Monday, May 02, 2016

Debat 'Deklarasi: Mana Pergi Rakyat?' 16 Mei ini

Debat Perdana “Deklarasi: Mana Pergi Rakyat” anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pada 16 Mei ini bakal merungkai sejauh mana Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada Mac lalu berfaedah kepada rakyat.
Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, persiapan yang kini berada pada fasa terakhir ini akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) daripada perspektif kedua-dua pihak yang pro dan kontra terhadap pengisian deklarasi itu.
“Debat menampilkan Datuk Ambiga Sreenevasan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Amiruddin Shaari di pihak pro-deklarasi manakala di pihak kontra-deklarasi pula menyaksikan kehadiran cheGuBard (PKR), Arutchelvan (PSM) dan juga Haris Ibrahim (ABU). Moderator pula diserahkan kepada Pengerusi Kesatuan Mahasiswa, Azzan Adnan.
“Setakat ini Datuk Ambiga, Khairuddin, cheGuBard, Arul, Haris dan Azzan telah mengesahkan kehadiran mereka manakala pihak kami masih menunggu jawapan akhir dari YB Amir,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pembentangan hujah secara matang melalui kaedah dua hala mampu menghasilkan percambahan idea dalam erti sebenar menyelamatkan negara, berbanding forum sehala yang bias dan tepu kepada satu sudut pandangan semata-mata.
“Dalam menjayakan debat ini, SAMM juga telah menjemput beberapa pimpinan yang mengangkat Deklarasi Rakyat sejak awal penubuhan termasuklah Azmin Ali, YB Tian Chua, YB Dr Afif, namun tiada respon yang positif.
“Ini kali pertama Deklarasi Rakyat diperdebatkan secara terbuka dengan pertemuan dua pihak yang antonim dengan fundamental masing-masing,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Edy berpendapat pertembungan idea harus diraikan sebagai medan buat rakyat menilai secara langsung bahkan penjelasan daripada kedua-dua pihak dapat menjadi pedoman kepada rakyat untuk menyelamatkan tanah air ini.
“Kehadiran adalah terbuka buat semua tanpa mengira fahaman kepartian dan pengamal media dijemput untuk membuat liputan secara langsung,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment