Sunday, September 26, 2010

Sabah, Sarawak mahu perubahan


SEREMBAN - Sentimen rakyat pelbagai lapisan di negara ini berjuang bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk membawa perubahan di negara ini dilihat semakin kuat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berkata, sentimen itu turut dirasai di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Minggu lalu, saya berada di Sabah dan Sarawak selama lima hari. Saya dapati masyarakat Pribumi di sana kini berani melakukan perubahan.

"Mereka ingin `tukar baju’ yang juga boleh diterjemahkan sebagai tukar kerajaan,” katanya ketika berucap pada ceramah Aidilfitri, anjuran PKR Cabang Rembau di Bandar Seri Sendayan, dekat sini, malam kelmarin.

Hadir sama Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR, Fuziah Salleh, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR merangkap Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin dan Ketua PKR Cabang Rasah, Muhamad Kamil Yassin.

Dalam pada itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sepatutnya tidak melupakan rakyat yang mengundi mereka.

"Mereka menang kerusi dengan sokongan rakyat akar umbi yang susah, menderita dan memerlukan pembelaan.

"Namun dalam Parlimen, Ahli Parlimen BN lupa hakikat ini. Mereka tidak bangkit membantah pelaksanaan dasar yang menyusahkan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, senario itu pasti berubah sekiranya semua pemimpin dan ahli PKR bekerja keras bagi memastikan PR mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada pilihan raya umum akan datang.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8216858.asp

No comments:

Post a Comment