KUALA LUMPUR: Kali pertama sejak tujuh tahun lalu, seseorang hakim mengesahkan secara rasmi dan berdokumentasi mengenai wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan karier politik bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus mengesahkan perkara tersebut ketika membacakan penghakiman bertulisnya dalam kes saman malu Anwar terhadap penulis buku '50 Dalil' Khalid Jafri 18 Ogos lalu. Hishamuddin dalam masa yang sama memerintahkan Khalid Jafri dan isterinya yang juga bertindak sebagai penerbit buku tersebut, Rozihan A. Ghani membayar RM4.5 juta kepada Anwar sebagai gantirugi atas berbagai pembohongan yang dilakukan Khalid menerusi buku tersebut. Anwar masih lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika beliau menfailkan samannya itu pada tahun 1988 terhadap Khalid dan Rozihan tersebut atas tuduhan memfitnah. Anwar dalam samannya menamakan Khalid dan bersama beberapa individu dalam Umno berkonspirasi untuk memalukan beliau. Datuk Mohd Hishamuddin dalam penghakimannya berkata, buku tersebut telah disebarkan secara meluas dalam perhimpunan agung Umno dan buku tersebut juga dimasukkan di dalam beg perwakilan. "Khalid dan yang lain telah berkonspirasi dan berjaya mencapai matlamat mereka (untuk menjatuh dan memalukan Anwar). Akibatnya kerjaya politik plaintif (Anwar) rosak kerana penerbitan buku tersebut," kata Hishamuddin dalam penghakiman bertulisnya yang diperolehi oleh Suara Keadilan. Menurutnya lagi, Anwar bukan sahaja hilang kedudukannya dalam kerajaan dan Umno, tetapi juga kehilangan pendapatan dan pencen. "Berhadapan dengan kekejaman dan kebencian orang ramai terhadap maruahnya yang diserang oleh Khalid Jafri bersama yang lain, dimalukan segara terbuka dan cemuhan, kesakitan dan tekanan yang dihadapi oleh plaintif (Anwar) dan keluarganya tidak dapat diterangkan," jelas Datuk Mohd Hishamuddin. Kerana semua itu, menurut Hishamuddin, beliau memutuskan ganti rugi berjumlah RM4.5 juta kepada Anwar. Beliau berkata, biarpun pemberian ganti rugi melibatkan jumlah yang besar bukan amalan di Malaysia, namun beliau bersetuju dengan pendapat peguam bela Sulaiman Abdullah bahawa kes ini adalah kes yang unik dan tersendiri.
No comments:
Post a Comment