21 Jun 2006
LAPORAN BPR : DAKWAAN HAKIM RASUAH DAN SALAH GUNA KUASA
Gerakan Demokrasi Dan Anti Korupsi (GERAK) dengan ini menyatakan rasa kesal di atas respon pemimpin politik kerajaan terhadap dakwaan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Dato’ Syed Ahmad Aided tentang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa dalam institusi kehakiman negara.
14 Jun lepas Dato’ Seri Nazri Tan Sri Aziz telah menolak sebarang siasatan lanjut mengenai dakwaan tersebut dan yang terbaru dan lebih mengecewakan ialah kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak juga menolak untuk melakukan siasatan malah menegur tindakan pendedahan Dato’ Syed Ahmad Aided sebagai tidak sesuai.
Alasan menolak sebarang tindakan lanjut kerana ianya berbentuk surat layang dan tidak mempunyai fakta khusus tidak boleh diterima sama sekali kerana Dato’ Syed Ahmad Aided telah menyatakan kesediaan bertanggungjawab terhadap isi surat tersebut.
Kedudukan beliau yang pernah menjadi hakim kanan di negara ini seharusnya memberi alasan yang cukup kepada pemerintah negara untuk terus menyiasat sekiranya kita benar - benar serius dalam usaha kita memerangi rasuah di negara ini.
GERAK melihat institusi kehakiman yang bebas dan adil merupakan antara nadi penting dalam negara demokrasi. Institusi kehakiman bukan sahaja perlu bersih tetapi penting dilihat bersih dan adil untuk diletakkan kepercayaan oleh masyarakat dalam dan luar negara.
Sebagai sebuah badan yang berjuang ke arah mewujudkan negara yang serius memerangi rasuah, GERAK memandang berat pendedahan bekas hakim mahkamah tinggi itu.
GERAK akan membuat menghantar laporan mengenai perkara ini ke Badan Pencegah Rasuah pada tarikh dan waktu seperti berikut:
Tarikh : 23 Jun 2006 (Jumaat)
Masa : 2.30 petang
Tempat : BPR KUALA LUMPUR, Rumah Persekutuan ,
Jln Sultan Hishamuddin, KL
Sekian dan terima kasih.
‘RASUAH MUSUH NO. 1 NEGARA’
MOHAMAD EZAM MOHD NOR
Pengerusi
No comments:
Post a Comment