Thursday, April 07, 2011

apa yang tidak kena dengan Hakim Negara

Ketua Hakim Negara Malaysia Sakit Mental ke?

Boleh kah mereka yang dibicarakan di mahkamah di Malaysia ini mendapat keadilan jika seorang Ketua Hakim Negara bersikap begini di hadapan khalayak ramai ? Kepimpinan Melalui Tauladan?

Khamis April 7, 2011
Ketua Hakim Negara Tinggalkan Sidang Media Dalam Keadaan Marah...

SHAH ALAM: Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi meninggalkan sidang media yang diadakan selepas Majlis Perasmian Mahkamah Khas Jenayah Rasuah di sini pada Rabu, dalam keadaan marah apabila menyangkakan wartawan telah merakamkan visual percakapannya walaupun telah diarah untuk tidak berbuat demikian.

Sebaik sahaja hadir pada sidang media tersebut, Zaki meminta supaya wartawan tidak mula merakamkan visual kerana semua perkara berhubung majlis berkenaan telah terkandung dalam ucapan perasmian yang dibacanya.

Bagaimanapun, tiba-tiba Zaki melenting apabila beliau mendapati terdapat kamera televisyen yang sedang merakamkan percakapannya.

“Saya dah kata jangan rakam, tetapi kamu tetap rakam,” katanya dalam nada yang tinggi dalam bahasa Inggeris.

Beliau juga tidak melayani sebarang pertanyaan para wartawan termasuk berkaitan beberapa prosedur baru yang telah diperkenalkan oleh mahkamah sejak tahun lalu lagi.

Malah pertanyaan seorang wartawan apakah rakaman audio dan transkrip mahkamah boleh diperolehi pihak media juga tidak dijawab Zaki.

Sebaliknya, beliau sekali lagi mengulangi rasa amarahnya kepada media kerana merakamkan visual percakapannya dan menghentak meja sebelum meninggalkan sidang media tersebut.

Wartawan bagaimanapun terus kekal di majlis tersebut untuk menunggu sekiranya Zaki akan kembali menghadiri sidang media berkenaan.

Bagaimanapun, Zaki tidak kembali semula menyebabkan sidang media diadakan tanpa kehadirannya dan digantikan oleh Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Datuk Hisham Nordin.

Turut menyertai sidang media itu ialah Pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri, D. Ravindra.

Seorang wartawan turut meminta izin daripada Hisham sekiranya sidang media tersebut boleh dirakamkan oleh kamera wartawan televisyen ekoran kejadian tadi.

Hisham yang memberikan kebenaran untuk merakamkan visual sidang media tersebut turut memberitahu sebenarnya berlaku 'salah faham' dan memohon maaf kepada wakil-wakil media.

"Saya menanggung kesilapan itu," katanya.

Terdahulu, majlis perasmian tersebut juga dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamad.

Zaki dalam ucapan perasmiannya berkata, penubuhan 14 mahkamah khas rasuah akan mempercepatkan pendengaran kes-kes rasuah yang lazimnya mengambil masa yang lama.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/4/7/mstar_berita/20110406200258&sec=mstar_berita

No comments:

Post a Comment