Thursday, May 19, 2016

Rumusan Debat Perdana : Deklarasi Mahathir

Pertama sekali tahniah kepada Sdr. Edy Noor Reduan (EDS) selaku Pengarah Propaganda dan keseluruhan team penerangan SAMM yang berjaya mengadakan Debat pada 16 Mei yang lalu. Kehadiran menggalakkan Dewan (atas) KLSCAH penuh dan keadaan amat tidak selesa, malah ramai yang hadir kemudian balik hampa kerana tidak dapat masuk. Memang dari awal EDS cadangkan untuk adakan di dewan besar (bawah) KLSCAH namun memandangkan sewanya sahaja sekitar RM3,000 dan dengan melihat kemampuan kewangan kami dalam SAMM sendiri maka kami guna dewan di atas dengan sewa sekitar RM700. Maaf pada semua dan begitulah kami SAMM kumpulan kerdil, itupun merangkak kami demi melengkapkan jumlah sewa, iklan Malaysiakini, cetak banner, p.a sistem semuanya sekitar RM1500. 

T,kasih kepada media yang hadir membuat liputan khususnya pasukan KiniTV yang menyediakan sialan langsung malam tersebut.


T.kasih kepada semua Panel dan Sdr. Azzan dari Kesatuan Mahasiswa yang berani tampil menjadi moderator Debat bersama Norazimah (aktivis reformasi) yang menjadi penjaga masa. Diakui malam tersebut agak tidak terkawal sedikit namun keberanian seorang Mahasiswa tampil berani menjadi moderator dalam debat yang memang dijangka panas harus diberi pujian.


Saya rumuskan hujah yang dibangkitkan.


1. Pihak Pro Deklarasi memulakan hujah dengan mengatakan penganjur tidak adil kerana menggunakan istilah Pro Deklarasi kepada mereka dan Pro Reformasi Total kepada satu pihak lagi seolah menggambarkan yang Pro Deklarasi menentang Reformasi dan Anwar Ibrahim itu sendiri. Saya rasakan isu ini sudah selesai kerana penganjur sudah memberikan penjelasan dan saya tegaskan ini juga berkait rapat dengan cara (team Mahathir) Pro Deklarasi selama ini. Mereka (team Mahathir) menggunakan cara siapa kritik Mahathir merupakan upahan Najib. Sedangkan kami jelas menolak dipergunakan Mahathir hanya untuk jatuhkan Najib dan menguatkan cengkaman Mahathir dalam Umno Bn dan seterusnya memenangkan Umno Bn dalam pilihanraya umum akan datang. 


Dan kartel yang bersama dengan Mahathir perlu akui sememangnya Anwar Ibrahim menolak gerakan yang dikepalai oleh Mahathir dan yang terkahir melalui surat panjangnya yang menekankan betapa kita akan ditipu oleh Mahathir dengan jelas bersama Mahathir ini menolak idea dan gagasan Reformasi sistem yang dibawa Anwar Ibrahim. Jelas mengangkat Mahathir ini melengkapkan cita - cita Mahathir membunuh politik Anwar sepenuhnya dimana anak angkatnya sedang memainkan peranan yang sangat baik untuk itu dalam PKR.


Saya sebut pengalaman saya berdepan Mahathir dalam Forum di Universiti malaysia 7 April lepas. Mahathir lari balik awal mengelak menjawab semua soalan saya namun sebelum itu Mahathir telah respon persoalan mengenai tuntutan pilihanraya bebas dan adil. Mahathir ditanya oleh seorang aktivis Bersih mengenai kenapa tidak diberi penekanan dalam Deklarasi tulisanya itu perihal tuntutan pilihanraya bersih dan adil, bukankah itu tunjang demokrasi ? Mahathir menjawab pilihanraya ini siapa yang kalah sentiasa akan kata pilihanraya tidak adil dan yang menang akan kata pilihanraya itu adil. Ini secara jelas Mahathir tidak akui pilihanraya Malaysia pincang dan dia akan pertahankan penipuan pilihanraya. Klik http://chegubard.blogspot.my/2016/04/drm-balik-awal-elak-menjawab.html


2. Pihak Pro Deklarasi menyatakan kami gagal menyatakan apa yang tidak dipersetuji dalam Deklarasi itu sendiri dan seolah kami hanya tidak bersetuju kerana penglibatan Mahathir semata - mata. Mereka juga berulang kami menekankan seolah kami tidak pun membaca deklarasi itu. Ditegaskan kami baca dan kami tolak deklarasi yang ditulis oleh Mahathir dan penglibatan Mahathir itu juga. 


  • penglibatan Mahathir mengepalai deklarasi yang kononya untuk menyelamatkan Malaysia ini jelas sangat kontradik dengan Mahathir itu sendiri. Dia tidak pernah meminta maaf dengan semua jenayah 'pentadbiran' yang dia lakukan. Dia tidak mengakui rompakan yang dia lakukan (Barry Wain menyatakan RM100 billion 'dirompak' Mahathir sepanjang pemerintahanya klik sini https://en.wikipedia.org/wiki/Malaysian_Maverick) Maka saya dengan jelas menyatakan malam tersebut Mahathir sebelum nak kepalai gerakan Selamatkan Malaysia sila akui , minta maaf dan pulangkan semua harta rompakan milik rakyat Malaysia.
  • Deklarasi ini ternyata pincang dan hanya berkisar soal masalah 1MDB sedangkan Najib dan masalah 1MDB ini hanya 'simptom' bukan penyakit 'barahnya' Mahathir pandai melalaikan rakyat dengan menumpukan simptom semata. Ubati Simptom tidak akan menyelamatkan negara, tetapi perlu ubati penyakit (barah) nya iaitu sistem yang pincang dan Umno Barisan Nasional itu sendiri.
  • Deklarasi ini menuntut 4 perkara iaitu singkirkan Najib, singkirkan mereka yang bersekongkol dengan Najib, mansuhkan semua undang - undang dan perjanjian baru dan memperbaiki integriti PDRM, Bank Negara, PAC dan SPRM. Ia jelas hanya berkisar dendam Mahathir semata kerana Mahathir hanya ingin singkirkan Najib dan yang bersekongkol dengan Najib. Siapa yang menetapkan nama - nama yang bersekongkol dengan Najib ? sudah tentu Mahathir yang akan senaraikan ? Ini merupakan proses pembersihan musuh Mahathir sebelum dia kembali ke dalam Umno seperti sebelum ini berada di luar Umno singkir Tunku Abdul Rahman, singkir Pak Lah dan kembali kepada Umno setelah matlamat tercapai. Jangan kita lupa Muhiyuddin, Shafie Apdhal juga hadir ke parlimen angkat tangan sekongkol dengan Najib sokong GST, TPPA dan lain lain. Malah anak Mahathir (ketika dalam Kementrian Perdagangan Antarabangsa & Industri) juga menjadi sebahagian perunding dalam menjayakan TPPA
  • Kenapa mansuhkan semua undang - undang dan perjanjian baru sahaja ? Bagaimana dengan undang - undang lama yang menindas seperti akta mesin cetak, akta hasutan dll ? Ingat ketika Najib mansuhkan ISA, Mahathir ialah antara yang paling ke depan menentang. Adakah semua undang - undang ini perlu dikekalkan agar ketika Mahathir kembali ke Umno selepas Najib dan kuncu disingkir akan digunakan sepenuhnya seperti zaman pemerintahannya untuk menindas pembangkang dan semua gerakan rakyat ?
  • Khalid Samad memberikan hujah seolah menolak Deklarasi (tulisan) sebab Mahathir adalah tindakan emosi. Ini saya tolak dengan hujah, dalam perlembagaan Pas apa yang tidak betul dan pincang ? Khalid menjawab spontan tak ada pincang, maka kenapa Khalid keluar hanya kerana Hadi dan kuncu - kuncu Hadi ? Maka apa salah kami menolak deklarasi Mahathir kerana sosok jahat Mahathir dan kuncunya lebih lagi isinya sendiri dipertikaikan.

3. Dalam hujah Ambiga dia menyatakan dengan jelas mereka tergesa - gesa dan hanya diberikan 4 hari untuk meneliti dekralasi yang sudah ditulis yang diberikan kepada mereka. Soalnya siapa yang menulis dan memberikan deklarasi itu kalau bukan Mahathir dan kenapa perlu ikut tekanan Mahathir yang hanya memberikan 4 hari sahaja , kenapa tidak dirujuk dan dibuat forum dan seumpamanya bagi mengutip pandangan rakyat ? Khairuddin dengan jelas menyatakan dalam salah satu hujahnya jika ada yang tidak dipersetujui sila bagi tahu dia dan dia akan bawa kepada Mahathir. 


Mahathir tulis dan secara diktator memberi masa 4 hari untuk bersetuju. Nak ubah apa - apa sila beri tahu dan akan dibawa kepada Mahathir untuk diteliti. Adakah tidak layak ia digelar deklarasi Mahathir ? Kena ingat hanya beberapa jam selepas deklarasi ini dibaca oleh Mahathir depan media perbagai pihak muncul pertikaikan perbagai perkara tertinggal termasuk isu Anwar Ibrahim. Adakah ini dikatakan deklarasi rakyat ? sedangkan rakyat hanya disuapkan tulisan tuntutan Mahathir.


4. Amat lucu bila Khairuddin cuba menggunakan pentas debat membela dirinya dan Mahathir apabila dia mencabar agar mana - mana pihak tampil membuat laporan polis atau kepada pihak berwajib mengenai 'jenayah' Mahathir ? Adakah Khairuddin tertidur 'umpama kisah ashabul kaffi' selama ini ? tidak sedarkah dia yang beribu laporan dibuat di seluruh negara dan oleh perbagai pihak ke atas Mahathir atas perbagai kesalahan selama ini ? Khairuddin menyatakan Najib penakut guna pihak berkuasa tekan dia yang melaporkan , Khairuddin nampaknya lupa bagaimana Mahathir menggunakan semua jentera kerajaan menekan bukan sahaja yang membuat laporan malah cikgu sekolah yang pakai pelekat kereta logo pembangkang pun diburu polis sampai ke rumah ketika zaman Mahathir. Najib hanya ikut Mahathir, kerana itu jangan ubati simptom semata - mata tetapi ubati penyakit barah nya iaitu kehancuran sistem bernegara dan Umno - Barisan Nasional itu sendiri.


Khairuddin sekali lagi membuat kenyataan lucu bila dia sebut “Bukan saya penulis dan penerbit buku itu. Tengok siapa penerbit dan penulis buku itu, sehingga ke hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim tak pernah ambil apa-apa tindakan ke atas diri saya,”



Semua perlu ingat Anwar telah buktikan di mahkamah Buku 50 dalil fitnah (2004) dan Anwar keluar penjara fokus pasal membina kekuatan rakyat bukan nak urus Khairuddin pemakan dedak.

Untuk semua saya ingatkan pada 4 Mei 2013 di Taman Metropolitan Khairuddin menyebut "....saya pikul perjuangan ini sebagai fardu kifayah kerana Dr. Mahathir tak mahu mempercayai Anwar berperangai sedemikian rupa. Sebab itu saya terbitkan buku 50 Dalil yang ditulis Datuk Khalid Jafri Bakar Shah," dimana  dia mulakan ucapan dengan Saya berani bersumpah Wallahi Wabilahi Watallahi.....


Ya dalam debat itu saya meminta maaf dan menarik kenyataan saya berkenaan Khairuddin menulis buku fitnah 50 Dalil.... tetapi saya tegaskan Khairuddin terlibat menerbitkan dan dia perlu mohon maaf dan mengakui fitnahnya sehingga Anwar terinaya dan Malaysia berdepan krisis politik berpanjangan.


6. Pihak Pro deklarasi menyatakan jika tidak sokong Deklarasi yang diterajui Mahathir , apa cadangan yang ada ? Pertanyaan ini diulang - ulang dalam debat seolah tidak pernah dikemukana cadangan. SAMM dengan jelas sudah menegaskan sejak Julai 2015 lagi apa penyelesaianya .

sila baca dengan klik link sebelah tajuk :

Kami punya alternatif dan ia sudah ditegaskan sejak awal.

7. Bersama Mahathir secara terburu - buru tanpa merujuk kepada rakyat malah akar umbi parti telah memecahkan kekuatan pembangkang dan 'civil society' . Hebahan yang konon menggunakan Mahathir mampu mencapai akses baru kepada orang Umno hanya ilusi pro Deklarasi Mahathir semata - mata. Banyak program gagal contohnya (klik http://chegubard.blogspot.my/2016/04/anak-muda-mahukan-perubahan-tetapi.html) . Program pelancaran anak muda deklarasi Mahathir di ibu kota dalam dewan besar hanya dihadiri 30 orang sahaja. Bukan anak muda tidak mahu perubahan tetapi anak muda tolak gerakan dikepalai Mahathir dan jangan sampai penolakan ini melebar kepada pembangkang itu sendiri. Depan orang Umno, Mahathir sangat konsisten Najib perlu disingkirkan untuk selamatkan Umno. Ini beerti Mahathir akan bersama Umno semula selepas Najib dan kuncunya disingkirkan. Dia hanya perkuda kekuatan 'rakyat' untuk capai cita - citanya. 

Dalam tulisan ini saya rakamkan simpati saya dengan orang seperti Ambiga kerana tertipu dengan propaganda 1.2 juta tandatangan kononya. Saya tegaskan bahawa 1.2 juta tandatangan itu hanya propaganda semata - mata dan tidak benar.

Ini bukan idea baru, ia pengulangan skrip semata - mata. Jangan lupa skrip menjatuhkan Abdullah Badawi (klik http://chegubard.blogspot.my/2016/02/seruan-perpaduan-tolak-najib-dari-kem.html) . Mahathir gambarkan Abdullah ialah kemuncak kemusnahan dan perlu disingkirkan. Rakyat bersetuju tekanan meningkat dan apabila Abdullah disingkirkan mana usaha mengembalikan harta negara yang dirompak Abdullah termasuk saham yang dijual Khairy ke Singapura. Yang jelas Mahathir diam masuk Umno dan Khairy jadi Menteri Penuh. Ini akan berulang lagi.

Lebih parah lagi ketika ini pembangkang mengangkat Mahathir selaku negarawan (contohnya rujuk kenyataan Naib Presiden AMANAH, 29 Febuari 2016 yang beberapa kali menyebut Mahathir Negarawan). Rakyat akan diberikan gambaran Mahathir penyelamat negara. Maka apabila cita - citanya menyingkirkan Najib dan kuncunya tercapai , Mahathir kembali ke Umno dan dengan imej negarawan yang diberikan pembangkang. Selepas itu Mahathir akan minta rakyat tolak pembangkang pula untuk menyelamatkan Malaysia dan sudah tentu rakyat percaya sebab kita yang angkat Mahathir negarawan dan kita telah memadam semua dosa Mahathir.

Kehadiran Mahathir ini mengalihkan fokus Pakatan Harapan, dalam keadaan sibuk menjunjung Mahathir ke hulu ke hilir, PH lupa memantapkan PH sehingga bertembung sesama sendiri dalam PRN Sarawak dan mahathir sendiri tak hulur bantuan apa pun dalam PRN Sarawak. PH sudah tertubuh tapi tanpa seketeriat tersusun, tanpa kakitangan seketeriat yang tetap malah jauh sekali pejabat yang sempurna, berbeza dengan team deklarasi Mahathir ini sudah ada seketeriat tetap dengan kakitangan bergaji dan semuanya tersusun.

Saya akhirnya malam itu dengan membaca surat Anwar Ibrahim untuk semua fikirkan.... Deklarasi ini hanya harapan palsu buat rakyat (klik http://www.malaysiakini.com/news/342124 )


oleh che'GuBard, SAMM

rakaman penuh Debat sila klik http://chegubard.blogspot.my/2016/05/rakaman-penuh-debat-deklarasi-mahathir.html

1 comment:

  1. Anonymous11:16 PM

    SAMM ....hakhakhak ...puiiiiiii

    ReplyDelete