12 tahun lalu, pada tarikh yang sama Anwar bergegas dari Kelantan. Malam sebelum itu beliau dan Menteri Besar Kelantan telah menjadikan kali pertama dalam sejarah Stadium Kota Bharu sesak sedemikian rupa. Sejak petang orang sudah mula sesak, malah untuk membawa Anwar ke dalam Stadium pasukan yang bersama road show tersebut terpaksa menaikkan Anwar motor cub seorang penyokong. Rasanya tidak ada siapa antara kami yang kenal betul dia tetapi terpaksa menaikkan Anwar kerana jalan yang terlalu sesak. Tentu ramai masih teringat imej seorang menaiki motorsikal dan memakai helmet tutup penuh dengan beberapa orang berlaki mengiringi motorsikal itu melepasi jalan sesak menuju stadium Kota Bharu.
Seharusnya Anwar meneruskan siri Road Shownya ke Sabah. Gusar dengan sambutan rakyat dan sudah tentu regim Mahathir ketika itu tidak sanggup melihat 'simpanan tetap' mereka Sabah dilanggar oleh semangat kebangkitan rakyat. Maka arahan menangkap Anwar telah dikeluarkan. Arahan ini dihidu kerana dibocorkan oleh simpatisan Anwar cuma tidak pasti sama ada Bukit Aman atau orang rapat Mahathir sendiri membocorkanya.
Kerana arahan tersebut dihidu maka perancangan ditukar. Anwar tidak ke Sabah sebaliknya terus ke Kuala Lumpur. Ada antara pasukan Road Shor tersebut menyuntik pemikiran kalau Anwar terus ke Sabah tangkapan pasti dilakukan dalam penerbangan dan ia tidak bagus bagi gerakan.
Apapun terjadi ia harus berlaku di Kuala Lumpur. Bila keputusan balik ke Kuala Lumpur itu dibuat, maka banyak cadangan susulan. Ada yang mencadangkan supaya Anwar dibawa ke luar negara dan berlindung sebagai kerajaan campuran sementara yang lain menggerakan massa rakyat membangkitkan perlawanan. Malah telah diperbincangkan negara mana yang sesuai dengan imej dan persepsi rakyat Malaysia. Namun perbincangan tersebut disentak dengan kenyataan tegas Anwar sendiri. Dia menegaskan apapun yang berlaku ia harus berlaku dalam Malaysia. Anwar menegaskan jika rakyat bangkit menuntut KEADILAN maka dia yang harus menjadi benteng di depan. Terkejut dengan ketegasan Anwar semua fokus semula dengan perancangan Anwar berucap di Masjid negara.
Ratusan ribu rakyat petang itu berhimpun di Masjid. Imej ucapan Anwar di anjung Masjid negara menjadi gambar kenangan paling bermakna.Di anjung Masjid itulah kali pertama Anwar menyerang Dr Mahathir secara terbuka selepas dipecat kerana selama itu dia masih percaya Dr Mahathir ditipu dengan persepsi bahawa Anwar mahu melawan dia sebagai Presiden Umno dan terpedaya dengan manipulasi oleh kumpulan konspirator di kelilingnya. Sejak dipecat ramai ambil kesempatan kebangkitan rakyat kerana pemecatan Anwar untuk membelasah Dr Mahathir namun Anwar tidak menyerang hinggalah petang itu. Malangnya kepercayaan tinggi Anwar kepada Dr Mahathir dikecewakan oleh arahan penangkapan terhadap Anwar dan kemungkinan cubaan bunuh ketika operasi menangkap.
Selepas ditangkap Anwar dibawa ke lokap bawah tanah Bukit Aman, kejadian selepas itu mungkin boleh dirujuk buku laporan Suruhanjaya Diraja 'Kes Mata Lebam' di mana menyatakan secara jelas Anwar dipukul. Pukulan sedemikan boleh diklasifikasikan dengan tujuan untuk mematikan.
Selepas itu mula perlawanan rakyat. Rakyat bangkit membela Anwar kerana kes Anwar menjadi perlambangan penindasan dan kezaliman selama ini. Dalam kes Anwar Ibrahim selain rakyat tidak boleh menerima kezaliman ke atas sosok Anwar dan keluarga yang selama ini mendapat penghormatan tinggi di sisi rakyat, rakyat sendiri melihat bahawa kes ini merupakan pakej lengkap penggunaan semua aparat kerajaan bagi memenuhi nafsu regim penguasa untuk kekal kuasa. Banyak yang terkorban. Sejarah reformasi bukan semata imaginasi romantis. Ia satu yang real banyak yang terkorban, mati dalam jalan juang, hilang harta, hilang keluarga dan sebagainya. Banyak antara mereka tidak tampil menuntut apa selepas kemenangan sedikit. Namun ada yang tampil ke depan mendepang dada mengatakan itu dan ini pengorbanan mereka yang harus dibalas adalah banyaknya yang hipokrit dan umpama penambah rasa masakan.
12 tahun berlalu, tarikh yang sama Anwar berdepan dengan skrip fitnah yang sama. Cuma situasinya berbeza. Anwar kelihatan datang bersama Kak Wan dan anak-anak.... hanya kelihatan muka – muka juga seperti aktivis yang menggelar diri mereka Reformis. Che'GuBard hadir bersama adik beradik SAMM kumpulan anak muda yang diasaskan ketika semangat reformasi menjatuh dan di saat pati mengecil. Itupun hanya bebelas yang mampu hadir kerana kebanyakan adik beradik SAMM ini kerjanya makan gaji hari bukan pemegang jjawatan besar dan tinggi malah jauh menikmati lantikan politik di sana di sini. Ingat lagi tahun 2004 sebelum PRU parti berdepan dengan perbagai masalah. Menghadapi pilihanraya 2004 tanpa banyak persediaan menjadikan kita parti tercorot hanya mampu pertahankan 1 kerusi di Permatang Pauh. Ramai yang ambil keputusan lari ketika itu. Perbagai alasan digunakan termasuk tidak setuju dengan itu dan ini lantas terus meletakkan jawatan. Yang ahli korporat kembali semula ke dunia korporat. Namun masih ada yang terus tinggal dan mempertahankan jalan yang tersectus pada tahun 1998 dan bergabung dengan parti bersejarah PRM kemudianya.
Kali ini Anwar ada parti yang besar sudah memerintah negeri. Parti itu sedang menghadapi pemilihan, kerana ia parti besar dan susah untuk mendapatkan semua ahli maka pengumuman itu dan ini oleh calon bertanding jawatan parti dibuat dengan menggunakan media. Mungkin semua sudah sibuk mempertahankan 'jabatan' yang ada dengan lupa di mana kita bermula.
Yakinlah dengan perkembangan yang kes Mahkamah, siapa berani kata yang Anwar tidak akan 'ke dalam' semula. Najib sudah tentu tidak sanggup untuk berdepan PRU akan datang dengan Anwar ada ditengah rakyat ditambah pula masalah Bn yang kian merumitkan.
Tidak kira siapa terpilih menjadi pimpinan parti kali ini , perlu mengambil kira pertimbangan ini. Jika pasukan terpilih merupakan 'skuad tegar' maka perlawanan pusingan ini akan jadi pusingan akhir yang lebih pendek tempoh masanya tetapi pasti ianya lebih kasar dan ganas.
No comments:
Post a Comment