Monday, June 13, 2011

Faktor agama dan bahasa mampu meleraikan simpulan persepsi – oleh Zahiruddin Zabidi

14 June 2011

JUN 14 – Tidak dinafikan sedikit sebanyak pemahaman terhadap perjuangan DAP semakin difahami mutakhir ini khususnya selepas pilihan raya umum 2008. Ini adalah kerana DAP membuktikan bahawa ia adalah sebuah parti perjuangan yang benar-benar mahukan sebuah pemerintahan yang meletakkan keadilan unggul sebagai teras pemerintahan.

Toleransi yang tinggi dan sikap hormat-menghormati di kalangan parti Pakatan Rakyat sangat memperlihatkan betapa sebuah perjuangan yang mempunyai misi yang sama meskipun dasar yang berbeza, boleh bersama-sama membina barisan pejuang yang kental bagi membantai kumpulan penzalim rakyat yang sedia ada.

Sikap yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan DAP khususnya di Pulau Pinang dan Perak suatu masa dahulu wajar dipuji. DAP memperlihatkan bagaimana mereka adalah sangat menghormati prinsip demokrasi, perlembagaan dan undang-undang serta enakmen khusus negeri masing-masing dalam menangani isu-isu berbangkit.

DAP juga dilihat terlebih dahulu akan memohon nasihat dan bantuan daripada rakan Pakatan Rakyat khususnya dalam isu dan hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Sekali lagi ia menunjukkan kematangan dan sikap yang sangat profesional dalam berpolitik dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Perjuangan DAP semakin difahami dan persepsi yang sekian lama dibina oleh pihak kerajaan Barisan Nasional bahawa DAP adalah penerus kesinambungan ideologi PAP dari Singapura kian terhakis.

Ini kerana pucuk pimpinan DAP berjaya membuktikan bahawa mereka berbeza sama sekali daripada PAP sekarang. Malah dari segi penyalahgunaan kuasa politik termasuk menekan pembangkang, PAP lebih sama dengan UMNO berbanding DAP.

Namun persepsi tersebut masih menebal di kalangan orang Melayu Islam di Malaysia kerana beberapa faktor umum yang sudah diketahui.

Justeru saya mencadangkan pihak pimpinan DAP lebih kerap mengadakan program wacana dan penerangan dengan menjemput para ulama daripada PAS sendiri bagi membicarakan isu politik tanah air di pentas DAP. Cara ini juga dilihat dapat meleburkan persepsi bahawa DAP adalah anti-Islam, sekali gus anti-Melayu.

Selain daripada itu, penguasaan bahasa Melayu khususnya dalam pertuturan oleh para pemimpin dan ahli DAP adalah amat penting. Penguasaan bahasa Melayu yang baik apabila para pemimpin berinteraksi dengan rakyat secara umum akan meningkatkan kredibiliti dan daya tarik kepada pemimpin tersebut khususnya parti. Ini sudah dibuktikan oleh beberapa orang pemimpin DAP yang fasih bertutur dan menulis dalam berbahasa Melayu.

Saya yakin dan percaya, sedikit masa lagi bukan sahaja orang Melayu profesional malah golongan agamawan Islam juga akan tertarik kepada DAP apabila mereka meyakini bahawa DAP bukan sebuah parti yang anti-Islam, malah sangat berpegang kepada prinsip-prinsip perjuangan yang dikehendaki oleh Islam seperti beretika, berintergriti, adil, telus, saksama, anti-rasuah, anti-rasis, anti-pelamppau agama serta tidak mendokong perkara tidak bermoral dalam pemerintahan dan kehidupan sejagat. – Roketkini.com

*Penulis adalah editor sebuah syarikat penerbitan

No comments:

Post a Comment