Friday, June 10, 2011

Setuju anak malaysia tetapi perlu juga pertegas sekolah satu aliran

Sehari dua ini kecoh mengenai anak bangsa bangsa Malaysia. Perkara ini wujud apabila seorang Ahli Dewan Undangan negeri dari Selangor yang baru melahirkan anak gagal dalam cubaan beliau mendaftarkan anaknya sebagai bangsa Malaysia. Tindakan beliau mendaftarkan anaknya sebagai bangsa Malaysia kerana menurutnya dia berbangsa cina yang berkahwin dengan lelaki berketurunan India, maka anaknya tidak mungkin menjadi India atau Cina tetapi anaknya harus menjadi anak Malaysia.

Seperti biasa tindakan ini dilihat dari perbagai aspek. Ada yang mengambil perkara ini dari aspek negatif. Ada seorang ahli parlimen bekas PKR dengan sengaja menulis komentar mengenai perkara ini dengan meletakkan gambar anak beruk mungkin sebagai menggambarkan anak bangsa Malaysia yang tidak ketahuan identitinya. Malah rata-rata blogger pro Umno yang melihat tindakan ADUN ini dari aspek politik semata lantas memberikan komen negatif termasuk sanggup menulis komen-komen lucah berkaitan dengan status anak ADUN ini.

Ini semua jelas mengecewakan. Selaku anak muda kita harus membicarakan perkara ini dalam ruang yang lebih luas lagi.

Apa niat ADUN tersebut terpulang kepada dia tetapi kita harus mengambil peluang ini untuk membincangkan secara terbuka dan jujur mengenai pembentukan negara bangsa dan kesepaduan rakyat dalam negara.

Suka mengungkap semula tulisan Rustam Sani yang pernah menulis kita pernah cuba dengan serius merdeka sebagai negara bangsa tetapi usaha kita gagal kerana dihalang oleh British kerana gusar kita akan muncul sebuah negara yang kuat, mandiri dan menyaingi mereka. malah selaku negara bangsa yang kuat, Negara Rakyat ini juga tidak akan mudah memberi jaminan untuk mengikut telunjuk demi menjaga kepentingan pemodal Inggeris. Usaha pembinaan negara bangsa ini juga mudah dihalang British apabila Umno menjadi agen dalam negara yang menjalankan usaha sabotaj menggagalkanya.

Tidak dinafikan terdapat banyak tafsiran tentang makna negara-bangsa. Namun menurut Abdul Rahman Embong (2001:12), persoalan negara-bangsa secara konseptual menjadi permasalahan penting disebabkan terdapat beberapa kekeliruan mengenainya. Ini kerana ada pihak yang menganilisis perkara tersebut secara legalitis dengan menghubungkannya dengan konsep ‘warganegara’ dan ada pula yang melihatnya berdasarkan konsep ras yang dihujahkan sebagai sukar untuk terbentuk.

Malaysia telah merdeka sejak 1957, itu proses yang lama namun kita masih terperangkap dalam 'lamunan perkauman sempit' kita. Ini semuanya ialah impian penjajah kita dahulu. Semasa menjajah mereka memisahkan kita dengan dasar pecah perintah. Lebih malang lagi selepas merdeka dasar mereka kita teruskan dengan politik perkauman sempit yang diwarisi melalui Perikatan dan kini barisan nasional.Malah lebih parah malangnya apabila politik perkauman ini menjadi azimat sakti yang sering diperguna oleh regim pewaris penjajah setiap kali tergugat sokongan.

Mari kita fikirkan adakah kita semua ini Melayu, apa yang menjadikan kita Melayu atau apa bangsa identiti kita ? Seorang Melayu kahwin dengan cina anaknya bangsa apa ? Sepasang suami isteri Melayu yang hidup dengan penuh meninggalkan cara hidup melayu adakah anak mereka melayu ? Keluarga cina yang hidup dikalangan orang jawa mengamalkan kehidupan berbudaya jawa, makanan jawa, cakap jawa lebih fasih dari cakap cina, adakah mereka cina ?

Kita telah membuang masa, seharusnya perkara ini sudah diselesaikan lama. Ini masa globalisasi, amat menyedihkan apabila nilai sempadan negara mula menjadi kurang nilai kita masih melipat lengan baju bertekak soal sempit perkauman dalam negara sendiri.

Memang sudah terlambat kita harus mulakan segera sekarang jika tidak kita akan hilang daya saing. Kita harus jujur dalam membincangkan perkara ini, ke arah mana negara ini hendak dibawa. negara ini tidak boleh sentiasa terawang dengan banyak taboo yang konon tidak boleh diungkap dan harus didiamkan. Ini negara kita, jika kita tidak mahu bincangkan siapa lagi yang mahu diselesaikan. British sudah lama pulang kita harus berdiri sendiri mengendalikan negara kita mengikut acuan kita.

Jika tidak negara ini akan hilang daya saingnya. Jika kita masih diam dan taboo untuk bicara hal pokok negara akan terus hilang warganya yang bagus untuk bangun negara. Ganerasi baru yang bosan dengan negara ini akan keliru identitinya. Mereka akan melihat negara ini hanya tempat cari makan kerana mereka dihalang itu dan ini, seolah negara ini bukan milik mereka. Maka mereka akan berhijrah ke mana mereka selesa cari makan. Rakyat harus melihat bumi ini bukan hanya tempat cari makan sahaja. Ini tanah air kita.

Walaupun kamu keturunan cina kamu sudah tidak ada kawloon untuk balik kerana orang kawloon sudah tidak kenal kamu, kamu beranak di Nibong Tebal maka ini tanah air kita yang harus kita bina bersama. Jika kamu keturunan india kamu sidah tidak ada Kerala untuk balik, kamu beranak di Kombok, Negeri Sembilan maka sinilah kampung halaman kamu. Semangat ini harus wujud dan ia hanya akan wujud apabila kita ada rasa milik sama negara ini.

nota ringkas lemparan idea bangsa Malaysia ini saya akhirkan dengan dengan pertanyaan pada diri kita semua secara detik hati, adakah kita jujur hendak sama mencari ke mana arah dan bagaimana nak bentuk negara bangsa malaysia ini. Adakah kita jujur dan sedia berkorban beberapa 'permata' kecil dalam genggaman yang disayang untuk mendapat belian besar yang jauh lebih bernilai.

Cuba renungkan jika kita ke Singapura. Suatu ketika dahulu, selepas Singapura mencapai kemerdekaan (dari Malaya), urusan kebudayaan dan keagamaan disekat. Sekolah-sekolah beraliran Cina dan Tamil dibubar untuk mengurangkan semangat “kecinaan dan keindiaan”. Atas iltizam dan visi Lee Kuan Yew, Singapura telah berjaya menjadi sebuah negara-bangsa. Walaupun pada awalnya wujud sedikit kekangan kebebasan berbudaya dan beragama, Singapura kini terus bergerak ke hadapan. Lee Kuan Yew telah berjaya menyatukan kebudayaan Singapura. Lee Kuan Yew dilihat berjaya mengasimilasikan masyarakat Singapura. Kita boleh meletakkan Singapura sebagai contoh negara-bangsa yang maju dan berjaya. Kita boleh berbangga kerana Singapura adalah jiran kita yang kuat
memberi saingannya.

Mana mungkin nak bina negara bangsa apabila pada peringkat awal pendidikan lagi majoriti anak malaysia terpisah-pisah. Jika kita semua tidak jujur dalam bab ini maka saya ungkap blogger A. Kadir Jasin (dan tolong jangan labelkan saya rasis) dalam tulisan beliau di Malaysia Today yang berkata “…Sebaliknya mempertahankan hak bangsa-bangsa lain di bumi yang sama adalah ‘hak’. Natijahnya, orang Melayu mempertahankan haknya dia dianggap rasis, tetapi apabila orang bukan Melayu melakukan yang sama ia dikatakan hak mereka…” Mungkin ada kebenarannya apa yang dikatakan oleh beliau.

dan cerita mencari identiti negara ini akan menjadi cerita tak sudah - sudah dan terpusing - pusing. Maka sama kita nyanyikan lagu, bangau oh bangau..............

sekadar mengajak diri berfikir.

1 comment:

  1. Anonymous11:19 AM

    satu sekolah is a calling card of rocky brew and his pack of attack dogs. we know who is behind rocky brew. by parroting satu sekolah we now know who you are. you and salahuddin ayub are deep cover agents.

    ReplyDelete