Tuesday, July 28, 2009

ADUN Bn Negeri Sembilan terima rasuah

SEREMBAN, 27 Julai (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng, Mustafa Salim dituduh menerima rasuah RM2,000 daripada seorang lelaki di sebuah restoran di Mantin, dekat sini. Mustafa dituduh meminta wang suapan dari M.Manimaran, 37, untuk mengeluarkan surat sokongan untuk kelulusan permit menjual pasir.

Beliau dihadapkan di Mahkamah Sesyen Seremban di hadapan Hakim Amran Jantan. Dia didakwa mengikut Seksyen 10(b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih.

Mustafa dituduh menerima wang tunai RM2,000 daripada pengadu M. Manimaran, di Restoran Jabrin Maju, No.17, Jalan Bunga Raya 2/1, Taman Bunga Raya 2, Mantin pada pukul 5.00 petang, 31 Ogos 2008.

Manimaran yang juga merupakan salah seorang saksi dalam kes ini, mendakwa Mustafa Salim melalui seorang lelaki bernama Mustafa Pendek, juga pernah meminta wang tunai RM3,000.00 di Lot 1321, Mukim Pantai di sini pada pukul 11 pagi, 28 Ogos 2008, atas alasan untuk mengeluarkan surat sokongan untuk kelulusan permit menjual pasir.

Mustafa juga mengahadapi tuduhan yang ketiga iaitu meminta wang tunai RM2,000 dari Manimaran di Badan Pencegah Rasuah (Kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), di Jalan Dato' Kelana Makmor pada pukul 9.05 malam, 30 Ogos 2008.

Mustafa diwakili oleh peguam Ahmad Rosdi Ahmad Idrus, Dato' Taqiyuddin Yahya dan Mohd Faisal. Manakala John Fernandez bertindak sebagai peguam pemerhati Manimaran.

Manimaran juga menolak cadangan peguambela Mustafa, bahawa pemberian wang tersebut adalah untuk program bantuan orang miskin dan ibu tunggal.

"Sumbangan bermakna pemberian ikhlas, tetapi saya diugut dan diminta memberi wang tunai secara paksa," kata Manimaran.

Sementara itu Pegawai Penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), V. Mahendran, 25, menjelaskan bagaimana sebuah telefon bimbit Sony Ericsson K700i yang diubah suai digunakan untuk merakamkan perbualan audio dan visual tertuduh dan saksi di Restoran Jabrin Maju pada hari kejadian.

Katanya, telefon bimbit itu diletakkan di atas meja dalam keadaan sedia untuk rakaman sebaik tertuduh duduk dan selepas tertuduh ditahan, telefon bimbit itu diserahkan kepada pegawai SPRM, Asisten Suprintendan Mohamad Ashraf Zamari.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Dato' Abdul Razak Musa, Mahendran memberitahu wang perangkap sebanyak RM2,000 telah direkodkan nombor siri terlebih dahulu di pejabat SPRM Negeri Sembilan sebelum serbuan diatur.

"Sejurus Mustafa menerima wang tersebut dari Manimaran, dan selepas Manimaran meninggalkan meja untuk membasuh tangan, beberapa pegawai SPRM telah menyerbu Mustafa.

"YB mengambil kunci kereta dari meja dan cuba lari, walau bagaimanapun pegawai SPRM berjaya menahan beliau," kata Mahendran lagi.

Pada prosiding di sebelah petang, mahkamah telah ditunjukkan rakaman DVD perbualan dan transaksi tuduhan tersebut yang berlaku di restoran Jabrin Maju, yang dirakamkan menggunakan telefon bimbit tersebut.

Walau bagaimanapun rakaman tersebut terpaksa dihentikan selepas beberapa minit kerana sistem audio televisyen yang digunakan kurang jelas.

Peguambela MUstafa, Mohd Faisal mempertikaikan bahawa salinan rakaman DVD yang diberikan kepada barisan peguamnya adalah lain daripada apa yang ditayangkan di mahkamah.

Mohd Faisal memohon kepada mahkamah agar mereka diberikan salinan DVD yang dijadikan sebagai bahan bukti di mahkamah dengan alasan ada kemungkinan pihak pendakwa akan menyunting rakaman tersebut selepas Pegawai Penguatkuasa SPRM memberikan keterangan tadi.

Hakim Amran Jantan menetapkan bahawa rakaman DVD ini akan diteliti semula ketika kes ini bersambung lagi pada 3 dan 5 Ogos depan. - mns_

1 comment:

  1. Anonymous12:41 PM

    tajuk ngan isi kandungan tak serasi...

    ADUN BN Terima Rasuah

    padahal isi kandungan dituduh menerima rasuah....

    aii... jgn nak buat kontroversi, please...

    nanti si kena tuduh terlepas hukuman, lain pula pandangan Chegu... hakim rasuah la...

    aii.... im sick of this!

    ReplyDelete