Sankara berkata, Rahimi menandatangani akuan bersumpah itu secara sukarela selepas mengadakan pertemuan dengan peguam-peguam Anwar di Quality Hotel dua tahun lalu.
“Saya hendak menegaskan di sini bahawa Rahimi tidak dipaksa menandatangani akuan bersumpah. Dia menyediakan akuan bersumpah secara sukarela yang memihak kepada Anwar,” katanya.
“Dia (Rahimi) dengan bebas memberi maklumat... saya hadir bersama dengan beberapa peguam semasa dia menerangkan apa yang sebenarnya telah berlaku,” kata beliau kepada The Malaysian Insider petang ini.
Sankara juga berkata Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya, yang juga salah seorang peguam kes Anwar dalam kes liwat terbaru sekarang ditanggungjawabkan untuk mendapatkan tandatangan Rahimi pada akuan bersumpah yang dimaksudkan.
Petang tadi, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah dalam kes liwat kedua dihadapi Anwar dengan menandatangani dua akuan bersumpah.
Rahimi berkata beliau telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008, yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Saiful mendakwa dia diliwat Anwar beberapa hari sebelum itu dan kes itu sedang berlangsung.
Laporan polis dibuat Rahimi kira-kira 3.03 petang tadi.
Dalam laporan itu, Rahimi mendakwa beliau telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah oleh Latheefa dan juga beberapa anggota parti di Quality Hotel akhir Jun 2008.
Dalam pada itu, anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Badrul Hisham Shaharin menyifatkan Rahimi melancarkan kempen pilihan raya kecil Galas bagi pihak Umno hari ini selepas parti dominan BN itu sudah panik dengan kemungkinan pertembungan di kawasan majoriti Melayu.
“Dalam keadaan mereka sedang melakukan perang saraf memaksa semua percaya bahawa Melayu sudah benci Pakatan Rakyat dan mencintai Umno melalui Perkasa yang mendapat hak francais pembakar suhu perkauman, sudah tentu pilihan raya kecil di kawasan Melayu ini mencemaskan mereka,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan menerusi blognya.
“Galas sukar buat Pakatan Rakyat untuk mengekalkan kerusi tetapi akan cuba yang terbaik.
“BN cemas dan mengarut bermula dengan nak lantik pemimpin yang mereka pinggirkan selama ini, Ku Li sebagai pengarah, Umno panik kerana kalau tewas Galas, maka retorik konon mereka dipuja Melayu akan hancur,” katanya.
Bakal calon kerusi Angkatan Muda Keadilan ini berkata, faktor pengikat Pakatan Rakyat, Anwar kini berada di Itali dan tanpa perlu menantinya serangan dituju kepada ketua pembangkang itu.
“Kempen BN sempena Galas bermula hari ini dengan ‘kick offnya’ dimulakan oleh Rahimi, bekas kakitangan di pejabat Anwar Ibrahim.
“Rahimi ini kononya hari ini hadir di ibu pejabat Balai Polis Klang dengan menyatakan dia dipaksa membuat kenyataan bersumpah palsu,” katanya lagi.
Badrul yang turut dikenali sebagai “Chegubard” menambah, strategi menggunakan Rahimi sudah dihidu beberapa hari lepas, kononnya akan membuat aduan polis yang dia juga diliwat.
“Pelik juga sebab strategi itu mudah sangat dipatahkan kerana Rahimi ini pernah membuat akuan bersumpah dan rakaman audio visual menolak semua dakwaan Saiful, malah dia juga yang menimbulkan dan mengaitkan nama Ezam Mohd Nor sebagai orang yang terlibat dalam kes fitnah kedua ini.
Katanya, mungkin ‘perancang jahat’ juga sedar perkara ini, maka Rahimi sekadar mengaku dia dipaksa membuat akuan bersumpah palsu.
“Saya sendiri ada bersama beliau selepas Saiful membuat laporan polis dia diliwat. Rahimi oleh kerana kononnya takut, maka dia diletakkan di sebuah hotel dan beberapa teman saya diminta menjaga dan memenuhi keperluan Rahimi.
“Sepanjang dijaga selama kira-kira enam hari itu, dia bebas gunakan telefon, dia bebas ke sana ke mari termasuk ke Seri Pentas untuk menonton perlawanan bola sepak ketika itu.
“Malah ketika berbual dengan teman-teman yang menemani, beliau diberitahu betapa dia sedih kerana bagaimana Saiful boleh buat sedemikian rupa zalim terhadap Anwar,” katanya.
Badrul menyoal, “kalau dia kena paksa kenapa sekarang, kenapa dekat dengan Galas?”
No comments:
Post a Comment