Pemindahan Kuil Seksyen 19, Shah Alam
Persoalan dan fakta:
1. Apakah kerajaan negeri gagal tangani isu agama?
Sebelum PKNS mengambil alih tanah Shah Alam pada awal tahun 70an, Shah Alam merupakan kawasan ladang yang telahpun wujud lebih 100 tahun. Ia diduduki oleh pekerja ladang yang majoritinya kaum India dan penganut Hindu.
Ketika PKNS memulakan projek perumahan Shah Alam di bawah pentadbiran Barisan Nasional(BN) pada awal tahun 80an, kedudukan kuil Hindu yang telahpun wujud lebih 100 tahun tidak dimasukkan ke dalam pelan perancangan, malah dibiarkan kekal walaupun populasi penduduk Islam mencecah 80%.
Akibatnya, kedudukan Kuil Sri Maha Mariaman di Seksyen 19 hari ini betul-betul di depan rumah penduduk Islam, yang memisahkannya hanya jalan selebar 6 meter. Penduduk Seksyen 19 telah meminta agar kuil itu dipindahkan disebabkan oleh kesesakan lalu lintas.
Ketika pentadbiran BN dahulu, cadangan dibuat agar kuil dipindahkan ke Seksyen 22 atau Kompleks Kuil. Cadangan tersebut tidak diterima oleh Jawatankuasa Kuil kerana ia terletak lebih kurang 3 km dari tapak asal dan di tengah-tengah kawasan industri berat. Namun Jawatankuasa Kuil tidak diberi pilihan lain.
Isu yang timbul sekarang ialah isu perancangan komuniti yang merupakan sisa baki pentadbiran BN dahulu. Kerajaan negeri komited untuk menangani isu komuniti ini atas landasan keharmonian dan kesejahteraan penduduk pelbagai kaum.
2. Apakah tiada garis panduan pembinaan kuil?
Setelah Pakatan Rakyat mentadbir Selangor selepas 8 Mac 2008, kerajaan negeri menetapkan garis panduan berhubung rumah ibadat bukan Islam.
Antaranya tiada pembinaan baru dan operasi meroboh kuil tanpa kebenaran Exco, kuil-kuil sedia ada yang tidak terletak atas tanah yang diwarta sebagai tapak kuil atau terletak di lokasi yang tidak sesuai hendak dipindahkan; pemaju perlu menyediakan tapak ganti sebelum pelan pembangunan diluluskan atau membayar sejumlah wang untuk membeli tapak gantian dengan persetujuan jawatankuasa bangunan keagamaan terlibat.
Dalam isu pemindahan kuil Seksyen 19, PKNS sebagai pemaju telah mengesyorkan satu tapak di Seskyen 23 untuk pemindahan kuil. Persetujuan telah dicapai di antara Jawatankuasa Kuil, PKNS, Pejabat Daerah dan Tanah serta kerajaan negeri awal tahun 2009 untuk memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, atas pertimbangan tapak tersebut terletak 300 meter dari kawasan perumahan, iaitu kawasan perindustrian dan tempat letak kereta dapat disediakan.
3. Apakah kerajaan negeri tidak pernah keluar notis?
Kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memastikan segala syarat pemindahan kuil dipenuhi dari segi undang-undang dan dipersetujui Jawatankuasa Kuil, sebelum mengeluarkan notis kepada penduduk setempat untuk hadir ke pendengaran awam, jika tapak kuil yang dicadangkan berada dalam lingkungan jarak 50 meter dari rumah penduduk atau pemilik kilang, sepertimana terkandung dalam Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang diwujudkan oleh kerajaan BN dahulu.
Dalam erti kata lain, notis tidak perlu dikeluarkan jika tapak kuil terletak jaraknya lebih 50 meter dari bangunan sedia ada. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri boleh mengadakan dialog dengan penduduk jika perlu bagi menjelaskan keputusan kerajaan.
4. Apakah bantahan bina kuil tidak dilayan?
Pada April 2009, suatu pendengaran awam telah diadakan ke atas cadangan tapak kuil yang pertama di Jalan Saham 23/3, Seksyen 23 untuk pemilik kilang. Setelah mendapat bantahan daripada pemilik kilang atas sebab bimbang kesesakan lalu lintas, kerajaan negeri bercadang untuk memindahkan tapak kuil ke Jalan Dividen 23/6 dan mengadakan pendengaran awam untuk pemilik kilang yang terletak dalam lingkungan jarak 50 meter berhubung dengan cadangan pemindahan kuil. Satu dialog dengan penduduk sekitar juga akan diadakan untuk menerangkan isu yang berkaitan.
Janji kosong dan Provakasi UMNO:
Ketika kerajaan BN mentadbir Selangor dahulu pernah berjanji untuk memindahkan kuil Seksyen 19 tetapi tidak melakukan apa-apa. Penduduk terpaksa bersabar selama 26 tahun, menagih janji dari PKNS dan kerajaan BN Selangor, sehinggalah naiknya kerajaan Pakatan Rakyat.
Namun BN tidak membenarkan kerajaan Pakatan Rakyat menangani masalah sisa baki pentadbiran BN dahulu dengan cara baik dan tersusun. Pelbagai provokasi terus dibuat oleh kumpulan PEWARIS yang didalangi UMNO untuk membakar sentimen perkauman di kalangan masyarakat Islam.
Antaranya ugutan ke atas Jawatankuasa Kuil dan penganut Hindu dengan mengganggu upacara sembahyang, mencerobohi kawasan kuil dan memakai t-shirt dengan perkataan “Unit Jihad”; merosakkan pagar tapak cadangan kuil di Seksyen 23 dan memasang kain rentang fitnah dengan perkataan “Rodziah & Khalid Petualang Bangsa Melayu Islam & Penduduk Sek.23”; dan baru-baru ini mengarak kepala seekor lembu dan melaungkan kata-kata provokatif di depan Bangunan SUK pada bulan (Ramadan) yang mulia ini.
Pimpinan BN Noh Omar menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam, sedangkan BN sendiri membiarkan kuil beroperasi di Seksyen 19 yang majoritinya penduduk Islam sepanjang pentadbiran BN di Selangor. Apakah UMNO-BN sendiri juga tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam?
Jelasnya, tindakan provokatif ke atas agama lain seperti ini boleh mencetuskan reaksi dan ketegangan yang tidak perlu sama sekali dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan harmoni ini. Bukankah Islam itu merupakan agama pelindung dan rahmat untuk sekalian alam?
Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah suatu perlu diizinkan. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan susila yang sewajibnya, ia jadi memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat.
Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan Allah di dalam Al Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain
Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa
pengetahuan.”(Al-An’am: 108).
MENOLAK POLITIK PERKAUMAN, MENEGAKKAN KEADILAN UNTUK SEMUA
oleh : Ginie Lim, Unit Media Kerajaan Selangor
macam2...
ReplyDeleteulasan yang jelas... Thanks...
ReplyDelete