Monday, February 22, 2016

Apa itu MKN ?

Pada tahun 2008, Kerajaan Barisan Nasional yang ketika itu telah memerintah selama 51 tahun buat pertama kalinya kehilangan majoriti dua pertiga dan lima negeri di bawah kekuasannya iaitu Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Lima tahun kemudian, pada Pilihanraya Umum ke-13, Kerajaan Barisan Nasional telah hilang undi popular di mana mereka hanya mendapat 47% undi popular berbanding Pakatan Rakyat yang mendapat 52% undi popular. Namun melalui persempadanan (gerrymandering) dan bilangan pengundi (malapportionment) yang tidak adil, kerajaan Barisan Nasional berjaya mendapat 133 kerusi berbanding 89 kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat.
Selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan secara haram dan melanggar undang-undang antarabangsa pada 10 Februari 2015, pelbagai Akta telah diperkenalkan dan diperkuatkuasakan, malah terdapat beberapa Akta yang tidak pernah digunakan sebelum ini digunakan untuk menahan pejuang-pejuang negara. Akta Hasutan telah dipinda dan diperkeraskan dengan hukuman mandatori penjara. Akta POCA dan POTA juga telah diluluskan dan dikuatkuasakan.
Pada Ogos 2015, kajian Merdeka Centre menunjukkan bahawa Kerajaan Barisan Nasional hanya mempunyai sokongan rakyat serendah 31%. Pelbagai skandal terutamanya skandal 1MDB menjolok mata dunia. Ditambah dengan kesusahan rakyat dan peningkatan kos hidup, Rakyat telah terus mengatakan ketidakpuashatian dengan Kerajaan Barisan Nasional.
Ada juga segelintir daripada Panglima-panglima kerajaan BN juga telah turut bangun membantah pemerintahan Perdana Menteri.
Maharaja akhirnya dalam keterdesakan, dalam keterburu-buruan memperkenalkan dan meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara iaitu the National Security Council. Perlu difahami terdapat konotasi yang besar apabila perkataan “Security” digunakan dan bukannya “Safety”.
MKN terdiri daripada 33 muka surat, mengandungi 44 Klausa dan telah diluluskan di Dewan Rakyat hanya selepas perbahasan separuh hari. Ia telah disediakan dan diluluskan secara terburu-buru.
Apakah itu MKN atau NSC dan mengapakah ia dikatakan jauh lebih merbahaya dari ISA serta Akta Darurat yang pernah ada di negara tercinta ini?
Pertama, ia memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri melangkaui kuasa Yang DiPertua Agong, puncak kuasa dan keadilan Negara. Perdana Menteri boleh mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan tanpa sebarang sebab mahupun terlebih dahulu mendapatkan kelulusan parlimen. Malah, harta orang awam juga boleh dirampas!
Apabila sesebuah kawasan diisytihar sebagai kawasan keselamatan, anggota majlis boleh bertindak sesuka hati tanpa perlu mengikut garis undang-undang. Pendek kata, jika berlaku pembunuhan sekali pun, mereka tidak boleh dibawa ke Mahkamah untuk dibicarakan. Mereka kebal! Hatta sekiranya anggota ketenteraan negara terkorban, tidak akan diadakan inkues untuk mengenal pasti sebab berlakunya kemalangan jiwa!
Menurut pakar ketenteraan sendiri, akta ini melanggar ketetapan perlembagaan, melanggar rantaian kuasa sedia ada di bawah yang Dipertuan Agong, justeru mewujudkan keadaan di mana aktiviti keselamatan yang berlangsung tidak dilindungi oleh perlembagaan persekutuan negara!
Kedua, MKN tiada selia kawalan semak dan imbang. MKN tidak perlu melalui Parlimen dan tindak-tanduknya dikuasai penuh anggota MKN yang dikepalai Perdana Menteri.
Ketiga, MKN mempunyai kuasa untuk mengumpul maklumat perisikan serta mencabuli hak privasi rakyat. Pihak askar, polis dan semua agensi perisikan wajib serahkan maklumat kepada MKN.
Keempat, beberapa klausa dalam MKN bercanggah dengan Artikel 9, Artikel 13 dan Artikel 150 Perlembagaan Negara.
Kelima, MKN akan menganggu gugat demokrasi di negara yang dicintai ini.
Ayuh, Fahami MKN dengan lebih lanjut dan nyatakan bantahan anda. Jika anda sayang Negara Malaysia, bangun bertindak. Katakan tidak kepada MKN.
Katakan tidak kepada kuasa semberono yang diberikan kepada Perdana Menteri yang berlagak Maharaja!

No comments:

Post a Comment