kepada kapitalis yang rakus memperkosa alam.


No comments:

Post a Comment