B'nai B'rith ditubuhkan pada 13 Oktober 1843 - ia mempunyai 200,000 anggota dan penyokong di 50 buah negara dan dikatakan sebagai gerakan yang paling aktif memperjuangkan kepentingan rejim Israel.
Harakah Daily dan juga TV Selangor mengeluarkan kecaman badan Yahudi itu terhadap Anwar dalam portal berita mereka.
Kecaman terhadap Anwar yang juga ketua umum PKR itu dibuat menerusi rasmi B'nai B'rith kepada John F Kerry, bertarikh 25 Mei lalu.
Ia melahirkan kebimbangan di atas kenyataan-kenyataan Anwar yang dikatakan anti-Israel semasa mendedahkan hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan firma perunding Apco Worldwide pada 30 Mac lalu di parlimen.
"Manusia seperti Anwar Ibrahim tidak sewajarnya diberi penghormatan yang sekarang ini diterimanya hasil dari hubungan baik dengan Amerika Syarikat," tegas Presiden B'nai B'rith Dennis W Glick.
"Serangan beliau terhadap kerajaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak disadur dengan fitnah yang anti-Yahudi dan anti-Israel," menurut surat itu lagi.
Anwar sebelum ini turut diserang portal rencana The New Ledger kerana mempersoalkan ikatan kerajaan Najib dan Apco Worldwide.
Penulis terbabit, Rachel Motte, menuduh Anwar sebagai ekstremis dan membidas tindakan beliau membantah "keberanian Najib" menurut kehendak Washington menekan Republik Islam Iran.
"Anwar terus membangkitkan sentimen anti-Semitik dengan mendakwa adanya perisik Israel dalam unit Teknologi Maklumat PDRM," menurut rencana itu lagi.
Penulis bagaimanapun tidak menampilkan bukti menunjukkan sebaliknya, mahupun bukti Apco Worldwide atau pekerjanya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan rejim Tel Aviv.
Anwar mendedahkan pencerobohan ejen perisikan Israel di Bukit Aman di Dewan Rakyat pada 6 April lalu berdasarkan kepada laporan Pengarah Bahagian Logistik PDRM Datuk Mahsuri Zainal.
No comments:
Post a Comment