Wednesday, October 05, 2005

500,000 risalah mengenai kebebasan Anwar

Muda Mohd Noor - Malaysiakini

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengedar 500,000 risalah bagi menjelaskan mengenai pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Ketua Penerangannya, Badrul Hisham Shaharin berkata, risalah berkenaan diedarkan supaya rakyat mendapat maklumat lengkap mengenai pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Katanya, risalah tersebut diedarkan untuk menerangkan bahawa mahkamah telah mendapati Anwar tidak bersalah dan pemenjaraan beliau hanya konspirasi ciptaan buku `50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.’ Kempen ini untuk mempertingkatkan kesedaran orang ramai mengenai intipati penghakiman yang menyatakan buku ini bukan sahaja fitnah tetapi wujud konspirasi untuk menjatuhkan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Kempen mengedarkan risalah ini dimulakan di Sri Gading, Johor pada 18 September lalu sempena ceramah yang diadakan di tempat itu. “Tempat-tempat yang menjadi tumpuan utama dalam pembahagian risalah ini ialah pasar malam, masjid, Pasar Ramadhan, tempat letak kereta dan semasa program ceramah,” katanya.
Kesan kebebasan Anwar
Badrul Hisham berkata, jika sambutan orang ramai menggalakkan terhadap pengedaran risalah itu sempena ketibaan Ramadhan, pihaknya akan mencetak sejuta lagi untuk diedarkan kepada orang ramai. Selama ini, katanya, ramai yang menganggap pembebasan Anwar hanya berkisar kepada perintah Hakim Datuk Hishamuddin Yunus supaya penulis buku berkenaan Datuk Khalid Jafri membayar pampasan RM4.5 juta kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Sebenarnya, kata beliau, pembebasan Anwar boleh memberi kesan yang besar kepada politik negara termasuk keputusan pilihanraya umum akan datang.“Cara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengendalikan kes pembebasan Anwar ini akan dinilai oleh rakyat dan mungkin mempengaruhi pilihanraya umum nanti,” katanya. Angkatan Muda PKR, katanya, berharap dapat membahagikan sebanyak mungkin risalah tersebut kepada kakitangan kerajaan dan rakyat di akar umbi supaya mereka dapat mengetahui isu tersebut dengan lebih tepat dan jelas.

No comments:

Post a Comment