Thursday, August 12, 2010

9 tahun rakyat N.Sembilan berputih mata

PAROI: Ketiadaan Sijil Layak Menduduki (CF) yang dipercayai akibat sistem pembetungan yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan menyebabkan beberapa pembeli rumah di Fasa 2 Taman PJ Perdana di sini berputih mata untuk mendiami rumah mereka sejak sembilan tahun lalu.

Tanpa CF, pembeli tidak dapat memasuki rumah walaupun ia sudah siap. Bagaimanapun, beberapa pembeli yang tidak sabar terus mendiami rumah idaman mereka walaupun tanpa mendapat CF. Sesetengah pembeli lain pula tidak mahu menanggung risiko berikutan rumah tanpa CF tidak mendapat perlindungan insurans.

Ini menyebabkan pembeli rumah berkembar itu memohon pihak berkuasa campur tangan untuk menyelesaikan kemelut yang mereka hadapi. Pembeli, Ali Mohamad, 28, berkata masalahnya sekarang terpaksa membayar pinjaman bank kira-kira RM1,000 sebulan sejak 2001 walaupun tidak menduduki rumah itu.

Katanya, pembeli tidak berpuas hati kerana pemaju perumahan tidak memberi jawapan konkrit untuk menyelesaikan masalah mereka.

Saya minta kerajaan negeri campur tangan dalam masalah ini kerana hampir 10 tahun menunggu, masih tiada kata putus daripada pemaju. Rumah sudah siap, cuma kekurangan beberapa kemudahan infrastruktur, katanya yang terpaksa membayar pinjaman bank dan pada masa sama membayar sewa rumah.

Beliau berkata, rumah yang tidak didiami dikhuatiri digunakan untuk kegiatan menghisap dadah dan akhirnya dirosakkan.

Tinjauan Berita Harian mendapati ada beberapa rumah didiami penduduk dan sebahagian terbiar hingga dipenuhi semak. Sebuah rumah didapati mempunyai banyak kesan, dipercayai akibat kegiatan menghidu gam.

Jamaludin Hussin, 49, pula tidak peduli dengan ketiadaan CF dan terus mendiami rumah itu sejak Januari lalu dengan menyiapkan kemudahan yang tidak disiapkan pemaju menggunakan wangnya sendiri.

Saya membuat keputusan tinggal di sini kerana sudah membeli rumah ini dan tiada rumah lain. Tinggal di mana-mana pun tetap ada risiko, tetapi di sini saya akan rugi jika berlaku apa-apa kerana rumah tidak dilindungi insurans, katanya.

BAGAIMANAPUN, DIA HAIRAN KERANA RUMAHNYA DIKATEGORIKAN SEBAGAI TERBENGKALAI SEDANGKAN BIL PEMBETUNGAN DITERIMA SETIAP ENAM BULAN.

Jika sistem pembetungan menjadi punca rumah tidak mendapat CF, mengapa saya menerima bil ini? katanya.

Seorang pembeli yang enggan dikenali berkata, mereka bosan kerana disuruh bersabar sedangkan CF masih belum diperoleh selepas bertahun-tahun menunggu, malah sesetengah pembeli terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mendiami rumah itu.

Malah, katanya, masalah sosial sudah berlaku di kawasan itu berikutan keadaannya yang sunyi serta dipenuhi semak-samun.

Kawasan ini sunyi dan dipenuhi semak memudahkan perbuatan tidak senonoh dilakukan. Penduduk sering menjumpai botol arak dan tin gam. Walaupun diadukan kepada pihak berkuasa, masalah ini masih berlaku, katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_9tahunputihmata/Article

No comments:

Post a Comment