KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi Kuala
Terengganu menetapkan 18 Mei sebagai pengurusan kes permohonan Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan perintah
penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2 juta oleh
bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd
Shamsul Mat Amin.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala
Terengganu Mohamad Nasrudin Mohamed menetapkan tarikh berkenaan
berikutan permohonan Abdul Hadi untuk mengenepikan perintah Mahkamah
Tinggi Kuala Terengganu itu.
Mohd Shamsul dan Abdul Hadi tidak hadir di mahkamah hari ini dan masing-masing diwakili peguam A. Vasudevan dan Asmuni Awi.
Permohonan pada hari ini untuk
mengenepikan perintah mahkamah tetapi tarikh 18 Mei ditetapkan untuk
pengurusan kes sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan di hadapan hakim,
kata Vasudevan ketika ditemui pemberita.
Pada 23 Februari lalu Abdul Hadi
diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta
kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab
atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul
pada 5 Disember tahun lalu.
Mohd Shamsul mengambil tindakan itu
selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang
menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lepas sebagai alasan untuk
PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga
menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
Dalam pernyataan tuntutannya Mohd
Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang
Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 sudah menjatuhkan maruahnya dan
keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli
perniagaan. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment