Saturday, April 09, 2016

Projek Lebuhraya di Selangor Membawa Musibah

Projek Lebuhraya di Selangor Membawa Musibah
Sekali lagi kerajaan Selangor mendapat perhatian dalam isu mengendalikan pembinaan lebuhraya yang akan memakan belanja berbilion-bilion ringgit dengan kos yang berat bagi alam persekitaran yang bakal dihancurkan. Kerajaan negeri bertekad untuk meneruskan dua buah projek lebuhraya yang diberikan kepada syarikat pemaju Prolintas, Lebuhraya SUKE ( Sungai Besi-Ulu Kelang Expressway ) dan DASH ( Damansara – Shah Alam Expressway ) walaupun dibantah oleh komuniti setempat, NGO alam sekitar, aktivis sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Selepas mengambil alih lebih 100 hektar daripada hutan simpanan Ampang dan Gombak bagi pembinaan Lebuhraya EKVE ( East Klang Valley Expressway ), kedua-dua hutan simpanan tersebut sudah ditutup dan projek pembinaan lebuhraya sudahpun dimulakan. Sekarang, kerajaan negeri ingin menghancurkan sebahagian daripada hutan simpanan Bukit Cerakah, hutan Sungai Buloh dan Bukit Sungai Puteh di Hulu Langat bagi pembinaan lebuhraya SUKE dan DASH. Sebahagian besar daripada hutan yang akan dimusnahkan bagi pembinaan lebuhraya ini merupakan daripada Taman Warisan Negeri Selangor yang diwartakan pada tahun 2007 sebagai tanah negeri yang dilindungi oleh Akta Perhutanan Negara 2005 dan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Selangor.
Taman negeri tersebut juga merupakan sebahagian daripada tulang belakang bagi Semenanjung Malaysia dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air yang paling penting bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Hutan simpanan ini bukan sahaja kaya dengan biodiversiti tumbuhan dan haiwan, ia juga amat penting sebagai pembekal air bagi jutaan penduduk di semenanjung Malaysia. Hutan ini harus dilindungi daripada pengusaha dan kapitalis kaya yang akan cuba menggondol alam semulajadi ini bagi keuntungan swasta.
Bantahan daripada rakyat
Seperti perancangan lebuhraya KIDEX ( Kinrara-Damansara Ekspressway ) sebelum ini, pembinaan lebuhraya EKVE dan perancangan lebuhraya SUKE dan DASH mendapat bantahan daripada komuniti setempat. Jawatankuasa komuniti setempat yang mengatur kempen bantahan pembinaan lebuhraya ‘No SUKE Highway’ dan ‘Say No to DASH mewakili lebih daripada 42 ribu penghuni yang merangkumi hampir 20 komuniti. Kempen ini telah menganjurkan beberapa aksi bantahan termasuk perjumpaan awam, penyerahan memorandum kepada wakil rakyat dan protest jalanan di kawasan yang terbabit. Baru-baru ini, kempen “No SUKE Highway’ telah mengemukakan permohonan untuk semakan kehakiman mengenai projek Lebuhraya SUKE dan berjaya menghentikan langkah-langkah kerajaan negeri untuk meneruskan projek tersebut sehingga selesai semakan daripada mahkamah.
Pengerusi kempen ‘No SUKE Highway’ Agus Hassan mendakwa bahawa kerajaan negeri, terutamanya Menteri Besar Azmin Ali sebagai tidak menghormati seruan komuniti yang membantah projek ini dengan sekeras-kerasnya. MB Azmin Ali telah menjanjikan pengurusan yang lebih berhemah selepas pembatalan Lebuhraya KIDEX dua tahun lalu tetapi didapati bahawa itu adalah sekadar janji kosong. Pembatalan Lebuhraya KIDEX hanya merupakan sebuah langkah politik untuk menggulingkan bekas MB Khalid Ibrahim dan selepas menduduki takhta, Azmin Ali mendedahkan wajah sebenarnya yang gelojoh
dan tidak mewakili aspirasi rakyat. Walaupun pada awal pertabalannya Azmin digambarkan sebagai pejuang rakyat dengan propaganda ‘Jokomin’, kini sebarang jenis propaganda sebegitu sudah mula menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat Selangor.
Selain itu, beberapa NGO lain dan aktivis alam sekitar telah memulakan kempen mereka sendiri untuk mempertahankan alam semulajadi yang dianggap amat bernilai dan tidak boleh diganti. Langkah kerajaan Selangor ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada komuniti setempat, ia juga akan memberikan impak alam sekitar yang akan memudaratkan kehidupan semua penghuni berdekatan. Buat masa ini, penerokaan alam sekitar tanpa kawalan di Semenanjung Malaysia sedang menyebabkan banjir-banjir besar yang menjurus kepada malapetaka bagi jutaan rakyat biasa. Pembangunan, pembinaan lebuhraya dan pencemaran alam disebabkan oleh perlombongan bauksit sudahpun memberikan kesan yang mendalam bagi masyarakat di utara dan timur Semenanjung Malaysia. Dengan keasyikkan kerajaan Selangor untuk menghancurkan Taman Warisan Negeri, masyarakat Selangor juga boleh menjadi mangsa bencana alam tidak lama lagi.
no SUKE highway
Pembangkang Hipokrit
Walaupun wajah sebenar MB Selangor sudah terdedah, masih lagi keputusan Azmin Ali tidak dibantah oleh mana-mana kepimpinan parti PKR. Wakil rakyat yang telah bersuara semasa bantahan KIDEX dahulu semuanya mendiamkan diri. Malah, bekas aktivis alam sekitar Elizabeth Wong yang juga merupakan ADUN bagi Bukit Lanjan (kawasan terbabit) dan Exco negeri Selangor sanggup mengeluarkan kenyataan mempertahankan keputusan Azmin Ali. Mengikut ulasannya, projek lebuhraya tersebut adalah kesinambungan daripada perancangan kerajaan sebelum ini dan kerajaan pembangkang sekarang jauh lebih mementingkan kesihatan alam sekitar.
Walaupun kedua-dua kerajaan BN dan pembangakng PH langsung tidak ambil kisah tentang alam sekitar, kem pembangkang seringkali cuba memberikan imej yang lebih baik daripada parti pemerintah dan asyik menyalahkan kerajaan persekutuan bagi semua kelemahan mereka. Dalam kes lebuhraya SUKE dan DASH, adalah jelas bahawa Azmin Ali mempunyai peluang dan ruang yang cukup untuk membatalkan projek tersebut. Tanah dan sumber semula jadi adalah perkara berkaitan dengan pengurusan negeri dan di bawah kawalan penuh MB Azmin.
Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof sendiri telah mengakui bahawa projek-projek lebuhraya seperti ini hanya boleh diteruskan jika kerajaan negeri Selangor sendiri yang memasukkan projek-projek tersebut dalam rancangan mereka. Notis pengambilan tanah juga tidak boleh dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Selangor tanpa kelulusan Exco negeri. Exco Elizabeth Wong yang terlibat secara langsung dalam hal ini tidak mempunyai sebarang alasan untuk memesongkan persoalan yang dibangkitkan berkenaan projek tersebut.
Menurut beberapa pihak, kerajaan negeri juga melanggar peraturan dalam usaha meneruskan pembinaan lebuhraya SUKE dan DASH kerana ia gagal untuk disenaraikan secara rasmi dalam rancangan tempatan. Biasanya, kes sebegini akan dianggap tidak sah dan ditolak secara automatik. Walaupun terdapat sebuah peraturan khusus sebegitu, kepimpinan negeri Selangor masih dapat meluluskan projek lebuhraya tersebut.
PKR_Kajang_03032014_620_329_100
Pengangkutan awam
Pada hujung tahun lepas, sebuah organisasi alam sekitar telah melaporkan bahawa Semenanjung Malaysia sedang mengalami penghapusan hutan dalam skala yang sangat merisaukan. Dalam keadaan pemanasan global dan perubahan iklim, aktiviti segelintir pengusaha yang menggondol hutan bagi mengaut keuntungan harus dibendung. Sememangnya syarikat swasta seperti Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) yang bertanggungjawab bagi kedua-dua lebuhraya SUKE dan DASH tersebut sudah pasti hanya menumpukan perhatian penuh pada keuntungan wang duit bagi syarikat mereka. Ia adalah tugas kerajaan yang memerintah untuk mencantas kemahuan kapitalis besar dan melindungi hak rakyat daripada dicabul. Tetapi, sama seperti kerajaan pemerintah BN, kerajaan negeri PH juga didapati bersekongkol dengan syarikat pemaju besar untuk menekan kehidupan rakyat biasa. Adalah dikatakan bahawa lebuhraya-lebuhraya tersebut akan memudahkan pengguna jalan raya dan membebaskan mereka dari kesesakan. Tetapi, kerajaan negeri yang menjanjikan untuk menambah pembinaan pengangkutan awam sebagai alternatif bagi lebuhraya, menelan balik janji-janji mereka dan bertindak bertentangan. Walaupun dapat membebaskan rakyat daripada kesesakan lalulintas yang sementara, pembinaan lebuhraya ini akan mengakibatkan kehancuran alam sekitar yang tidak ternilai dan rakyat akan dibebankan dengan harga tol yang mahal. Alternatif pengangkutan awam seperti tren, tram atau lain-lain cara masih boleh difikirkan bagi menangani masalah kesesakkan dan adalah amat tidak matang untuk berhujah bahawa kita tidak ada pilihan lain. Peningkatan teknologi dan inovasi harus dipergunakan sepenuhnya untuk melindungi persekitaran dan pada masa yang sama berusaha menyelesaikan masalah harian yang dihadapi oleh rakyat biasa.
Di persidangan Parlimen baru-baru ini, Menteri Kerja Raya Malaysia telah mengumumkan bahawa kerajaan perlu membayar sekurang-kurangnya RM1 bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol jika ingin mengelakkan kenaikan harga tol pada tahun ini. Ini merupakan tambahan daripada RM500 juta yang dipersetujui dan diperuntukkan bagi tahun ini dan syarikat lebuhraya mempersalahkan kejatuhan nilai ringgit bagi tuntutan baru mereka. Walaupun harga tol masih baru dinaikkan pada tahun lepas, kerajaan sedang dipaksa untuk memberikan lebih banyak duit kepada syarikat konsesi lebuhraya dan tidak ada sesiapa yang menentang tuntutan syarikat tersebut. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua pemerintah BN dan pembangkang PH hanya menggunakan retorik kosong bagi meraih undi dan akan melupakan rakyat sejurus selepas menawan kuasa politik.
Pembinaan penentangan Agenda kapitalis besar dan kerajaan negeri yang bersekongkol dengan mereka seperti projek lebuhraya EKVE, DASH dan SUKE ini hanya boleh dikalahkan dengan kekuatan rakyat. Sebuah gerakan dari peringkat akar umbi harus di bina dan sebuah kepimpinan yang jelas harus dibentuk. Tanpa kepimpinan yang jelas, hala tuju dan kemenangan sesuatu gerakan itu tidak boleh dijamin. Tetapi dengan kepimpinan yang kukuh, sesuatu gerakan, walaupun dalam skala yang tidak seberapa, akan dapat memberikan impak yang besar dan akan melemahkan birokrasi kelas atasan. Lebuhraya KIDEX sebelum ini tidak mungkin dapat dikalahkan tanpa mobilisasi ratusan rakyat biasa yang sedar akan hala tuju dan matlamat mereka.
Kempen ‘No SUKE Highway’ dan ‘Say No to DASH’ setakat ini sedang memberikan kepimpinan yang baik dan bertindak sebagai suara kolektif dalam perjuangan rakyat yang sudah mula bercambah. Beberapa aksi yang ditaja oleh mereka mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat dan memberikan tekanan kepada golongan pemerintah dan kapitalis. Perjuangan ini harus diteruskan dan diperkembangkan. Kesedaran yang wujud dikalangan rakyat harus dipergunakan untuk menarik lebih ramai ke dalam perjuangan dan ini termasuk untuk memulakan dialog dengan organisasi-organisasi kelas pekerja dan komuniti lain untuk turut memberikan solidariti.
Alternatif Politik
Berdasarkan pengalaman rakyat Selangor dan rakyat dari negeri-negeri lain di Malaysia, adalah jelas bahawa terdapat satu kekosongan dalam perwakilan rakyat di arena politik dimana semua keputusan penting diambil. Rakyat biasa yang bertungkus lumus membina negara disisihkan daripada memberikan pandangan dan suara walaupun dalam isu-isu yang berkaitan secara langsung dengan mereka. Segala kuasa politik tertumpu di tangan segelintir birokrasi yang mengaburi mata rakyat dengan janji-janji kosong dan akhirnya berpihak kepada pemodal dan pemaju. Bagi menjamin sebuah perubahan yang akan dapat berkekalan, adalah mustahak bagi rakyat biasa dan kumpulan komuniti untuk mula mempertikaikan struktur politik yang terbina buat masa ini.
Rakyat biasa harus diberikan kuasa untuk membuat keputusan berkaitan dengan kehidupan seharian mereka. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, adalah penting bagi kelas pekerja dan rakyat biasa untuk membina alternatif politik mereka sendiri. Kebergantungan mereka kepada kepimpinan anti-rakyat seperti parti-parti arus perdana harus dicantas dengan mewujudkan alternatif yang berkesan. Sebuah parti yang dibina secara demokratik, yang bertujuan untuk memperjuangkan kemahuan rakyat biasa dan yang menggabungkan semua elemen perjuangan akar umbi adalah alternatif yang paling sesuai bagi rakyat biasa.
Perjuangan komuniti dan pertahanan alam sekitar ini tidak harus berhenti dengan tuntutan-tuntutan asas sahaja. Beberapa tuntutan lain juga harus dimasukkan bagi menarik lebih ramai rakyat ke dalam gerakan. Misalnya tuntutan untuk mengadakan pilihanraya Ahli Majlis tempatan bagi memilih ahli majlis yang sesuai bagi masyarakat setempat. Pada masa ini, semua Ahli Majlis dilantik oleh kerajaan negeri dan menjadi pak turut birokrasi atasan.
Gerakan ini juga boleh menuntut solusi yang lebih baik bagi masalah kesesakan lalu lintas dan juga masalah kemerosotan alam sekitar yang dialami oleh rakyat biasa. Jika perjuangan ini tidak dilanjutkan kepada tuntutan demokrasi bagi rakyat, penduduk di kawasan yang sama boleh dimangsakan oleh kelas kapitalis dengan cara yang berlainan di masa hadapan. Demokrasi rakyat merupakan pertahanan yang paling berkesan bagi kelas pekerja dan rakyat biasa.

1 comment:

  1. Anonymous3:19 PM

    Membina lebuhraya bukan alternatif yang baik untuk menyelesaikan masalah trafik.

    Tidak ada satu bandar pun dalam dunia ini yang berjaya menyelesaikan masalah kesesakan dengan membina lebih banyak lebuhraya.

    Oleh yang demikian, alternatif yanh lebih baik bagi lebuhraya ini adalah sistem pengangkutan awam yang lebih efisien.

    ReplyDelete