Thursday, June 30, 2011

KERAJAAN PR PERLU MENCONTOHI KELANTAN BOIKOT UTUSAN MALAYSIA


ZEFRY DAHALAN : 30 Jun 2011.12.00 pm

PETALING JAYA – Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) digesa untuk mempertimbangkan cadangan memboikot akhbar Utusan Malaysia yang terang lagi bersuluh melanggar etika kewartawanan dan sering menyiarkan laporan berbentuk pembohongan, fitnah dan membakar semangat perkauman.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata adalah wajar kerajaan Selangor, Kedah dan Pulau Pinang turut mengikuti langkah kerajaan Kelantan apabila Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan untuk memboikot akhbar tersebut kerana penyiaran sebuah kartun yang menghina Islam baru-baru ini.

“ Keputusan yang diambil oleh Tuan Guru Nik Aziz adalah amat tepat memandangkan tindakan Utusan Malaysia sudah melampaui batas adab susila dan norma manusia serta menghina ajaran agama Islam itu sendiri.

“ Saya tidak setuju dengan kecaman satu dua NGO yang berkata kononnya Nik Aziz tidak menghormati kebebasan media.Apakah laporan berbentuk menghina hukum Islam, mengaibkan seseorang tanpa segan silu, menyebar fitnah dan membakar sentimen perkauman itu merupakan satu kebebasan media?” tanya Badrul Hisham.

Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata keberanian Utusan Malaysia menyiarkan laporan sedemikian jelas memberi petunjuk bahawa akhbar tersebut mempunyai imuniti daripada kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN).

“ Justeru itu saya berharap agar kepimpinan dan kerajaan negeri di bawah PR melaksanakan segera boikot ke atas akhbar tersebut sebagai pengajaran kepada mereka agar lebih bertanggungjawab dalam laporan yang mereka siarkan.

“ Saya percaya kerajaan negeri di bawah PR melanggan Utusan Malaysia dalam kuantiti yang amat besar membabitkan semua cabang pentadbiran di seluruh negeri pentadbiran kerajaan PR termasuk Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Agensi Kerajaan Negeri, Anak Syarikat dan pelbagai Jabatan di bawah Kerajaan Negeri.

“ Maka boikot ini pasti akan memberikan impak yang mat besar pada perniagaan mereka.Boikot ini juga sedikit sebanyak dapat membantu kakitangan awam di bawah Kerajaan Negeri PR agar tidak terus dipengaruhi dengan laporan yang berat sebelah”, jelas Chegu Bard lagi.

Chegu Bard berkata boikot akhbar tersebut tidak akan memberi kesan kepada kakitangan Kerajaan Negeri PR dari segi sumber infomasi kerana akhbar arus perdana lain masih boleh terus dibeli.

Chegu Bard juga meminta Kerajaan Negeri PR mengkaji untuk melanggan akhbar keluaran PR seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket Kini agar infomasi positif tentang PR sampai kepada seluruh kakitangan awam Kerajaan Negeri PR.

“ Alasan akhbar tersebut merupakan akhbar berbentuk politik dan milik parti tidak boleh diguna pakai dan sudah tidak relevan lagi.Ini ialah kerana Utusan Malaysia juga sebenarnya suara UMNO.Begitu juga lain-lain akhbar arus perdana yang hanya menyiarkan dasar dan kenyataan pemimpin BN.

“ Jika kita membaca laporan akhbar arus perdana gambaran yang diberikan semua yang dibuat BN adalah betul dan positif seolah-olah pemimpin seperti malaikat.

“ Sementara gambaran yang diberikan kepada pemimpin PR pula buruk-buruk belaka dan semuanya tidak kena.Ini jelas membuktikan akhbar arus perdana sebenarnya suara atau proksi kepada BN.Cuma oleh kerana akhbar arus perdana dibenarkan terbit setiap hari maka mereka juga menyiarkan laporan berbentuk sukan dan hiburan.Hanya itu yang membezakan akhbar arus perdana dan akhbar alternatif milik PR”, kata Chegu Bard.

Oleh yang demikian Chegu Bard berkata sudah sampai masanya kepimpinan PR memikirkan dan mengikuti langkah yang diambil oleh Tuan Guru Nik Aziz dan Kerajaan Negeri Kelantan.

Chegu Bard berkata sebagai seorang Menteri Besar yang paling berpengalaman di dalam PR sudah tentu Tuan Guru Nik Aziz telah mengambil kira faktor pro and cons sebelum mengambil keputusan utnuk memboikot akhbar harian Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment