Tuesday, October 16, 2012

Laporan-laporan Audit yang mendedahkan betapa hebatnya Najib mentadbir negara..


Ada pihak yang berkata apa yang tersiar dalam laporan Audit 2011 ini membuktikan akan telusnya pentadbiran Najib.. perlu kita terima hakikat itu..

Tetapi dalam masa yang sama ianya juga membuktikan betapa lemahnya Najib dalam mentadbir negara jadi beliau perlu digantikan..

Laporan Audit 1

Mindef bayar RM3.2b untuk kuarters 'tak memuaskan'

Laporan Ketua Audit Negara yang dikemukakan ke Parlimen hari ini mendapati kontrak untuk membina kuarters untuk kakitangan yang berkahwin menelan kos sebanyak RM3.21 bilion namun hasil projek berkenaan dinyatakan tidak memuaskan.

Kos untuk 38 projek tersebut – melibatkan 9,455 unit kuarters dari jenis pangsapuri hingga banglo – pada asalnya dianggarkan menelan kos RM1.74 bilion namun meningkat 84 peratus kepada RM3.21 bilion.

Laporan itu menyebut, hanya satu daripada projek yang diaudit itu, yang merupaan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-9, dianugerahkan melalui tender terbuka manakala bakinya melalui rundingan terus, tender terhad atau dengan sebut harga.

Enam daripada projek ini terletak di Lembah Klang dan dianugerahkan kepada Syarikat USL – satu kerjasama di antara Syarikat Perumahan Negara Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera Sdn Bhd.

Menurut laporan tersebut, USL didapati "tidak berpengalaman" dan pegawai teknikal syarikat itu pula "kurang kompeten" untuk menyiapkan projek tersebut.

Laporan Audit 2

Indah Water rugi hampir RM1 bilion – Audit

KUALA LUMPUR 15 Oktober: Syarikat pembentungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) mengalami kerugian terkumpul secara berterusan sehingga akhir tahun 2010 berjumlah RM888.1 juta, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dibentang hari ini.

“Kes kecurian di loji olahan kumbahan melibatkan anggaran kerugian berjumlah RM25.40 juta, air kumbahan tidak dirawat mengikut standard ditetapkan, kerosakan struktur loji serta pelanggaran standard efluen melibatkan fi lesen berjumlah RM1.554 bilion.

“Prestasi kewangan IWK kurang memuaskan. Syarikat tidak mampu menjana keuntungan dan terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan untuk menampung perbelanjaan operasinya,” tulis laporan tersebut.

Justeru, prestasi syarikat pembetungan nasional itu ditandakan sebagai ‘kurang memuaskan’ dalam laporan tersebut.

“Setakat 31 Disember 2011, IWK hanya berjaya membangunkan sistem pembentungan negara ke satu tahap lebih baik selepas 17 tahun mengendalikannya.

“Projek tidak dirancang dengan teliti. Sijil Perakuan Siap Kerja dikeluarkan bagi projek yang komponen utamanya gagal dalam pengujian dan pentauliahan,” jelas laporan berkenaan.

Laporan Audit 3

Audit tegur kerugian Rapid KL RM300 juta

KUALA LUMPUR 15 Oktober: Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) mencatat kerugian terkumpul sehingga 31 Disember 2010 berjumlah RM293.82 juta, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011.

“Prestasi kewangan RapidKL kurang memuaskan di mana syarikat mengalami kerugian pada 2008 dan 2010, walaupun mencatat keuntungan pada 2009.

“Bilangan bas sedia guna bagi empat model iaitu Dong Feng 120, Iveco, Dong Feng 75 dan King Long Suzhou hanya mencapai kurang 50 peratus daripada keseluruhan bas sebenar,” jelas laporan itu.

LKAN 2011 turut menegur kelemahan pengurusan dokumen kewangan serta kawalan dalaman sistem kutipan RapidKL yang kurang memuaskan, manakala peratusan bas boleh beroperasi tidak mencapai 100 peratus.

RapidKL ditubuhkan pada 26 Julai 2004 dengan modal berbayar RM300 juta. Pada Jun 2009, Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) mengambil alih RapidKL daripada Menteri Kewangan Incorporated dengan pegangan ekuiti 100 peratus.

RapidKL juga adalah pengendali sistem tren transit aliran Ampang dan Kelana Jaya serta pengangkutan bas di Kuala Lumpur dan sebahagian di Lembah Klang.

Laporan Audit 4

Projek jalan raya di Sarawak bermasalah, kata Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan hari ini di parlimen mendapati projek membina dan menaik taraf jalan luar bandar di negeri Sarawak bermasalah malahan terdapat juga projek yang disifatkan sebagai “projek sakit” dan perlu diberikan perhatian.

“Sebanyak 101 projek bernilai RM437.57 juta yang disiapkan adalah tidak memuaskan, manakala 38 projek (37.6%) bernilai RM178.94 juta telah mengalami kelewatan antara 15 hingga 242 hari daripada jadual asal.

Sebanyak 13 projek sakit (17.6%) bernilai RM229.27 juta daripada 74 projek kerana kelewatan menepati jadual patut siap sebanyak 20%,” tulis laporan tersebut.

Lebih memeranjatkan, laporan itu juga mendapati projek pembinaan jalan yang telah siap tidak mengikut spesifikasi kontrak dan kualiti pembinaan jalan, keselamatan dan keselesaan jalan tidak memuaskan pengguna jalan raya hasil daripada maklum balas yang diperoleh.

“Kebanyakkan projek yang tidak mengikut piawaian tersebut telah menimbulkan pelbagai masalah seperti jalan terlalu berbukit, turapan bitumen nipis, jalan tidak rata, jalan cepat rosak dan berlubang.

“Di samping itu, lawatan oleh pihak audit juga mendapati tiga projek (satu di Miri, dua di Samarahan) pembinaan jalan baru dan naik taraf jalan sedia ada bernilai RM 28.75 juta tidak memasukkan keperluan membina culvert dan jambatan yang sesuai dalam skop kerja kontrak.

“Selain itu, semakan pihak audit terhadap 25 sampel projek telah mengenalpasti tiga projek bernilai RM22.54 juta tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan seperti ketebalan road base aggregate dan premix,” tulis laporan tersebut.

Bagi tempoh tahun 2006 hingga 2011, Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) telah diluluskan peruntukan untuk melaksanakan 175 projek dengan nilai asal kontrak berjumlah RM1.727 bilion.

Daripada 175 projek ini, sebanyak 146 projek bernilai RM1.104 bilion dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS) manakala sebanyak 29 projek lagi bernilai RM622.84 juta dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPSS).

Bagi menangani dan mengelak daripada mengulangi masalah sama, pihak audit telah mengesyorkan kepada KKLW supaya lebih teliti dan menyeluruh dalam setiap projek pembinaan jalan baru atau naik taraf supaya projek berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

Pihak audit juga menegur JKRS selaku agensi pelaksanaan projek ini perlu merancang secara holistik supaya objektifnya tercapai dan memberi nilai wang serta hasilnya kepada pengguna, memastikan setiap projek menepati spesifikasi, standard dan kualiti yang ditetapkan dan seterusnya boleh memberi keselesaan kepada pengguna dan memantau pelaksanaan projek dengan memastikan kawalan kualiti dilakukan sepanjang proses pembinaan sehingga Certificate of Practical Completion (CPC) dikeluarkan.

Laporan Audit 5

Pensyarah sementara UiTM dilantik tanpa bukti tamat pengajian

Semakan audit mendapati 15 penerima biasiswa - yang terdiri daripada seorang peringkat PhD dan 14 peringkat sarjana - telah dilantik sebagai pensyarah sementara Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2003 hingga 2009 tanpa bukti mengemukakan bukti telah tamat pengajian.

Mereka telah dilantik berdasarkan Borang Melapor Diri Bagi Pemegang Biasiswa TPM, demikian menurut laporan maklum balas daripada Perbendaharaan Malaysia ke atas isu-isu utama dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenai aktiviti badan berkanun persekutuan serta pengurusan syarikat subsidiari bagi tahun 2011.

"Mengikut borang tersebut 15 penerima biasiswa itu menyatakan telah menamatkan pengajian tetapi masih belum menerima keputusan rasmi daripada Universiti berkaitan.

"Pelantikan ini adalah bertentangan dengan prosedur pelantikan pensyarah sementara kerana tidak mengemukakan bukti tamat pengajian," kata laporan tersebut.

Katanya, ini disebabkan Borang Melapor Diri Bagi Pemegang Biasiswa TPM tidak menghendaki sesalinan skrol, transkrip atau pengesahan universiti tempat pengajian dikemukakan bersama sebagai bukti tamat pengajian.

"Oleh itu semua 15 pensyarah sementara ini telah berkhidmat selama dua hingga lapan tahun tetapi tidak dapat diserap ke jawatan tetap.

"Pada pendapat Audit, UiTM hendaklah mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi Universiti berkaitan bagi memastikan 15 pensyarah sementara tersebut telah tamat pengajian dengan jayanya," kata laporan tersebut.

Selain itu, tambahnya, UiTM perlu memastikan semua penerima biasiswa TPM mengemukakan bukti tamat pengajian dengan jayanya semasa melaporkan diri.

"UiTM memaklumkan pemegang biasiswa bertanggungjawab memberitahu UiTM jika ada perubahan status Ijazah sepertimana perkara 10 (d) dalam Memorandum Syarat-Syarat Tawaran Biasiswa.

"Selain itu, Jawatankuasa Latihan dan Pembangunan Staf (Induk) pada 27/02/2012 telah membuat keputusan pemegang biasiswa TPM yang melaporkan diri selepas tamat tempoh pengajian tanpa mengemukakan salinan surat Senat bagi pengesahan tamat pengajian, tidak akan dilantik ke jawatan pensyarah," kata laporan itu lagi.

Menurut laporan itu, semakan Audit mendapati JPSM (Jabatan Pembangunan Sumber Manusia) dan JPbSM tidak mempunyai prosedur kerja yang lengkap untuk pengurusan biasiswa TPM.

"Ini menyebabkan pengurusan biasiswa TPM tidak dapat diurus dengan teratur. Selain itu, Pejabat PUU tidak mempunyai prosedur kerja terperinci berkenaan tempoh masa dan kekerapan bagi pengeluaran notis serta surat peringatan," tambahnya.

Sementara itu, tambahnya, semakan lanjut terhadap 48 fail pemegang biasiswa TPM yang pecah kontrak di Pejabat PUU mendapati ia tidak diselenggarakan dengan lengkap dan kemaskini, kata laporan itu lagi.

Menurutnya, proses kerja yang tidak lengkap menyebabkan tindakan undang-undang dan susulan sukar diambil kerana didapati lima fail tiada dokumen asal perjanjian dan surat tawaran. 30 fail tiada dokumen asal perjanjian dan kesemua 48 fail itu tiada kertas minit dan senarai semak kandungan.

Sementara itu, dalam jawapannya, UiTM memaklumkan mengenai penambahbaikan terhadap memorandum baru biasiswa dengan memasukkan klausa tambahan iaitu pegawai hendaklah mengemukakan surat Senat/surat pengesahan universiti tempat pengajian semasa atau selepas melaporkan diri sebagai bukti tamat pengajian.

UiTM juga telah memberi maklumbalas pada 25 Jun 2012 berdasarkan surat daripada Jabatan Audit Negara bertarikh 14 Jun 2012 mengenai Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Pengurusan Aktiviti Badan Berkanun Persekutuan Tahun 2011.

Dalam surat tersebut, UiTM memohon para 10.4.4.1 -“JPSM dan JPbSM tidak mempunyai prosedur kerja yang lengkap dengan pengurusan biasiswa TPM. Ini menyebabkan pengurusan biasiswa TPM tidak dapat diurus dengan teratur” digugurkan kerana JPSM tidak terlibat dengan pengurusan biasiswa TPM, hanya melibatkan urusan pelantikan TPM sebagai pensyarah.

JPbSM pula, jelas UiTM, mempunyai prosedur kerja yang lengkap dan terperinci melibatkan pengurusan biasiswa sepertimana yang telah dilampirkan selepas mesyuarat 'exit conference' pada 27 April 2012.

"PUU dalam proses merangka prosedur kerja yang lengkap melibatkan urusan mengambil tindakan undang-undang ke atas tindakan pecah kontrak.

"Bagi proses tindakan undang-undang, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia hanya mengemukakan salinan dokumen berkaitan untuk tindakan pihak PUU," jelas UiTM
petikan dari Greenboc

klik sini untuk menyumbang ke SAMM

3 comments:

  1. Anonymous10:42 AM

    Saya terbaca satu laporan audit yang menunjukkan sebuah peti (bilik) simpanan 'high security' digunakan untuk menyimpan perabut lama, tikar, stor penyapu dan lain2 termasuk kertas photostat A4 yang belum guna. Kertas kosong ini dianggap 'high security' sebab takut nanti ada staf yang curi sikit utk bawa balik bagi anak buat tuisyen dan conteng2. Kertas bukti NFC beli kondo guna duit rakyat tak bernilai sangat sebab dah tak ada tempat kosong utk diconteng - jadi tak payah simpan dalam safe...

    Agaknya inilah mentaliti dan pemikiran segelintir pegawai2 kerajaan yg kita pembayar cukai ni amanahkan untuk membari perkhidmatan terbaik kepada rakyat jelata.

    Mentaliti sebegini yang kita harapkan nak menerajui dan memimpin negara ke arah Negara Berpendapatan Tinggi. Ha ha ha ha ha....

    ReplyDelete
  2. Anonymous1:51 PM

    Chegu,

    Ubahsuai lapangan terbang pulau pinang guna kontraktor yg sama buat parlimen bocor dulu.

    LOL... confirm kroni...

    ReplyDelete
  3. Anonymous2:11 PM

    Mana-mana kerajaan pun akan buat kesilapan.

    ReplyDelete