Utusan Online hari ini melaporkan Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak telah memutuskan akan menjual ayam pada harga melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan bermula Khamis ini bagi mengelak daripada terus mengalami kerugian.
Pengerusinya, Jimmy Chong Tong Sing berkata, perkara itu sudah dipersetujui oleh lebih 1,000 ahli persatuan yang mahu menjual ayam pada harga RM6.50 sekilogram berbanding harga siling RM5.60 sekilogram.
Beliau berkata, menyedari langkah mereka itu menyalahi undang-undang, semua peniaga bersedia untuk dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Kami sanggup disaman oleh KPDNHEP daripada terus menanggung kerugian. Apa yang akan berlaku selepas itu terpulanglah kepada pertimbangan pihak kementerian.
“Bagaimana kami mahu hidup apabila harga ayam daripada pemborong sudah mencecah RM5.70 sekilogram sedangkan kerajaan tetapkan harga jualan runcit hanyalah RM5.60 sekilogram,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tong Sing berkata, salah satu punca harga runcit ayam terpaksa dinaikkan adalah ekoran kenaikan kos bahan mentah atau makanan ayam yang terpaksa ditanggung oleh para penternak.
Jelas beliau, bekalan makanan ayam seperti jagung dan kacang soya dunia kini berkurangan dan keadaan itu menyebabkan harga makanan ayam seperti dedak naik sebanyak RM13.50 seguni sejak Julai tahun lepas.
“Sama ada KPDNHEP sedar atau tidak, bekalan ayam di seluruh negara pada masa ini berkurangan 20 peratus dan masalah itu mungkin bertambah buruk jika harga siling tidak dinaikkan.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah kemungkinan besar bekalan ayam pada musim perayaan kira-kira sebulan dari sekarang tidak mencukupi, jadi pihak KPDNHEP perlu serius dengan masalah ini,” ujar beliau.
Ini jelas bertentangan dengan hujah retorika bahawa ekonomi yang baik dan mampan yang dimainkan oleh media. Hakikat sebenarnya peniaga kecil dan rakyat sedang dihimpit 'kepayahan'.
Ekonomi yang baik dan mampan hanya dirasai 'nikmatnya' oleh sekumpulan kecil elitis korporat dan politikus negara. Tetapi majoriti rakyat terus menderita. Taburan 'dedak' semasa belanjawan hanyalah seperti kek yang mempunyai 'ising' yang cantik tetapi kurang bermutu di dalamnya. Contohnya tidak langsung menyentuh cukai terhadap rakyat tetapi cukai korporat diturunkan.
Rasuah terus berleluasa, terbaru pendedahan melalui Laporan Audit Negara membuktikan bagaimana wang negara dibazirkan melalui korupsi besar dan kecil. Pembelanjaan mengurus yang bertambah dalam pengumuman belanjawan baru - baru ini membuktikan betapa tidak efisyenya pengurusan kerajaan dan bakal mempertingkatkan lagi korupsi.
BPR seharusnya tidak menunggu laporan tetapi seharusnya bertindak segera dalam perkara ini. Namun seperti hilang 'ransangan' untuk melihat sebarang tindakan positif dari BPR selagi BPR tidak mempunyai kuasa bebas dari bawah 'ketiak' Perdana Menteri.
baca juga :
No comments:
Post a Comment