Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Tulisan Umum
Tulisan Umum
8 Januari 2015
SAMM Menyokong Pencalonan Anwar Ibrahim Untuk Anugerah Nobel Keamanan
Anwar Ibrahim bukanlah nama yang asing dalam Malaysia. Nama ini begitu besar dalam merencana tamadun negara bangsa pasca dunia moden hari ini. Siapa tidak kenal akan sosok ini? Daripada kehebatan pidato kepada menjuarai isu demokratik di jalan raya. Daripada pintar hujah agamanya kepada serangan terhadap keperibadiannya. Beliau dihormati kawan dan digeruni musuh.
Tahun 1998 adalah kemuncak kepada perjalanan hebat politik sosok ini. Perlawanan hebat dengan Penguasa tertinggi ketika itu telah menyebabkan dirinya terperosok ke penjara Sungai Buloh. 1998 dan Reformasi bukan satu agenda rahsia. Semua sudah mengetahuinya. Dunia juga ketahui. Ramai yang menganut faham politik pasca 1998. Tak kurang juga yang mengejinya.
Pintar dan hebatnya sosok ini hingga membawa kepada satu perubahan sosio-politik yang tiada taranya dalam sejarah negara bangsa ini. Siapa yang bisa menafi hakikat ini? Terkeluarnya beliau secara paksa dari hierarki penguasa telah mengolah sudut pandang berbeda politik tanahair.
Ramai antara kita memilih untuk mengambil berat soal politik ini pasca 1998. Kerana apa? Kerana karisma Anwar Ibrahim dan garapan-garapan idea reformasi untuk membawa tanahair ini keluar daripada kepompong tirani yang berkuasa puluhan tahun. Fikrah segar yang mencabar pemikir konservatif dan ortodoks.
Gerakan melawan tirani di Putrajaya sama ada gerakan politik kepartian mahupun politik warga telah menerima laba yang cukup besar dari air mata Anwar Ibrahim dan keluarga. Lihat bagaimana badai perubahan melanda negara sedari 1998 hingga kini. Tirani kuasa Putrajaya tidak lagi menempuh jalan-jalan mudah sebaliknya penuh ranjau dan duri. Kini Anwar Ibrahim sekali lagi terpaksa meringkuk di dalam penjara. Rejim Penguasa sekali lagi mencabul kebebasan Anwar Ibrahim sebagai seorang manusia yang merdeka.
Untuk kita menafikan perkara ini juga tidak bisa dan tidak adil. Negara ini tetap berhutang budi kepada sosok Anwar Ibrahim dan keluarga. Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai sebuah gerakan anak muda Malaysia turut bersama-sama menyokong pencalonan Anwar Ibrahim bagi Anugerah Nobel Keamanan ini. Hakikat yang tidak boleh dinafi, sedikit ruang terbuka pengukuhan demokrasi dan urus tadbir negara ini bermula dengan derita dan air mata Anwar Ibrahim dan keluarga.
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia
No comments:
Post a Comment