Thursday, April 14, 2016

PRN Sarawak Kemuncak Kematian Demokrasi Negara

Kenyataan Umum
14 April 2016

PRN Sarawak Kemuncak Kematian Demokrasi Negara

1. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah pun mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak.

2. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyifatkan PRN Sarawak ini sebagai kemuncak kematian demokrasi negara. Lama sebelum ini, Ketua Menteri, Adenan Satem telah mengumumkan tarikh PRN Sarawak akan diadakan. Tindakannya yang mendahului SPR itu menyerlahkan betapa SPR hanyalah satu aparat rejim Pemerintah dan kini ia hanyalah sebagai satu formaliti sahaja walaupun tarikh yang diumumkan oleh SPR itu sedikit berbeda daripada yang diumumkan Adenan. Hakikat yang perlu disedari bahawa segalanya telah disusun atur untuk memenangkan BN.

3. Tindakan Pemerintah Negeri Sarawak yang menghalang kemasukan pemimpin-pemimpin oposisi juga adalah simbol kepada kematian demokrasi. Malah, kenyataan Adenan bahawa beliau tidak akan membatalkan larangan itu dan pemimpin pembangkang hanya boleh masuk ke Sarawak selepas PRN selesai membuktikan sikap kuku besi Adenan. Mengapa Adenan tidak menghalang pemimpin-pemimpin UMNO dan parti sekutu yang mengamalkan politik perkauman daripada memasuki Sarawak jika benar Adenan mahu melindungi negeri itu daripada elemen yang tidak baik?

4. Pengerusi SPR dalam satu pengumuman menyatakan bahawa hari ini beliau mendapat permohonan PBDS baharu untuk bertanding  dalam PRN kali ini dan beliau juga membuka sampul surat di atas pentas, dan mengumumkan lulus sebaik sahaja sampul surat dibuka juga adalah tindakan yang amat pelik.

5. Inilah perkara sebenar yang patut di lawan oleh Parti-Parti Pembangkang dan gerakan masyarakat sivil. Akan tetapi, nampaknya pihak pembangkang sibuk bersekongkol dengan Mahathir dan berebut kerusi. Tanpa disedari, mereka sebenarnya sedang berebut untuk disembelih dalam padang demokrasi yang pincang dan berat sebelah.

6. PRN Sarawak ini juga menyerlahkan kemunafikan kartel Mahathir. Sanggupkah Mahathir, Mukhriz dan Muhyiddin ke Sarawak, berkempen untuk menumbangkan Najib dan penyokongnya. Seperti yang diketahui, Adenan dan Sarawak adalah penyokong setia Najib.

7. SAMM yang sememangnya bergerak sejak lama di Sarawak melalui komrad tempatan akan terus mempertingkatkan aktiviti di sana. PRN kali ini diambil kesempatan sebagai peluang menyebarluaskan dan memperkukuh pendidikan politik warga tempatan.

Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

cheGuBard@gmail.com

No comments:

Post a Comment