Monday, January 04, 2016

Gerbang : Kenyataan ADUN undang lebih banyak kekeliruan / Balak : Azmin tipu bila sebut ada tender terbuka

Kenyataan Media
4 Januari 2016

1.      Pertamanya saya pertegaskan sekali lagi isu korupsi, pembaziran, penyelewengan dan salah atau lemah urus tadbir tidak kira dilakukan oleh regim Barisan Nasional atau pihak mana sekali pun yang mentadbir negara atau negeri harus ditegur dan dibongkarkan.

2.      November 2015 saya mula menulis dalam blog (chegubard.blogspot.com) mendedahkan wujud projek (facelift) menaik taraf pintu gerbang (Gerbang Kota Darul Ehsan) dengan nilai hampir RM10 juta (RM9.7juta). Sebuah syarikat tempatan menggunakan nama arab memperolehi projek ini.

3.      Sebaik sahaja pendedahan dilakukan maka pengampu mula membuat penafian termasuk ada yang mengatakan tuduhan saya fitnah. Namun beberapa hari selepas itu para pengampu yang menafikan terkedu apabila Menteri Besar Selangor sendiri mengakui wujud projek (facelift) tersebut dengan amaun yang dinyatakan cuma Menteri Besar Selangor melepaskan tangan dengan menyatakan tidak perlu dipertikai kerana ia diluluskan di dalam Sidang DUN Selangor dan syarikat yang menjalankan kerja mendapatkan projek melalui proses tender terbuka. Azmin juga berkali – kali menyatakan dia tak terlibat dalam jawatankuasa tender dan dia tidak bersalah. Maka jelas ada yang tidak kena dan Azmin ialah ketua kerajaan negeri ia harus bertanggung jawab dan sikap ditunjukkanya jelas sikap ala Mahathir yang sentiasa mencari kambing hitam bila ada kegagalan.
4.      Saya membalas kenyataan tersebut dengan menyatakan, jika dewan dijadikan alasan untuk semua amalan pembaziran dan seumpamanya tidak boleh ditentang maka GST dan banyak perkara lagi tidak boleh dipertikai pembangkang kerana turut diluluskan melalui dewan parlimen.

5.      Azmin yang begitu tertekan dan tidak mampu menjawab kemudian terus menyerang saya sebagai pencacai Umno. Azmin tidak mampu berdepan isu ini maka satu kenyataan dikeluarkan oleh salah seorang ADUN nya jelas tujuanya bagi menjelaskan dan membersihkan nama Azmin.
6.      Namun kenyataan Haniza Talha itu terus mengheret isu ini ke satu bahagian yang lebih mengelirukan.

a.       Haniza menyatakan projek ini diluluskan oleh Menteri besar dahulu
                                                 i.      Kenyataan ini secara tidak langsung mengakui projek ini ada tidak kena dan ia diletakkan atas kepala Khalid demi membersihkan Azmin maka apa bezanya dengan cara Menteri Regim Bn, ketika ada yang tidak kena maka dituduh ia kesalahan Menteri sebelumnya.
                                                ii.      Faktanya Khalid meluluskan projek tetapi ia diteruskan dan proses ‘pengasingan peruntukan’ dan lantikan syarikat dijalankan ketika Azmin menjadi MB, kenapa ia diteruskan ?
                                              iii.      Isu dalam kes pintu gerang ini ialah kenapa nilainya begitu tinggi dan membazir ? Bukan siapa yang lulus.

b.      Nilai tinggi kerana ia Simbolik kepada negeri Selangor
                                                  i.      Adakah hanya kerana simbolik maka projek (facelift) pintu gerbang menjadi halal ? Ingat alasan ini juga alasan Mahathir apabila dipertikai mengenai pembaziran mahligai seri perdana, KLCC dan litar sepang yang mana ketika dibina ramai rakyat susah tidak terbela.

c.       RM9.8, harga munasabah ?
                                                  i.      T.kasih kepada Haniza kerana membetulkan kesalahan angka saya, rupanya ia bernilai RM9.8juta bukan RM9.7juta. Bukan hanya saya tetapi dua persatuan kontraktor dominan dengan jelas menegaskan angka nilai projek tersebut agak tidak masuk akal melalui kenyataan pimpinan mereka yang dipetik media.
d.      akui projek dibelakang jadual
                                                  i.      berdasarkan jadual skop kerja, projek tersebut sepatutnya sudah lebih 15% siap namun kenyataan haniza mengakui kelemahan kontraktor, ia lambat dibelakang jadual. Bukan itu sahaja dari segi tapak projek ia juga tidak menggambarkan nilai projek, tanpa pengawal keselamatan baru ini berlaku kejadian gantung diri di monumen yang dikatakan simbolik Selangor ini.

e.       Kait nama Istana ?
                                                  i.      Tindakan haniza mengaitkan nama Istana juga agak mengejutkan, sebagai sebuah parti progresif yang menggunakan ‘reformasi’ sebagai tema akhirnya menggunakan alasan feudal ? Sedar atau tidak ia bukan sahaja mengundang persepsi negatif pada parti namun usaha menyelamatkan diri ini telah menyebabkan istana turut terkait imej negatif. Maka jelas apa beza kamu dengan pimpinan regim Umno yang menggunakan istana sebagai benteng bila ‘terjerut’

f.       Projek ini hanya didahulukan wang kerajaan dan kemudian akan digantikan dengan derma.
                                                  i.      Alasan ini paling “legend” ia mengundang senyum sinis banyak pihak. Jelas ia bercanggah dengan amalan tatakelola kewangan kerajaan atau adakah Selangor mengendalikan kewangan negeri seperti akaun gerai goreng pisang ?
                                                ii.      Jika ia derma kenapa tidak disebut dalam belanjawan ketika projek ini diluluskan, kenapa istilah derma hanya muncul setelah projek membazir ini diserang.
                                              iii.      Projek dikeluarkan, bayaran (wang kerajaan negeri) diberi kepada kontraktor, kemudian bagaimana nak rekod wang ‘derma’ masuk bagi ‘cover’ duit yang sudah keluar. Dalam tatakelola kewangan pembelanjaan adalah perbelanjaan.
7.      Dalam perkembangan yang lain berkenaan isu balak, disini saya tegaskan Azmin menipu dalam kenyataan medianya apabila dia menyatakan syarikat yang memperolehi kawasan balak itu mendapatkanya melalui tender terbuka.

8.      Malah dia mencabar saya membuktikan bahawa dua syarikat dapat kawasan balak bukan melalui proses tender terbuka.  Jawapan saya mudah kalau ia tender terbuka mana iklan tendernya ? dan saya mahu sebut dengan jelas dalam tangan saya ada dokumen Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang membuktikan tidak ada proses tender terbuka dijalankan sebelum dua syarikat itu mendapat kawasan membalak tersebut.
9.      Ramai pimpinan parti bersetuju dengan apa yang saya lakukan namun saya diperingatkan betapa ada usaha yang bersungguh mahu saya dipecat dari parti. Saya pernah ditunjukkan pintu keluar dihina dan dipijak dalam parti sendiri, saya difitnah meninggalkan parti namun realitinya saya masih disini, saya sayangkan parti ini kerana inilah rumah perjuangan saya. Saya ulang isu korupsi, pembaziran, penyelewengan dan salah atau lemah urus tadbir tidak kira dilakukan oleh regim Barisan Nasional atau pihak mana sekali pun yang mentadbir negara atau negeri harus ditegur dan dibongkarkan.  Kita melawan bukan sekadar untuk ambil alih kuasa tetapi untuk menjadi lebih baik dari yang sedia ada. Janganlah perlawanan melawan korupsi, penyelewengan, pem,baziran dan salah atau lemah urus tadbir itu hanya menjadi selogan, ingat....perjuangan adalah perlaksanaan kata – kata.

10.  Kenyataan media saya hari ini untuk menjawab cabaran Azmin

Sekian ;

che’GuBard

Sila klik http://chegubard.blogspot.my/2016/01/isu-pintu-gerbang-darul-ehsan-ikuti.html?m=1 untuk menonton video sidang media 16 Disember 2015

No comments:

Post a Comment