Wednesday, September 12, 2007

MB NS cuba cengkam mufti

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan didakwa tidak menghormati institusi keagamaan yang menjadi agama rasmi negara apabila cuba mengambil alih pengurusan Akaun Amanah Mufti Kerajaan Negeri itu.

Perkara ini bukan rahsia lagi apabila merujuk kepada surat yang ditujukan kepada Mufti Negeri Sembilan, Datuk Haji Mohd Murtadza Haji Ahmad bertarikh 19 April lalu. Surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Norzam Mohd Nor tentunya tidak bertindak sejauh itu jika tidak mendapat `lampu hijau’ daripada Mohamad sebagai peneraju pentadbiran kerajaan negeri.

Surat itu dengan jelas mengatakan bahawa Akaun Amanah Mufti Kerajaan Negeri akan dikawal dan dipantau sepenuhnya oleh pegawai Kewangan Negeri bermula 1 Mei lalu. .Dengan arahan terbaru itu, semua tanggungan atau perbelanjaan yang membabitkan Akaun Amanah Mufti perlu mendapat kelulusan daripada pegawai Kewangan Negeri.

Selain Akaun Amanah Mufti, semua akaun amanah di jabatan-jabatan kerajaan yang lain turut menerima nasib yang sama. Tindakan itu dilihat sebagai usaha Mohamad mendapatkan `sumber kewangan’ bagi menampung beberapa `program Mesra Rakyat’ dan untuk beberapa agenda peribadi sejak menjadi Menteri Besar pada 25 Mac 2004.

Tindakan itu juga mengundang pandangan serong terhadap Muhamad yang didakwa cuba mencampuri urusan pentadbiran agama Islam negeri itu yang mana mufti adalah pihak berkuasa utama selepas Yang di Pertuan Besar dalam semua perkara yang membabitkan hukum syarak.

Tindakan Mohamad `mengarahkan’ Norzam membuat pemantauan dan kawalan ke atas Akaun Amanah Mufti yang diwujudkan pada Ogos 2004 turut didakwa telah mempertikaikan kewibawaan Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar ibn almarhum Tunku Abdul Rahman dan Mufti Negeri Sembilan, Mohd Murtadza.

Berlandaskan keyakinan berada di pihak yang benar, Murtadza mengatakan perasaan kesal dan membantah `arahan itu’ melalui surat bertarikh 23 April lalu. Murtadza menjelaskan, bantahan itu berlandaskan Surat Ikatan Amanah yang telah diluluskan pada 4 Ogos 2004 dengan jelas menetapkan Mufti Negeri Sembilan sebagai ` pegawai pengawal’ bagi urusan terimaan dan bayaran berkaitan Akaun Amanah Mufti.

Dalam bantahannya Murtadza turut memberikan lapan alasan mengapa arahan itu perlu dibatalkan atau ditarik semula demi menjamin maruah institusi itu sebagai tembok menjamin kesejahteraan agama Islam pada masa depan.

Murtadza juga menjelaskan, Akaun Amanah Mufti telah diuruskan dengan baik sehingga mendapat pengiktirafan sebagai penerima anugerah Ketua Audit Negara dalam kategori `penyata terimaan dan bayaran’ pada tahun 2005 dan 2006.

Surat bantahan itu, Murtadza turut mengatakan perasaan kesal apabila Norzam tidak memberikan sebarang alasan yang munasabah, tiada sebarang perbincangan dan mempersoalkan keupayaan tenaga kerja pejabat Kewangan Negeri dalam usaha memantau dan mengawal akuan-akaun amanah di Negeri Sembilan. Tindakan melulu itu juga dianggap boleh membawa musibah kepada tadbir urus kewangan kerajaan negeri.

Ketegasan beliau sebagai mufti juga terpancar apabila `menyindir’ Norzam dengan berkata; pegawai kewangan negeri itu tidak dapat menjiwai perjuangan untuk mendaulatkan Islam kerana tidak memahami sejarah perjuangan dan pahit maung ulama silam khususnya yang berjuang dalam kerajaan dalam usaha mendaulatkan agama Islam di bumi Adat Perpatih.

Menurutnya, Akaun Amanah Mufti tenyata mampu memenuhi keperluan dana untuk menjana generasi terdidik dan berakhlak, selain berkemampuan mengawal pembaziran terutamanya hal yang berkaitan dengan penganjuran `program hiburan’ yang melampau yang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri kebelakangan ini.

Murtadza turut menyindir Norzam dengan ungkapan ayat; Norzam mempunyai potensi yang baik serta berluang menikmati kenaikan pangkat, tetapi golongan yang akan terus berdepan dengan cabaran-cabaran yang menimpa umat Islam di negeri itu ialah para ulama. Sebagai mufti dan golongan ulama di negeri itu, Murtadza juga berjanji akan terus menjadi benteng dan tempat masyarakat mengadu serta mendapat nasihat.
Murtadza jua dengan tegas mengatakan akan mempertahan dan memperteguhkan institusi mufti kerana institusi itu dibawah naungan Duli Yang maha Mulia Yang di Petuan Besar yang merupakan Ketua Agama Islam di negeri itu seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

“Pengambilan akaun amanah Mufti oleh pegawai kewangan negeri diangap membawa institusi mufti kembali ke zaman kemunduran. Keputusan itu perlu ditarik balik, ” tegas Murtadza dalam surat balasannya kepada Norzam.
che'GuBard dengan tegas dalam perkembangan ini berdiri di belakang mufti Negeri Sembilan dan memohon agar beliau terus tegas dan berani mempertahankan kebenaran dan hak.
Ketika zaman penjajah British dan Jepun pun jelas takut untuk menyentuh agama dan adat istiadat melayu kerana menghormati sentimen agama dan bangsa. Namun setelah merdeka 50 tahun satu persatu hak bangsa ini diperkotak katikkan oleh penjajah 'bangsa sendiri'.
Adakah Umno lebih gila dari penjajah atau melayu itu sendiri hilang maruah.

1 comment:

  1. Anonymous5:35 PM

    assalamualaikum...

    tidak tak bermaruah yang cuba merendahkan institusi mufti khususnya di N9.

    ingat petaka yang akan menimpa sekiranya Dato' Sheikh Murtadza diperlakukan sama seperti Datoi' Ishak Baharom x-mufti Selangor dalam isu ratu cantik dulu.MB Selangor ketika itu jatuh berdebab tak bangkit-bangkit lagi.

    bersama kita rakyat N9 mempertahankan insitusi mufti ini.

    ALLAHU AKBAR!!!
    REFORMASI!!!

    ReplyDelete