IPOH 20 APRIL: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution
Ismail menggesa rakyat turun beramai-ramai pada Himpunan Membantah Cukai
Barangan dan Perkhidmatan (GST), 1 Mei ini.
Perhimpunan
besar-besaran itu bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan
yang terus membebankan rakyat dengan kenaikan kos hidup melalui GST,
yang bakal dilaksana pada April 2015.
Saifuddin menyatakan demikian di hadapan 4,000 hadirin pada ceramah
Jelajah Reformasi 2.0 di Bandar Ipoh Raya, Perak Jumaat lalu.
“‘Grand Finale’ program Jelajah Reformasi 2.0 adalah kenduri
besar-besaran 1 Mei di Kuala Lumpur untuk terangkan kembali isu GST
kepada rakyat,” kata Saifuddin.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyatakan, Pakatan
Rakyat akan menggerakkan seluruh ahli dan penyokong untuk menyatakan
bantahan tindakan kerajaan yang terus membebankan rakyat.
“Tuan rumah kenduri 1 Mei nanti ialah Mat Sabu dan kita pergi
ramai-ramai untuk meriahkan kenduri dan berhimpun secara aman,” kata
Saifuddin.
Himpunan ini dijadual berlangsung di sekitar Kuala Lumpur antara jam 2 hingga 5 petang dan kemudian bergerak ke Dataran Merdeka.
Justeru kata Saifuddin, perhimpunan ini landasan penting untuk bicara
masalah dan soal beban hidup rakyat dalam menghadapi kos sara hidup
seharian.
“Kita cuma ada satu pilihan dengan bangkit dan lawan Umno BN, jangan
lupa undangan terbuka kenduri 1 Mei di Kuala Lumpur,” ulangi Saifuddin
lagi.
Rang Undang-Undang GST telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 April lalu selepas ia dibacakan kali kedua.
No comments:
Post a Comment