Hakim mahkamah majistret Raub, Siti Hajar Mustaffa mengeluarkan perintah tersebut hari ini. Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat ditahan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Raub, Pahang.
Peguam Haris Abdullah berkata beliau percaya anak guamnya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan itu ketika mengadakan sesi dialog dengan peneroka semalam.
Tambahnya, Mazlan ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam tadi selepas diambil keterangan oleh polis di IPD tersebut.
"Dia ditahan selepas membuat satu laporan polis di balai yang sama," katanya lagi.
Haris berkata, Mazlan membuat laporan berhubung satu kekecohan yang berlaku di tempat Mazlan mengadakan dialog dengan peneroka Felda Lembah Klau.
"Dialog itu diadakan di dalam sebuah rumah. Pemilik rumah itu sendiri yang pelawa beliau adakan dialog di situ, jadi dia tidak perlukan permit.
"Kemudian berlaku kekecohan apabila datang seorang pegawai Felda untuk halang dialog tersebut," katanya mengulas kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 3.30 petang semalam
Menurut Haris lagi, Mazlan kemudiannya bersama pemilik rumah dan seorang peserta dialog itu pergi membuat laporan polis ke IPD Raub.
"Polis kemudian ambil keterangan daripada Mazlan, pemilik rumah dan seorang lagi peneroka di situ sehingga pukul 11.30 malam," katanya.
Katanya, sebelum itu, satu laporan polis telah dibuat di balai yang sama, mendakwa Mazlan telah menceroboh kawasan Felda terbabit.
Berikutan itu, polis menahan Mazlan untuk disiasat.
Sebelum ini, Mazlan selaku presiden ANAK telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 24 Februari lalu, berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi, diskriminasi dan dakwaan berlakunya penipuan oleh Felda.
No comments:
Post a Comment