Saturday, July 02, 2011

Bersih bukan pertubuhan tapi kempen- CheGuBard

KUALA LUMPUR: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), CheGuBard menyifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berfikiran dangkal apabila tidak tahu membezakan sebuah pertubuhan dengan satu siri kempen.

Ia berikutan Hishammuddin semalam mengisytiharkan himpunan Bersih yang akan berlangsung 9 Julai ini sebagai satu pertubuhan haram.

Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman semalam mengumumkan perisytiharan itu dibuat oleh Hishammuddin mengikut seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

“Hishamuddin perlu jelas apa itu pertubuhan dan kempen, Bersih bukan sebuah pertubuhan tetapi kempen yang menuntut pilihan raya bersih.

“Jika dulu pada 2007, kita mengadakan Bersih, mereka juga mengeluarkan kenyataan yang sama dengan mengatakan haram.

“Mereka sekarang bukan bercakap atas kerangka undang-undang tetapi atas kerangka politik,” kata Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Kata beliau, Bersih tidak memerlukan pertubuhan kerana ia diangkat atas gabungan pimpinan badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar sedangkan Patriot boleh disifatkan sebagai pertubuhan haram.

“Tidak perlu pertubuhan, anggota dari Bersih sememangnya berdaftar, tetapi KDN perlu menilai sama ada kumpulan baju merah Patriot Pemuda Umno patut diharam.

“Dalam Bersih, kita hanya tuntut lapan perkara dan memakai baju kuning, tidak perlu mengepung dan membuat kecoh seperti Patriot,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pelbagai tindakan yang diambil kerajaan menunjukkan mereka kian takut dengan kemaraan rakyat yang memberi sokongan kepada Bersih.

“Selepas satu-satu dikaitkan dengan Bersih yang sengaja dipropaganda oleh kerajaan sehingga mengaitkan fahaman komunis, ini pula langkah terbaru mereka bagi menggagalkan Bersih,” kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=16440

1 comment:

  1. Anonymous10:40 PM

    kalau bersih kempen maka pakatan rakyat bertubuhan haram.

    ReplyDelete