Thursday, April 15, 2010

Sayang pekan Kota bukan di Hulu Selangor

Sudah empat kali Pekan Kota banjir, sayangnya Kota ini di Rembau bukan di Hulu Selangor... kalau di Hulu Selangor tentu masalah mereka selesai dengan peruntukan RM 2.1 juta dari kerajaan Pusat... hahahaaaaa aku gelak sms orang Kota pagi ketika banjir ketiga dia marah-marah.... katanya " Banjir lagi mamposlah kami mcm ini, YB Umno dtg tunjuk muka bawa wartawan, masalah tak selesai juga...elok mati ADUn atau Ahli Parlimen baru selesai masalah ini agaknya...."

Banjir kilat jejas perniagaan penduduk
Sinar Harian 15 April 2010

KOTA, Rembau - Peniaga di Pekan Kota bosan dengan masalah dialami setiap kali hujan lebat kerana kedai mereka akan dimasuki air sehingga mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu.

Peniaga kedai makan, Isa Utoh, 41, berkata, pada tahun ini sahaja kedainya sudah empat kali dinaiki air.

Kejadian kali ini adalah paling buruk apabila kedainya dimasuki air sehingga paras lutut.

Menurutnya, hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan risiko kejadian banjir kilat di kawasan ini tinggi ditambah pula dengan masalah sistem perparitan dihadapi yang sehingga kini masih tiada tindakan dilakukan.


“Sebagai peniaga, keadaan ini sudah tentu mengundang kerugian kerana terpaksa berdepan masalah banjir kilat menyebabkan barang dan peralatan di dalam kedai mengalami kerosakan,” katanya.

Menurutnya, petang kelmarin dia dimaklumkan rakan bahawa kedai makannya ditenggelami air menyebabkan dia bergegas ke sana bagi menyelamatkan barang di dalam kedai.

“Ketika sampai, kedai dimasuki air hingga paras lutut. Saya cuba menyelamatkan barang tetapi kebanyakan sudah rosak dimasuki air. Sekarang ini, peniaga seperti kami terpaksa menanggung kerugian,” katanya yang hanya berniaga di sebelah pagi.

Pengusaha bengkel motosikal, Rafizan Ishak 34, berkata, dia sudah bosan dengan masalah dialami walaupun pernah diadukan kepada pihak berkaitan tetapi mereka masih berdepan dengan situasi sama.

“Sudah beberapa tahun meniaga di sini, tetapi kami perlu hadapi situasi banjir kilat ini sehingga mendatangkan kerugian kerana barang di dalam bengkel ini habis rosak. Sudah tidak terkira kerugian dialami,” katanya.

Menurutnya, walaupun terpaksa melalui situasi seperti ini, tetapi peniaga di sini masih mengharapkan perubahan supaya sistem perparitan di kawasan ini diatasi segera bagi mengelakkan masalah berterusan.

“Longkang di kawasan ini kebanyakan sudah tersumbat dan rosak. Air longkang tidak mengalir mengikut saluran betul menyebabkan kejadian banjir kilat sering kali berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Kota Pekan, Jahaya Awang berkata, masalah dihadapi peniaga di Pekan Kota ini sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, saya berharap jalan penyele-saian berkaitan masalah ini dapat dilakukan kerana masalah menghantui peniaga di sini bukannya baru, tetapi sudah bertahun sehingga mendatangkan kerugian,” katanya.

Masalah dihadapi peniaga di sini turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Kota, Datuk Dr Awaludin Said apabila diminta mengulas tindakan dilakukan bagi menyelesaikan kemelut dialami.

Menurutnya, sistem perparitan di kawasan ini pernah diatasi sebelum ini tetapi masalah sama berulang menyebabkan pihaknya melantik konsultan mengkaji dan menilai masalah dari peringkat akar umbi.

“Perkara ini penting supaya satu usaha komprehensif dapat dijalankan. Kita mahu penyelesaian secara keseluruhan supaya masalah banjir kilat dapat diatasi sepenuhnya bagi mengelakkan penduduk berdepan situasi berulang,” katanya.

Menurutnya, dalam masa terdekat ini pihaknya akan cuba memohon pihak Majlis Daerah Rembau membuang bongkah batu di dalam sistem perparitan kawasan ini kerana bahan itu menjadi penyebab kepada kejadian banjir kilat di sini.

“Saya juga berharap kenderaan berat seperti lori tidak meletakkan kenderaan di kawasan sistem pembetungan di hadapan kedai kerana menjadi penyebab jalan retak dan rosak sehingga mengundang kepada masalah keselamatan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7566773.asp

No comments:

Post a Comment