Thursday, March 20, 2008

Update seminggu...kenduri, lawatan kerja ke P.Pinang, DEB, ulasan pengumuman kabinet...

18 Mac lepas selepas sesi Penerangan Perdana bersama YB Fairuz, Timb. Ketua Menteri Pulau Pinang di Teluk Kumbar, cheGuBard didekati oleh sekumpulan anak muda yang datang dan mahu bergambar bersama. Mereka mengatakan pembaca setia blog ini, tetapi mereka sering kecewa kerana blog ini kadang kadang kelihatan 'terlalu' lembab untuk update..... mereka mengatakan tak semestinya update panjang - panjang...pendek ringkas dan padat..janji ada maklumat baru...

Ha ha..cheGuBard disekolahkan oleh mereka... dan kini cuba akur...update !! ok update...disiplin... hahaha..

15 Mac lepas, Bilik Gerakan Utama PRU 12 keADILan Rembau telah mengadakan Majlis Kenduri Rakyat menghargai petugas parti dan penduduk setempat kerana sumbangan sepanjang PRU 12. Kehadiran luar jangkaan makanan disediakan untuk 2,000 orang. Sesi makan bermula 8.15 malam namun kira kira 9.30 malam makanan habis. Nasib baik tindakan Abang Din dan Kak Maznah serta kawan - kawan yang menjadi tulang belakang kenduri ini bertindak pantas mengoreng mee hoon...itupun masih ada yang tidak dapat makan malam itu. Saya mohon maaf...

Malam tersebut juga dimeriahkan dengan kehadiran YB Tian Chua (Parlimen Batu), Ketua Penerangan keADILan, Ybhg. Tn. Syed Shahir, Presiden MTUC, Datuk Kamarul Baharin (Parlimen Teluk Kemang), Pengerusi Perhubungan keADILan NS, YB Taufek A.Ghani (PAS- Dun Paroi), Ketua DPPNS, YB. Chai Tong Chai (Dun Chuah), Pn. Aishah Lamshah (calon Rantau) dan kemunculan khas Sdr. Hishamudin Rais yang turut berucap malam tersebut.

Malam itu juga di umumkan perancangan untuk menubuhkan Tabung Amanah Rakyat Rembau iaitu sebuah tabung amanah yang bakal menguruskan dana untuk pengurusan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Rembau, bantuan keluarga miskin dan cacat serta bantuan kepada pelajar anak Rembau. Untuk permulaan cheGuBard sendiri telah memasukan RM 3,000 untuk tabung tersebut. Malam tersebut 5 orang keluarga miskin dari mendapat bantuan dan 6 orang pelajar anak Rembau cemerlang SPM 2007 telah mendapat sumbangan inisiatif sebagai menghargai usaha dan pencapaian baik mereka.

Saya mengakhirkan pertemuan Kenduri Rakyat malam itu dengan ucapan kira - kira 25 minit. Sebagai ulasan mengenai keputusan pilihanraya saya mengatakan dalam hati Khairy, dia tahu dia kalah. Saya mendedahkan bagaimana gangster, penggunaan jentera kerajaan, SPR yang tidak adil...dan tong terakhir yang masuk sekitar 10.30 malam ke Pusat Penjumlahan. Saya berterima kasih atas sokongan dan dokongan yang diberikan. Rembau yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat Umno 'totok' hanya tinggal kenangan. Kehadiran menantu PM dan semangat angin Reformasi telah menukar Rembau sebagai medan rakyat. Jika tanpa penipuan dan wang yang banyak sudah pasti Menantu bakal tersungkur di Rembau. Berpuluh Laporan polis yang dibuat sepanjang pilihanraya sudah dikumpulkan dan laporan penuh diserahkan oleh Pengarah Pilihanraya Rembau, Sdr. Azizi kepada pasukan peguam. InsyaAllah hari ini atau esok pasukan peguam akan membuat keputusan mengenai bantahan pilihanraya.

Saya sendiri akan menghantar bantahan rasmi kepada SPR kerana bukan sahaja gagal memastikan PRU yang adil di Rembau tetapi lebih memainkan peranan sebagai pemasti kemenangan menantu PM. Apapun keputusanya saya mengumumkan saya akan terus berada di Rembau dan saya akan pastikan Barisan Rakyat (keADILan) akan menguat di Rembau. Khidmat saya dan rakan - rakan akan terus di Rembau. malah Bilik Gerakan akan terus dibuka seminggu sekali untuk memastikan rakyat Rembau mendapat pembelaan sewajarnya.

18 Mac 2008, cheGubard telah bertolak ke Pulau Pinang seawal 6.30 pagi untuk sesi lawatan kerja 2hari ke Pulau Pinang. Sebelum 3.00 petang Pertemuan Rasmi dengan Timbalan Ketua Menteri, cheGuBard telah menghadiri dua sesi pertemuan dengan beberapa kumpulan aktivis pengerak pertubuhan - pertubuhan melayu setempat untuk membincangkan mengenai kekeliruan orang Melayu Pulau Pinang terhadap isu DEB. Pertemuan awal ini telah terakam persetujuan untuk bekerjasama dan berjaya menjelaskan isu sebenar. Melalui pertemuan ini juga disahkan bahawa sebuah parti perkauman dan ahli keluarga presiden parti perkauman tersebut menjadi dalang terhadap kekeliruan yang berlaku. Usaha ahli keluarga presiden parti disambut baik oleh semua pimpinan di peringkat negeri dan bahagian kerana jelas mereka ketakutan untuk menghadapi hakikat periuk nasi yang hilang malah kemungkinan lebih parah kemungkaran kegiatan meraih kekayaan menggunakan nama Melayu akan terbongkar.

Dalam perjalanan ke Komtar cheGuBard dihubungi melalui telefon dimaklumkan YB Datuk Husam Musa juga berada di Komtar. Jam 2.30 petang, cheGuBard dengan ditemani oleh dua exco AMK pusat, Din Binjai dan Zul Nibong Tebal bersama Zul mamak (Jawatankuasa AMK negeri) memasuki Komtar. Terus ke Pejabat YAB Ketua Menteri bersama YB Datuk Husam, YB Mujahid Rawa dan rombongan bertemu YAB Lim Guan Eng. cheGuBard hanya menyertai sebentar sahaja pertemuan tersebut sebelum meninggalkan mereka untuk ke Pejabat Timbalan Ketua Menteri untuk pertemuan rasmi.

Pertemuan di Bilik Mesyuarat Pejabat Timb. Ketua Menteri disertai oleh YB Fairuz, Timbalan Ketua Menteri dan hampir semua AJK AMK Negeri. Perbincangan lebih satu jam ini membincangkan harapan AMK Negeri terhadap Kerajaan Negeri. cheGubard menegaskan betapa AMK perlu negeaskan kesedian untuk membantu kerajaan negeri juga kesediaan mengembeling lebih lagi usaha ke arah mengisi dan memberi makna kepada kemenangan rakyat. Jangan sesekali ada niat mengambil kesempatan menikmati atau melobi kedudukan melalui kemenangan ini. AMK perlu terus kekal independent menjadi pengkritik sosial kepada kerajaan negeri dan dalam masa yang sama perlu mengembeling tenaga membantu kerajaan memberikan khidmat terbaik buat rakyat.

YB Timbalan Ketua Menteri telah memberikan taklimat kepada kami mengenai beberapa perkembangan terkini. Bagi cheGuBard dalam masa 4 hari kerajaan negeri mereka sudah mula menunjukkan usaha ke arah menjadi kerajaan yang telus, berhemah dan beramanah. YAB Ketua Menteri dan YB Timb. Ketua Menteri telah secara rasmi menolak untuk berpindah ke kediaman Rasmi sebaliknya kekal duduk di rumah mereka sendiri. Keputusan ini telah menyelamatkan kira kira RM600,000 wang rakyat. Ucapan Guan Eng dihadapan kakitangan awam pagi itu yang menegaskan Kerajaan Pulau Pinang akan berusaha menjadi seperti Kerajaan Khalifah Umar yang begitu efisyen dan telus sehingga mensasarkan kemiskinan sifar benar benar mengujakan.

YB Timb. Ketua Menteri menamatkan pertemuan petang itu dengan menyatakan kesedian bekerja sama dengan AMK dan jentera parti ke arah mengisi dan memberi makna kepada keputusan PRU kali ini sebagai kemenangan rakyat.

Selepas itu cheGuBard terus ke sebuah Berjaya Georgetown Hotel untuk sesi pertemuan dengan beberapa aktivis untuk membincangkan beberapa tindakan segera untuk menggerakan jentera parti membantu kerajaan negeri. Pertemuan itu turut disertai oleh YB Ong Chin Wen (Adun Bkt Tengah). Namun Ong terpaksa meninggalkan kami ditengah - tengah perbincangan kerana mendapat panggilan telefon Banjir di kawasanya.

Malamnya pula menghadiri Majlis Penerangan Umum bersama YB Fairuz, Timbalan Ketua Menteri di Dewan Orang Ramai Teluk Kumbar. Menghampiri Dewan sekitar jam 9.20 malam, terkejut kerana dari jauh lagi sudah kelihatan kereta diletakkan di kiri dan kanan jalan. Dewan melimpah penuh sehingga penganjur terpaksa memasang skrin untuk memastikan orang ramai diluar dewan juga dapat mengikuti ucapan.

Malam itu ucapan bermula 9.40malam berakhir kira kira 10.30 malam dengan kehadiran YB Timb. Ketua Menteri dengan di iringin serunai dan gendang oleh Kelab Sukan Teluk Kumbar. Dalam ucapan saya menegaskan betapa rakyat Pulau Pinang perlu tenang, khususnya orang Melayu. Jangan mudah terpedaya dengan kumpulan yang cuba membangkitkan api perkauman. Penerangan mengenai apa dia DEB dan bagaimana DEB telah disalahgunakan untuk kelompok tertentu menjadi kaya dilihat diterima baik oleh pendengar malam itu.
Hakikatnya, DEB yang diperkenalkan pada tahun 1971 telah tamat tempoh perlaksanaannya pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) (1991-2000) serta Dasar Pembangunan Wawasan (DPW) (2001-2010).

cheGuBard memberikan contoh penyelewengan DEB dengan membongkarkan bagaimana keluarga Abdulah Hj Ahmad menggunakan kedudukan Abdullah sebagai PM untuk menjadi kaya raya termasuk sanggup menjual kedaulatan negara. Pendedahan lengkap malam itu dengan menyebut nombor transaksi, nombor kad pengenalan, tarikh, masa dan tempat telah berjaya mematahkan tuduhan media yang menyatakan tuduhan rasuah kepada keluarga PM hanya retorik politik dan serangan peribadi. Malah selepas sesi ceramah ramai yang datang untuk meminta salinan pendedahan untuk disebarkan. InsyaAllah satu 'booklet' membongkar salah laku kerajaan 3 beranak akan dikeluarkan dalam sedikit masa lagi.

Sudah tentu 'peristiwa hitam' Rembau turut disentuh kerana ramai yang hadir turut hendak mendengar perkara itu.

Ucapan YB Fairuz menjadi penutup malam tersebut. Fitnah Kerajaan Pulau Pinang anti Melayu dan Islam dipatahkan dengan pengumuman menaikkan elaun dan keistemewaan guru guru KAFA seluruh Pulau Pinang. Guru - guru agama yang selama ini terpinggir oleh Kerajaan sebelum ini mendapat perhatian YAB Ketua menteri sendiri katanya. Beliau juga mendedahkan bagaimana seorang bekas exco Kerajaan lalu enggan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Jam 1.00 pagi pula telah menghadiri sesi perbincangan dengan seorang Juara dan nama besar dalam dunia permotoran tempatan. Perbincangan yang turut dihadiri oleh seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam perniagaan permotoran. Perbincangan 3 jam ini berkisar dengan bagaimana menyelesaikan masalah sosial dan 'rempit' dikalangan remaja dan apa sumbangan yang cheGuBard selaku MPT keADILan boleh mainkan.... banyak yang diperbincangkan. Nampaknya beliau yang dikenali lama dulu ketika bersekolah di Ipoh, Perak melebihi dari apa yang disangka. Jiwanya patriotik dan kesungguhan untuk bersama dalam membina belia negara cukup tinggi. Perbincangan terhenti hampir 4.oo pagi dan kami bersetuju untuk bertemu hujung bulan ini di Kuala Lumpur dengan proposal lebih lengkap.

19 Mac, 11 pagi cheGubard telah mengambil kesempatan bersama keluarga yang ikut serta untuk menghabiskan sejam melawat Georgetown. Sudah tentu peluang menikmati makan tenghari Nasi Kandar Line Clear tidak dilepaskan. Ketika menikmati nasi kandar cheGuBard dimaklumkan bahawa sekarang ini ada usaha memboikot restoran nasi kandar khususnya rangkaian restoran besar seperti Pelita. Usaha kempen boikot yang disebar melalui sms ini kerana penglibatan Pelita secara terbuka dan bersungguh berkempen dan membantu kempen BN. Malah terdapat juga tuduhan mengatakan pengusaha nasi kandar juga terlibat sebagai dalang dibelakang usaha protes - protes pro DEB yang diadakan. Tidak hairan restoran Nasi Kandar lengang tidak seperti selalu. Nampaknya rakyat makin matang menggunakan kuasa demokrasi mereka.

Jam 1.30 petang, bersama dengan AMK P.Pinang membuat sidang media di Pej. Perhubungan keADILan P.Pinang, Seberang Jaya. Dalam sidang Media ini Dr. Azhar, Ketua AMK P.Pinang menegaskan sokongan tidak berbelah bagi AMK P.Pinang terhadap kerajaan negeri termasuk dalam implimentasi Agenda Ekonomi Malaysia. AMK juga bersedia mendedahkan bagaimana dasar ekonomi lama diperguna golongan tertentu untuk mengaut keuntungan untuk kelompom mereka atas nama Melayu sedangkan majoriti melayu negeri ini ketinggalan. AMK P.Pinang bersedia berdebat dengan sesiapa sahaja khususnya Umno P.Pinang untuk mempertahankan Agenda Ekonomi Malaysia.

Dalam sidang media ini cheGuBard telah menegaskan bagi pihak anak muda Malaysia tidak meletakkan sebarang harapan untuk kabinet yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri. Kabinet ini masih penuh dengan pemimpin rasuah dan rosak. Pengumuman kabinat ini juga telah telah membuktikan Abdullah makin hilang populariti dan makin lemah dalam kerajaan apabila dua timbalan menteri mengumumkan penolakan sebaik sahaja diumumkan lantikan. Keadaan lebih parah apabila Setiausahanya sendiri meletakkan jawatan dengan di ikuti perletakan jawatan Khir di Selangor. Pengumuman kebinat penuh dengan kontroversi dan protes.

Ketidakhadiran Khairy, menantu PM dalam kabinet boleh dianggap kejayaan peribadi cheGuBard dan jentera rakyat dalam menyekat sedikit kegilaan kuasa menantu ini. Namun walaubagaimanapun ini bukan tanda Khairy sudah berjaya disekat sepenuhnya.

Abdullah jelas panik dengan usaha 50 orang 'orang kuat wanita' yang berhimpun dirumahnya yang memprotes tidak melantik Rafidah, Ketua Wanita Umno di dalam Kabinet. Sebagai bukti Abdullah lewat petang selepas pengumuman kabinet telah melantik Sharizat Jalil yang kalah di Lembah Pantai sebagai penasihat khas PM bertaraf Menteri (gaji dan elaun sama dengan menteri). Sharizat memikul tugas mengepung sokongan wanita kepada PM....ada yang mengatakan PM berharap Rafidah kecewa dan kemudian meletakkan jawatan. Namun nampaknya Abdullah akan menghadapi masa sukar apabila Rafidah memilih kekal sebagai Ketua Wanita dan membuat kerja protes dari dalam. Begitu juga Pm kecewa apabila tindakan disiplin terhadap Mukhriz yang mendesak dia meletakkan jawatan lansung tidak dibincang dalam Mesyuarat Pemuda Umno Pusat. Sebaliknya ada beberapa peringkat pemuda seperti Pemuda Umno Johor yang mula menyatakan persetujuan terbuka terhadap surat Ku li mendesak Mesyuarat Agong Khas Umno.

Perletakan jawatan Khir yang mengtatakan beliau bertanggungjawab penuh terhadap pencapaian Umno/Bn adalah isyarat berat buat Abdullah dan keluarganya. Sebenarnya selain angin perubahan, populariti Anwar Ibrahim antara punca besar lain kekalahan Bn ialah kerana kebencian dan penolakan rakyat kepada Abdullah yang lemah dan menantu serta anak yang tamak. Abdullah juga perlu mengambil tanggungjawab terhadap apa yang terjadi !! Begitu juga Najib yang terpalit dengan kontroversi Altantuya dan skandal rasuah pembelian senjata, kapal dan jet.

Mengenai kumpulan - kumpulan yang bangkit kononya pro kepada DEB cheGuBard menyeru semua pihak termasuk Kerajaan Negeri P.Pinang, Perak dan Selangor menghormati hak kumpulan ini menyatakan pendapat. Ugutan menggunakan ISA oleh Ketua Polis P.Pinang perlu difikirkan semula dan tidak wajar. Cuma cheGuBard mempelawa pihak - pihak tersebut berdebat secara ilmiah dengan mengambil kira realiti dalam perkara ini. Perdebatan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk rakyat adalah budaya demokrasi matang dan maju.

Ketika cheGuBard turun ke jalan raya budaya perdebatan dan media jelas terpenjara. Adakah menantu PM sudah menarik semula tuduhan atau gelaran kepada mereka yang melakukan protes jalanraya sebagai monyet dan beruk ? Jika belum sewajarnya kumpulan ini pergi dahulu meminta menantu PM menarik tuduhan itu, sambil mungkin jika ada sedikit keberanian bertanyakan bagaimana dia menggunakan nama Melayu dalam parti Melayu melakukan perkara berikut ;
  • mendapat RM9.2 juta membeli ECM libra dan dalam tempoh dua bulan mertuanya menjadi PM memaksa ECM Libra bergabung dengan Avenue Capital sebuah syarikat negara yang menguruskan berbilion aset negara, dan kemudian setelah perkara ini terbongkar menjualkan peganganya dalam Ecm Libra.... jika perkara ini sah kenapa perlu dijual dan kepada siapa ia dijual...?
  • penglibatanya dalam menjual Pantai Holding kepada Singapura dan kemudian kerajaan terpaksa membazirkan wang berlipat kali ganda membeli syarikat ini semula..?
  • tanya juga mengenai kedaulatan selatan Johor yang tergadai atas nama WPI yang menjemput Singapura mentadbir wilayah Malaysia...
  • jangan lupa juga mendapat penjelasan mengenai Kontrak dan Tender kerajaan yang dimiliki scomi... naikkan minyak RM3 billion rakyat derita kononya kerana nak pertingkat pengangkutan awam tetapi hampir semua projek yang terhasil dari rampasan RM3billion wang rakyat diserapkan kepada projek yang ada kepentingan scomi....
  • dan sebelum salam balik tanya juga dia mengenai scandal oil for (Iraq) mana keluarganya mendapat keuntungan atas nama negara dan kenapa BSA Tahir, rakan perniagaan KamaLudin Abdullah ditahan ISA..?
cheGuBard dengan ini mencabar menantu yang cuba menjadi juara Melayu dan DEB untuk berdebat di mana - mana pentas terbuka selepas takut untuk hadir di pentas yang disediakan oleh keADILan semasa PRU 12 di Rembau. Menantu perlu berani keluar 'bertempur' secara jantan bukan setakat berkokok dibawah lindungan ketiak bapa mertua.

p/s : seorang teman yang dikenali sebagai 'Jo' secara tiba - tiba telah sudi menaja penginapan saya, isteri, cheNurZaima dan Abg. Ryhzal....saya tak pasti dia suka atau tidak namanya disebut namun saya rakamkan terima kasih.Cadang kami hanya menumpang seperti biasa di rumah kenalan.....

8 comments:

  1. Anonymous3:40 PM

    salam....

    Tahniah buat mu Bard.. parti memerlukan pemuda yang tidak kenal penah dan lelah seperti mu...

    terserlah dua calon memimpin pemuda kini cikgu Bard dan cikgu Fairuz...

    kepada perwakilan kongres AMK di masa depan jangan lakukan kesilapan lagi..bezakan intan, permata dan kaca...

    ReplyDelete
  2. Anonymous3:55 PM

    ingat jangan mulakan api perbalahan, mungkin agen Umno sedang meresap kini!!

    Satukan semua tenaga muda perkukuh parti!!



    YB Mohammad Fairus Bin Khairuddin (ketua AMK)
    Badrul Hisham Shaharin (timbalan ketua amk)
    YB Amirudin Saari (Naib 1)
    Shamsul Iskandar (Naib 11)
    YB Kesavan subramaniam (Naib 111)
    YB Nik Nazmi Nik Ahmad (S/u)
    (Pen. S/U)
    YB Mohd Yusmadi Yusoff (Ket. penerangan)
    Ginie Lim (Timb. Ketua penerangan)
    Zamakhsari Ibrahim(Bendahari)

    ReplyDelete
  3. Anonymous5:22 PM

    Chegu Bard,
    Tahniah kerana terus berjuang untuk komuniti Rembau, walaupun tewas dalam pilihanraya. Beginilah politikus yang kita mahu. Sama ada jadi pembangkang, mahupun kerajaan -- tetap terus membela rakyat secara konsisten. Bukan hanya muncul semasa pilihanraya.

    Ramai yang tak faham dengan DEB. Ya, memang ia telah lama tamat. Tapi ketika DEB digubal dulu, ia ada meletakkan sasaran. Justeru sasaran itu belum dicapai, maka dasar negara ini diperbaharui. That is how every national policy works. Kita tak operasikan ia 'separuh jalan'.

    DEB juga bukan satu dasar eksklusif untuk bumiputera. DEB adalah dasar nasional -- untuk kepentingan semua kaum. Pada yang tak pernah belajar subjek sejarah, tatarakyat dan kenegaraan (atau mungkin pernah belajar tapi sekarang sudah lupa -- ala, maklumlah orang-orang reformasi memang mudah lupa!), mari saya kuliahkan semula apa itu DEB.

    DEB diusulkan sebagai satu dasar negara untuk: (a) menyusun semula masyarakat; dan (b) membasmi kemiskinan. Itu adalah landas pokok bagi DEB. Hah, mana dia elemen 'bias bumiputera' yang digembar-gembur itu?

    Kenapa masyarakat perlu disusun semula? Sebab sejarah penjajahan yang panjang di Malaysia, menerusi dasar 'pecah dan perintah', telah mewariskan genetik sosio-ekonomi yang tidak sihat kepada masyarakat Malaysia. Sebab itu ia perlu dirawat dan diorientasikan semula. Bukan untuk kepentingan Melayu, Kadazan, Iban, Cina atau India. Tapi untuk kepentingan SEMUA. Termasuklah Chegu Bard, KJ menantu PM, Ah Leong tauke kilang simen dan si Kumari penjual bunga.

    Kenapa susunan sosio-ekonomi yang baru diperlukan dan kenapa pembasmian kemiskinan itu penting? Kerana ia adalah kunci kestabilan. Kita belajar dari sejarah Indonesia -- bahawa konsep 'pancasila' bukan jawapannya. Kita juga belajar dari 'Amerika' dan 'United Kingdom' bahawa liberalisasi dan persaingan bebas terbuka tidak menjanjikan harapan yang manis. Secara purata, tidak kurang daripada 3 orang terbunuh setiap hari di UK (dan 10 orang di US) -- yang berpunca dari 'konflik perkauman'.

    OK, saya setuju. Ada banyak penyelewangan yang berlaku. Ada seribu matlamat yang tak kesampaian. Tapi kita mesti tahu membezakan antara polisi dan implementasi. Dalam polisi itu juga, kita mesti bijak mengenal yang mana satu komponen pelan strategik; dan mana satu komponen pelan tindakan.

    DEB adalah satu polisi, bukan satu implementasi. Sebagai polisi, DEB hanyalah satu 'pelan strategik' dan bukan 'pelan tindakan'. Habis, mana pula datangnya komponen pelan tindakan dan implementasi?

    Itu dihasilkan oleh kerajaan yang memerintah dari masa ke semasa. Bagaimana bentuknya, apakah metodnya dan bagaimana operasinya -- itu digubal dan dirancang mengikut konteks dan kesesuaian. Ia telah dan sentiasa berubah pada setiap fasa: 70-an, 80-an, 90-an dan pada alaf yang baru ini.

    Apa masalahnya pendekatan DAP (yang disokong dengan intim oleh sekutu-sekutunya: PAS dan PKR)? Kerana DAP gagal memahami DEB sebagai satu polisi berbentuk Pelan Strategik. Juga kerana DAP menyangka DEB itu hanya eksklusif untuk bumiputera.

    Elemen bumiputera itu hanya timbul pada peringkat pelan tindakan dan level implementasi. Bukan dalam pelan strategik itu sendiri. Jadi kenapa DAP dengan angkuh boleh katakan: "kami mahu lupuskan DEB". Kenapa tidak kata: "kami bercadang untuk mengkajisemula DEB", atau "kami bercadang untuk memperkenalkan satu dasar ekonomi yang baru".

    Setiap satu kenyataan di atas membawa konotasi dan implikasi yang berbeza. Kenyataan pertama (yang ditutur oleh DAP dan dirayakan secara gilang gemilang oleh PKR dan PAS) membawa maksud -- DEB itu tak wajar diteruskan. Struktur sosio-ekonomi masyarakat Malaysia telah terolah secara ideal. Dan kemiskinan tidak lagi wujud. Itu konotasi kenyataan DAP itu, selain ia menghasilkan satu 'provokasi'.

    Kalau kenyataan kedua -- "mengkajisemula DEB" -- ini bermakna pihak kerajaan PP masih terbuka minda untuk menilai apakah sebenarnya masalah DEB. Adakah kerana dasar itu secara sendiri memang bangsat; atau kaedah operasi itu yang bangsat. Jangan hanya kerana anak kita yang masih mentah fikirannya bermain dengan pisau hingga luka hari-jarinya: maka kita ambil keputusan untuk membuang semua pisau dalam rumah! Bukan salah pisau, tapi salah kita kerana tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang munasabah.

    Kenyataan ketiga pula -- "kami mahu perkenalkan dasar ekonomi yang baru" -- ini adalah bentuk alternatif. Maksudnya sudah ada gantian kepada yang lama. Masalahnya, DAP (kerajaan PP) tidak membuat kenyataan begini. Yang mereka tahu hanya 'membuang'. Menggantinya tak reti.

    Sepatutnya DAP ambil masa sekurang-kurangnya setahun dulu -- memperkenalkan konsep dan gagasan baru ekonomi (dan diterangkan kepada rakyat secara menyeluruh) -- sebelum membuang yang lama.

    Memang rakyat tidak dipersalahkan kalau mereka terbakar dengan kenyataan DAP itu. Sebab memang jelas nyata ia satu provokasi. Satu gimik politik. Bukan satu tindakan yang diasaskan oleh kefahaman tulen terhadap konsep polisi negara dan aspirasi jangkapanjang negara Malaysia. Mereka semata-mata termakan dengan propanganda bahawa 'DEB' itu eksklusif untuk membantu bumiputera dan menindas kaum-kaum lain. Sebagaimana orang bukan Islam termakan propaganda bahawa undang-undang hudud itu hanya berkait rapat dengan potong tangan kalau mencuri, rejam sampai mati kalau berzina. Sedangkan itu hanyalah 0.000006% daripada komponen sebenar yang ada dalam undang-undang hudud.

    Propaganda adalah masalah terbesar dalam lanskap politik Malaysia. Baik BN mahupun BA. Sama saja.

    ReplyDelete
  4. Anonymous6:52 PM

    betul tu Rem ...

    DEB satu dasar yang menyebabkan semua ketua UMNO bahagian kaya atas nama melayu

    ReplyDelete
  5. Anonymous6:55 PM

    Badrul Hisham Shaharin adalah merupakan ikon anak muda Negeri Sembilan dewasa ini. Lebih dikenali dengan nama Chegubard, beliau bertanding menentang Khairy Jamaluddin untuk Parlimen Rembau pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Pertembungan nasional, pertembungan antara semut dan gajah.

    Sikap beliau begitu bersungguh-sungguh dan komited, berani, ada kalanya menggunakan perkataan yang kasar dan melampau bukan sahaja terhadap lawan dan kakitangan agensi kerajaan tetapi terhadap rakan seperjuangan. Maklumlah anak muda, darah muda masih menggelegak dalam badan.

    Walaupun penyokong-penyokong Barisan Rakyat bukan sahaja di Rembau bahkan seluruh dunia rasa terkilan Chegubard tidak dapat menewaskan Khairy Jamaluddin, tetapi hakikat sebenarnya Chegubard adalah merupakan wira Negeri Sembilan dan mungkin wira Malaysia.

    Kemunculan Chegubard di parlimen Rembau, khususnya dengan kempen yang tidak henti-henti di DUN Kota dan DUN Chembong mengakibatkan segala jentera BN terpaksa menumpukan perhatian di DUN Kota dan DUN Chembong. Justeru itu kita kurang melihat Khairy dan Dato Seri Mohamad Hassan berkempen di luar Rembau apatah lagi di luar Negeri Sembilan.

    Akibat dari itu tanpa diduga Parlimen Telok Kemang, DUN Ampangan dan DUN Sikamat yang tidak pernah diletak harapan tinggi untuk PKR memenanginya, PKR telah menang di kawasan tersebut. Parlimen Telok Kemang mempunyai pengundi pos yang agak tinggi, kerana di sini terdapat beberapa batalion ketumbukan angkatan tentera. Dato Kamarul Baharin Abbas yang merupakan anak jati Rembau , juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan PKR N.Sembilan telah berjaya memenangi kerusi parlimen Telok Kemang, dengan “swing” majoriti yang begitu besar.

    Kepada Chegubard, kepada penyokong-penyokong Chegubard, jangan kecewa, sedarlah Chegubard secara tidak langsung telah memenangkan Barisan Rakyat di Negeri Sembilan ini, mungkin di seluruh Malaysia, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

    Salam Perjuangan.

    http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2008/03/chegubard-wira-negeri-sembilan.html

    ReplyDelete
  6. Anonymous11:09 AM

    Badrul.....selepas ini perlu duduk tanding di DUN

    ReplyDelete
  7. Anonymous2:40 PM

    Cheghu, klu perlu pertolongan mahasiswa di Penang, cakap!

    Agenda parti penting, tetapi ada satu perkara lagi penting iaitu agenda rakyat. Jadi mahasiswa mempunyai pendirian yg jelas iaitu mahu bersama-sama dengan semua pihak asalkan atas kepentingan rakyat.

    Teruskan usaha!

    Zainulfaqar Hj. Yaacob
    Calon PMN

    ReplyDelete
  8. Anonymous3:06 PM

    dah kalah buat macam kalah beb. dah lah blog buruk. macam ni cikgu ke?

    ReplyDelete