Saturday, January 19, 2008

Satu lagi aksi mengejut Anak Muda

Selama lima minit, sekumpulan enam orang yang menamakan diri mereka 'Sekretariat Bertindak Anak Muda Malaysia', membawa kain rentang yang tertulis 'Mahathir mudah lupa' di depan kompleks mahkamah Jalan Duta, hari ini.

Kain rentang tersebut, yang merujuk kepada sajak Dr Mahathir 'Melayu mudah lupa' yang dideklamasikan beliau sewaktu perhimpunan agung Umno 2001 - menggelikan hati orang ramai yang lalu-lalang di situ, termasuk para peguam.

Jurucakap kumpulan tersebut, Mohd Yunus Ali membaca satu kenyataan yang menyebut bahawa Dr Mahathir mendakwa beliau tidak ingat atau terlupa maklumat ketika beliau berkuasa, ketika disoal peguam dan anggota suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam.

“Beliau juga menafikan yang beliau kenal peguam Datuk VK Lingam ketika berkuasa," kata Mohd Yunus.

Kes saman Mirzan

Sambil mempertikaikan perkara itu, Mohd Yunus (foto) berkata, laporan media pada tahun 1999 menunjukkan kemungkinan wujud hubungan antara keluarga Dr Mahathir dengan Lingam.

Mohd Yunus kemudiannya mengedarkan kepada pemberita dua laporan media pada tahun 1999, yang melaporkan bahawa anak Dr Mahathir, Datuk Mirzan, telah menggunakan khidmat guaman Lingam untuk mewakilinya dalam dua kes saman fitnah.

“Dr Mahathir mempunyai ingatan yang terpilih...kita hadir di sini untuk mengatakan bahawa rakyat Malaysia tidak lupa dan beliau (juga) tidak boleh lupa," kata Mohd Yunus.

Di samping itu, kata Mohd Yunus lagi, rakyat Malaysia tidak lupa dakwaan rasuah, salahguna kuasa, tekanan terhadap hak asasi manusia dan mengekang kebebasan akhbar sewaktu pentadbiran Dr Mahathir.

Pada 4 Januari lalu, kumpulan yang sama telah menghantar cenderahati simbolik berupa dua biji bantal kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya (foto).

Keterangan Dr M

Antara lain, suruhanjaya diraja itu menyiasat kebenaran kandungan klip video Lingam itu, yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai bukti wujudkan campurtangan dalam pelantikan hakim.

Bila ditanya oleh suruhanjaya tersebut semalam berhubung pelantikan hakim-hakim, Dr Mahathir menjawab beberapa kali bahawa beliau tidak ingat atau tidak tahu mengenai perkara-perkara tertentu.

Dr Mahathir juga berkata, beliau hanya mengenali Lingam selepas bersara daripada jawatan perdana menteri pada tahun 2003.

Kenyataan Dr Mahathir semalam juga merupakan kali pertama beliau memberi keterangan berhubung tindakan-tindakannya sewaktu menjadi perdana menteri, di mahkamah terbuka.

berita dipetik dari Malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment