Tuesday, June 27, 2006

Tiada laporan rasmi bukan alasan lagi

Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) membuat laporan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan berlakunya rasuah dan salahlaku dalam institusi kehakiman negara.

Laporan tersebut berdasarkan dakwaan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Aidid dalam surat layangnya pada pertengahan tahun 1990-an yang antara lain mendakwa beberapa orang hakim terbabit dengan rasuah.

Baru-baru ini, dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan, Syed Ahmad Aidid mengaku beliaulah hakim yang menulis surat layang tersebut dan diarahkan meletakkan jawatan.

Koordinator Gerak, Badrul Hisham Shahrin (foto) menyerahkan laporan tersebut kepada Penguasa Mohd Tarmizi Abdul Manaf di pejabat BPR Wilayah Persekutuan di ibu negara kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Badrul Hisham berkata, Gerak membuat laporan tersebut bagi membolehkan BPR menjalankan siasatan terhadap dakwaan Syed Ahmad Aidid itu.

Katanya, tindakan itu dibuat ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dua hari lalu yang mengatakan BPR tidak dapat mengadakan siasatan mengenai perkara itu kerana tiada laporan rasmi.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menolak mentah-mentah siasatan lanjut terhadap dakwaan Syed Ahmad Aidid tentang rasuah dan salahguna kuasa dalam institusi kehakiman negara.

“Saya membuat laporan rasmi kerana mahu BPR menjalankan siasatan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Datuk Syed Ahmad Aidid itu,” kata Badrul Hisham yang juga Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat menyatakan maklumat yang diberikan kepada Mohamad Tarmizi kerana terikat dengan peraturan BPR.

Jadi perbualan umum

Badrul Hisham berkata, kini tidak ada sebab lagi BPR tidak boleh menyiasat kandungan surat tersebut kerana laporan rasmi telah dibuat.

Katanya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan memberi maklumat tambahan mengenai perkara itu kepada BPR jika dikehendaki.

Beliau berkata, jika kerajaan benar-benar serius untuk menangani rasuah, laporan yang dibuat oleh Gerak perlu disiasat secara terbuka.

“Saya tidak nampak lagi BPR tidak boleh membuat siasatan kerana kes ini telah menjadi perbualan umum di seluruh negara,” katanya lagi.

Badrul Hisham mengingatkan jika BPR masih berdiam diri pihaknya akan menggerakkan parti politik dan badan bukan kerajaan untuk langkah selanjutnya.

Katanya, isu yang membabitkan institusi kehakiman ini merupakan satu isu besar dan membabitkan kepentingan rakyat.

“BPR boleh memanggil Datuk Syed Ahmad Aidid untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut kerana beliau mempunyai bukti mengenai perkara itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment