Friday, February 12, 2016

Perkukuh keberanian rakyat dedah / perangi rasuah bukan perkukuh undang- undang untuk lindungi perasuah

Kenyataan Umum
12 Februari 2016

OSA Bukan Pelindung Jenayah Korupsi

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk cadangan Peguam Negara untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan sebagai hukuman. 

Cadangan semberono ini tidak sepatutnya dikeluarkan sekiranya kepimpinan Negara hari ini benar-benar mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk menghapuskan unsur-unsur korupsi dalam pentadbiran Kerajaan.

SAMM bersetuju sekiranya OSA ini hanya terpakai untuk perkara-perkara membocorkan maklumat yang bersifat pengintipan dan risikan, membocorkan rahsia sehingga boleh membahayakan nyawa orang ramai dan, keselamatan dan pertahanan negara. Tetapi, OSA tidak boleh digunakan untuk melindungi jenayah korupsi. Tidak kira sama ada korupsi dan salah urus tadbir itu berlaku di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan malahan dalam Parti Politik sekalipun, ia harus ditentang dan dilawan.

Seharusnya Peguam Negara meminda dan memperkemaskan lagi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) bagi membasmi kegiatan korupsi dengan lebih tuntas agar kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah tidak terus terperosok jauh ke bawah. Peguam Negara juga sepatutnya mengemukakan kepada Kabinet dan Parlimen, satu pindaan undang-undang yang melindungi pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pelaku koruptor.

Jika Kerajaan Pemerintah tidak melakukan sebarang kesalahan atau korupsi, mengapa harus takut dengan pendedahan maklumat? Apa yang perlu disorokkan daripada pengetahuan umum? Peguam Negara juga seharusnya membentangkan kepada Kabinet Cadangan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat supaya masyarakat dapat bersama-sama melakukan semak-dan-imbang dalam urustadbir Kerajaan.

Justeru itu, SAMM mengambil tanggungjawab penuh menyeru kepada semua pihak yang mempunyai rasa cintakan negara dan kebertanggungjawaban terutamanya Pegawai-Pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyalurkan maklumat korupsi yang berlaku kepada Sekretariat Bongkar SAMM, Pusat Gerakan Rakyat (PaGER) SAMM, No. 344 (Tingkat 1 & 2), Jalan Haruan 5/8, Oakland Commercial Centre, 70300 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus atau melalui email di aduan.samm@gmail.com. Segala maklumat pengenalan diri akan dirahsiakan dan dilindungi.

Sekian,

Che’GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment